Ibu Ini Kongsikan Tip Penjagaan Karpet Permaidani Kekal Bersih Walaupun Ada Anak Kecil

Share

Hamparan karpet permaidani sering digunakan dalam melengkapi gaya sesebuah ruang. Tambahan pula, kebelakanan ini viral dengan jualan murah karpet di beberapa premis di Utara, Selangor dan Selatan. Rambang mata dibuatnya dengan pelbagai corak yang cantik dan menarik. Anda yang meminati karpet permaidani ini pasti tidak melepaskan peluang kan? Begitu jugalah dengan pembaca IMPIANA ini yang amat minat dengan karpet.

Putri, ibu kepada seorang anak yang berusia empat tahun ini telah kongsikan tip bagaimana dia menjaga karpet kediamannya walaupun mempunyai anak kecil. Semua para ibu mesti pernah mengalami situasi seperti Putri ini, di mana si anak telah tumpahkan makanan atau sisa makanan pada karpet. Oleh itu, karpet permaidani haruslah dijaga dengan baik agar ia sentiasa bersih, tahan lama dan paling penting tidak menjadi pusat pembiakan kuman. Cuba beberapa langkah mudah berikut untuk memastikan permaidani anda tampil bersih dan sentiasa kelihatan baru.

  • Campurkan empat sudu cuka bersama segelas air boleh digunakan untuk menanggalkan kotoran yang melekat pada permaidani. Lapkan dengan menggunakan kain sehingga kesan kotoran dan bau hilang. Pastikan anda membersihkannya sejurus terkena kotoran.
  • Permaidani yang telah lama digunakan mudah menyebarkan bau hapak. Bagi menghilangkannya, taburkan serbuk penaik dia atas permaidani selama satu jam sebelum dibersihkan dengan menggunakan vakum.
  • Bersihkan permaidani daripada habuk dan kotoran menggunakan vakum pembersih. Sebaiknya ia dilakukan tiga kali seminggu.
  • Pastikan permaidani dicuci setiap enam bulan sekali untuk menghapuskan kuman yang terperangkap. Cuci menggunakan sabun khas atau hantar ke kedai dobi untuk menjimatkan masa.
  • Elakkan daripada meletakkan permaidani dibawah pancaran matahari terik. Ini kerana, terik matahari akan menyebabkan warna permaidani menjadi luntur dan kusam.

 

Sumber: Puteri Afdzal

Published by
Fakhruddin