Kita sebenarnya tidak dapat membuang kesan penjajah dalam segenap hidup kita. Ia dilihat umpama sebahagian daripada tradisi atau gaya hidup yang tidak mampu kita nafikan. Antara yang masih berkesan di jiwa kita adalah kesenian hiasan dalaman era penjajahan Inggeris. Apakah kerana percaturan Inggeris menggabungkan pembuatan dari India , material dari dunia nusantara dan diberi sentuhan Inggeris bersama cita rasa tempatan? Umpama skandal di dalam drama yang berangkai-rangkai.
Secara fitrahnya jelas kita lihat banyak elemen tropikal digunakan dalam pembuatan perabot, aksesori malah kediaman. Cuma sentuhan ala Inggeris yang sangat teliti dalam menjadikan ruang begitu selesa dan megah. Jelas mereka telah membuat persiapan rapi sebelum ke sini kerana merasakan negara jajahannya sebagai satu dunia baru yang penuh adventure. Kita sendiri begitu kagum dengan seni hias dalaman mereka yang telah matang dan siap dengan teknik serta panduannya sendiri. Bukan menyusun ikut selera.
Apa pun tinggalan seumpama ini bagaikan emas hitam. Semakin lama semakin luput dek zaman. Barangkali jika tidak ada yang mahu memeliharanya, generasi akan datang tidak berkesempatan menikmati gaya hebat era kolonial ini. Perabotnya menggunakan kayu padu, rotannya tebal , jeraminya dianyam halus . Pendek kata kualitinya begitu tinggi dan mampu bertahan sehingga beberapa dekad jika dijaga dengan penuh kasih sayang. Ruang juga disempurnakan dengan tumbuhan tropika yang ternyata tidak kurang hebatnya dengan jambangan bunga Eropah yang acap kali dibanggakan.
Ada juga yang menyatakan ia tata hias kuno. Malah menakutkan. Kita telah merdeka perlu apa diingati ini semua. Tidak lagi selari dengan selera masa kini. Tidak salah kita mengambil yang bagus dan merdekanya kita juga memberi ruang untuk memilih bagaimana boleh kita olahkan tata hias seumpama ini. Kini masih ada yang pintar menyesuai pada perabot seumpama ini. Baik di kediaman mahu pun di premis seperti kafe dan butik.
Hebatnya perabot seumpama ini adalah ia begitu fleksibel dan mudah diolah mengikut kehendak zaman. Padankan dengan apa juga nescaya ia mampu membuat kita memandang dua kali. Tidak perlulah penuh 1 ruang dengan perabot seumpama ini kecuali anda memilih konsep resort atau kolonial. Cukup sebuah dua di ruang tanda penyeri . Ibarat kerongsang di baju, biar sebentuk, namun mampu di situlah mata tertumpu. Pada mereka yang bernasib baik, diwariskan dengan perabot seumpama ini, perliharalah ia sebaik mungkin. Wang boleh sahaja kita cari, namun warisan dan sejarah belum ada harga untuk kita tukar ganti. Simple-simple aja di IMPIANA
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI