Isi Kandungan
Toggle‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapalah yang tahu’. Perumpamaan ini sesuai dengan nasib gelandangan yang dapat rumah percuma ini.
Influencer Hadiah Apartment, Gelandangan Tak Sangka Punya Rumah Sendiri Akhirnya!
Baru-baru ini, seorang pempengaruh di Amerika Syarikat tular di media sosial selepas menawarkan sebuah apartment secara percuma kepada seorang wanita gelandangan. Wanita yang tidak didedahkan identitinya, hidup secara gelandangan selama 10 tahun, menangis teresak-esak dan tidak menyangka dia kini mempunyai rumah sendiri.
Video tular yang dimuat naik oleh pempengaruh bernama Isahia Graza di Instagram telah mengumpul 11.1 juta tontonan dan sembilan juta tanda suka.
Dalam rakaman itu, Graza yang menaiki kereta menyapa wanita gelandangan tersebut dan memberikan sebuah kotak, menyuruhnya membuka hadiah tersebut.
Influencer Hadiah Apartment, Gelandangan Tak Sangka Punya Rumah Sendiri Akhirnya!
Semasa wanita itu membuka kotak tersebut, dia melihat kunci yang diisi di dalam beg itu dan tidak mengesyaki tujuan sebenar pempengaruh tersebut. “Saya bagi hadiah awak sebuah apartment,” kata Graza dalam rakaman video klip itu.
Mendengar kata-kata Graza, wanita itu beberapa kali mengatakan pempengaruh tersebut sebagai ‘tidak siuman’ kerana menghadiahkan sebuah apartment kepada individu yang tidak dikenalinya langsung.
Sambungan klip video itu menunjukkan Graza membawa wanita itu ke rumah baharunya yang turut dilengkapi televisyen, katil, dan beberapa kemudahan lain. “Dia sebenarnya seorang wanita berjiwa besar dan saya tidak akan melupakan detik indah ini.
Saya menyiarkan video ini sebagai penghormatan kepada video saya yang pernah melepasi 200 juta tontonan di seluruh media sosial,” katanya dalam kapsyen video tersebut.
IMPIANA : Untungnya gelandangan tersebut dapat rumah percuma, memang bertuah sangat!
Artikel Menarik:Tidak Mampu Beli Rumah, Lelaki MAKEOVER Garaj Jadi ‘Bilik Penginapan’ Selesa
Mesti Baca: TIP Beli RUMAH PERTAMA, Perunding Hartanah Saran Fokus 4 Proses Penting Ini!
Baca Lagi Di Sini:Beli Rumah LELONG Memang Murah Tapi Kena Tahu Kos ‘Tersembunyi’, Kaji Dulu!
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
“Jangan Pakai Concrete Slab…”, Tukang Ini Kongsi Panduan Pilih Bumbung Terbaik Untuk Rumah
Bumbung merupakan salah satu elemen paling penting dalam pembinaan sesebuah bangunan atau kediaman. Tanpa bumbung, tiadalah tempat berteduh dari hujan dan panas.
Jenis atau bahan yang digunakan untuk bumbung pula memberikan kesan jangka panjang yang berbeza-beza bergantung kepada persekitaran dan penggunaan.
Melalui perkongsian saudara Zuryat Abadi di grup Tukang Apa Hari Ini, mari kita tambah pengetahuan tentang bumbung untuk panduan bersama.
BUMBUNG
Memandangkan sekarang musim hujan, abang keraplah dipanggil untuk tampal,baikpulih kebocoran bumbung dan tukar jenis bumbung. Sampai tak cukup kakitangan nak kejarkan kerja bumbung.
Ramai yang bila ada masalah bumbung bocor berkira-kira untuk buat slab konkrit bagi menggantikan bumbung asal mereka yang terdiri dari atap jenis genting pasir,asbestos dan zink.
Jangan boss. Jangan pakai concrete slab. Maintenance/penyelenggaraan lagi demam dari guna atap jenis lain. Masalah air bocor melalui rekahan dan serapan pada konkrit tu memang susah nak diselenggara dan diperbaiki.
Kalau letak lapisan baru water proofing/kalis air sekadar bertahan setahun dua. Boleh nak buat concrete slab kalau betul2 tebal dan bancuhan konkrit ikut spesifikasi.
Tapi tetap bermasalah pada sambungan antara konkrit>konkrit atau konkrit>bata/dinding. Lagipun ianya tidak sesuai dengan iklim khatulistiwa negara kita yang panas dan lembab sepanjang tahun.
Lembab yang dimaksudkan ialah hujan bukan lembab dek salji. Aliran cecair yang menerobos melalui apa saja rekahan atau menyerap melalui konkrit yang berasaskan pasir.
Percayalah. Tukang repair bumbung macam abang memang hadap inilah setiap kali baiki kebocoran bumbung. Paling elok gunalah atap dari genting seramik/tanah liat yang tindihan bertangkup antara 1 sama lain (harganya lebih mahal dari atap yang biasa kita gunakan).
Ada jenis atap genting seramik ini tindihan bertangkup seperti tindihan atap jenis asbestos. Insha Allah ini jenis atap yang paling kurang kos penyelenggaraan berbanding zink (masalah kepala paku, kepala screw dimakan usia), asbestos (masalah sama dengan zink), genting pasir (tindihan terlalu sedikit/terjungkit dan masalah air menyerap disebabkan sifat pasir itu apabila lapisan pelindungnya terhakis dek air hujan).
Atap genting jenis tanah liat/seramik ini kalau betul darjah curamnya insha Allah tak akan bocor. Lagipon kebanyakan pembuatan seramik atau tanah liat ini melalui proses pembakaran yang menjadikannya lebih baik (tidak menyerap haba dan air terlalu banyak).
Satu lagi, bangunan 10 tahun dulu banyak guna kayu sebagai kuda-kuda dan gulung-gulung. Ada kayu meleding, terkiat sehingga menyebabkan genting pasir jenis tindihan terjungkit dan bocor bila hujan lebat atau ribut).
Tidak seperti kayu 30 atau 40 tahun dulu yang kayunya adalah dari jenis kayu baik dan matang. Kayu kebelakangan ini adalah kayu muda dan jenis kayu kualiti rendah.
Ini juga memainkan peranan didalam pembinaan. Jenis kayu itu sendiri dan untuk mendapatkan kayu berkualiti dan cukup matang tahun 2020 ni memang korang cukup kayalah. Aamiin.
Apabila ada yang panggil baiki kebocoran atap jenis genting pasir ni 2 pilihan abang bagi ;
Pertama, letak kepingan aluminium dibawah atap genting untuk menghalang air menembusinya (pakej tukar sekali gulung2 kayu kepada gulung2 jenis besi bergalvani)
Atau kedua, tukar kepada atap jenis lain. Kalau tak buat cara ni. Pasti esok lusa abang dipanggil lagi untuk datang baiki kebocoran yang sebenarnya ialah usaha sia-sia. Hari ni tampal belah A (guna silicon dan seangkatannya). Esok bocor pula belah B. Siap B masalah kat belah C pula. Jadi ulang gitu jela sampai abang Jamil kau pengsan.
Kena keluar kos lebih bukan? Kos untuk penyelenggaraan berulang. Lebih baik 1 kali keluar duit lebih. Ubahsuai atau tukar jenis atap. Bertahan lagi 10-15 tahun mantap sangat dah. Lagipon abang tak suka dipanggil kerap kali. Nanti orang ingat abang kerja curi-tipu. Padahal abang dah terangkan bumbung tu tak guna tampal dan baiki. Paling tak ada pun ubahsuai baru ok sikit.
Untuk kerangka bumbung paling baik dan ekonomi masa kini gunakan besi C section dan C truss yang digalvani. Untuk ketahanan lebih lama(jangan guna yang ada salutan plastik biru tu sebab ia murah dan tidak digalvani).
Besi bergalvani ini kurang kos penyelenggaraan. Tidak perlu di cat(kalau cat lebih baik).Bukan lah bermaksud ia last forever tetapi lebih tahan lama. Bangunan rumah ni macam kereta juga. Cukup masa masa perlu diselenggara/service. Tayar botak kena tukar,minyak hitam kena tukar,warna kusam kena kilatkan.
Jadi kalau nak membina rumah. Kena fikir tentang kos penyelenggaraan. Yang jimat,murah dan tahan lama.
Bagi yang nak menggunakan zink keluarkan modal lebih sikit. Beli zink yang ada lapisan zink atas dan bawah.
Di antara kedua kepingan zink atas dan bawahnya ada lapisan foam. Lapisan foam ini bertindak sebagai penebat haba dan bunyi. Pasti akan bertahan lebih lama sebelum masuk tempoh perlu diselenggara (biasanya hanya menukar skru) Serius abang nak cakap.
Siapa rumahnya yang guna zink selapis. Pertamanya masalah bunyi bising bila hujan lebat. Kedua. Panas berbahang bila siang. Jadi keluarkan modal lebih sikit beli zink yang sudah siap dibuat dikilang dengan dua lapisan atas dan bawah ini.
Ada juga yang dibawahnya lapisan kertas tetapi lapisan kertasnya tidak bertahan lama. Kerap gugur dan menyebabkan foam ditengahnya menjadi habuk bila mereput.
1 lagi pilihan masa kini abang sarankan penggunaan atap jenis fibre hybrid daripada Thailand.
Dengar nama macam dasyat teknologinya ya? Sebenarnya ia cumalah atap jenis asbestos/simen berserat (asbestos dulu2 pernah diharamkan sebab kandungan bahannya membahayakan). Fibre hybrid buatan Thailand ini sedikit lebih liat dari asbestos biasa kita di Malaysia. Liat ni lebih baik dari keras kerana buatan yang terlalu keras ni ia mudah pecah. Kalau liat ia agak sedikit elastik (orang melayu kata memberi)
Lagi 1 ia tersedia dari kilang di Thailand sudah siap lapisan pelindungnya(coating) dan lebih tebal. Ia didatangkan dengan saiz lebih kecil berbanding asbestos buatan Malaysia yang besar dan panjang. Ini memudahkan pemasangannya. Dan menghasilkan corak tindihan yang lebih menarik.
Rabungnya pulak mengikut lekukan atapnya. Tiada lubang yang terbuka luas dan perlu ditutup dan ditampal simen seperti rabung genting.
Tetapi, ada kelemahan juga tentang rabung jenis fibre hybrid ini kerana jika ia bumbung rata(tanpa limas) mudah untuk dipasang. Jika bumbung jenis limas. Insha Allah tukang akan sakit kepala memikirkan dan mengerjakan pemasangan bumbung dan rabung fibre hybrid ini. Sangat leceh untuk menemukan setiap sudut bagi membolehkan rabung dipasang dengan sempurna.
Mendapatkan atap jenis ini juga sukar kerana tidak ramai pengedarnya di Malaysia. Di Johor hanya ada 1 pengedarnya di Kota Tinggi dan pengimportnya hanya ada di Kota Bharu-Kelantan.
Agak memakan masa mendapatkan bekalan jika stoknya habis. Abang biasa tengok rumah2 dibelah pantai timur menggunakan atap jenis ini dan mudah mendapatkan pengedarnya di belah sana.
Kelebihannya? Ia tahan lebih lama untuk diselenggara kerana skrunya juga dikeluarkan oleh kilang pengeluaran yang sama. Skrunya dilengkapkan dengan washer beserta getah berbentuk payung. Jika menggunakan skru zink biasa juga boleh. Skru zink biasa berkepala kecil. Senang crettt nanti atapnya.
Tips abang untuk yang nak bina rumah. Benda paling mudah nak lihat ialah jenis bumbung. Jangan lihat rekabentuknya sahaja.
1.Cari rumah yang paling sedikit saluran airnya samada saluran air konkrit atau zink dan pvc.
2.Yang bumbungnya bukan dari slab/papak konkrit.
3. Kerangkanya bukan dari kayu(besi juga ada masalah tetapi lebih praktikal guna besi daripada kayu).
4.Bukan atap jenis zink selapis(bisingnya nanti bila hujan ya ampun. Bila siang panas berbahang)
5.Bukan genting jenis pasir(mana2 perumahan guna atap jenis ni).
Nak cari seperti ciri diatas x dapat semua dapat 1-2 ok la. Sebelum esok lusa kena bangun tengah malam keluarkan besen menadah air. Lagi menyakitkan hati. Saya ada jumpa kes pemilik jual rumah disebabkan kebocoran bumbung(bumbungnya terlalu banyak concrete slab). Semak mata dan hati dia tengok bocor tu agaknya. Asik nak baiki dan cat berulangkali dalam jarak masa pendek.
KREDIT : ZURYAT ABADI
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Rebut Promosi Tahun Baru Cina, Beli Rumah Impian Di Aspire Residence, Cyberjaya Rebat Tambahan RM8,888
Isi Kandungan
ToggleMemiliki rumah sendiri sebagai tempat berteduh merupakan impian bagi setiap orang. Dalam merealisasikan impian untuk memiliki kediaman sendiri, pembeli perlulah bijak dalam merebut peluang yang ditawarkan oleh pihak pemaju.
Baik dari segi rebat tambahan, diskaun promosi tertentu, yuran guaman percuma dan sebagainya. Supaya pembelian kediaman lebih menguntungkan pemilik dengan harga berbaloi. Malah ia satu ‘bonus’ apabila rumah yang dibeli telah siap dibina, mendapat kelulusan sijil CCC dan sedia untuk diduduki pada bila-bila masa tanpa perlu menunggu lama pembinaannya.
Aspire Residence, Cyberjaya
Berita baik bagi yang sedang mencari kediaman jenis kondominum, lengkap dengan segala fasiliti, Aspire Residence adalah pilihan terbaik anda. Sangat sesuai didiami sendiri ataupun dijadikan aset pelaburan untuk disewakan kelak.
Aspire Residence terletak di Cyberjaya dan dibangunkan oleh pemaju Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang memiliki pengalaman 27 tahun dalam industri perumahan negara.
Pembinaannya berkonsep mesra keluarga dengan rekabentuk pembangunan bandar. Aspire Residence ini juga bertemakan alam sekitar, komuniti yang harmoni, kemudahan mesra orang kelainan upaya.
Kemudahan Fasiliti
Berhampiran dengan Lebuhraya ELITE Expressway, sekolah, universiti (MMU, Limkokwing, CUCMS), pusat membeli-belah D’Pulze, Alamanda dan IOI City Mall, KLIA, stesen ERL Putrajaya, MRT Cyberjaya serta pelbagai kemudahan lain.
Pelan Lantai
Mempunyai 4 jenis pelan lantai, bermula dengan Apartment Kos Sederhana keluasan 900 kps sehingga 1,608kps.
Pelan Lantai Apartment Kos Sederhana Jenis A: 900kps (3 Bilik 2 Bilik Air)
Pelan Lantai Apartment Kos Sederhana Jenis B: 900kps (3 Bilik 2 Bilik Air)
Pelan Lantai Apartment Kos Sederhana Jenis C: 1,608kps (4 Bilik 3 Bilik Air)
Pelan Lantai Apartment Kos Sederhana Jenis A: 1,175kps (3 Bilik 2 Bilik Air)
Paling penting Aspire Residence telah mendapat kelulusan Certificate of Completion and Compliance (CCC). Jadi ia dibina mengikut pelan yang asal, dibina dengan selamat, dan sesuai untuk diduduki.
Berita baik rebut peluang untuk miliki kediaman impian di Aspire Residence, Cyberjaya ini dengan harga bermula dari RM345,000.00 sahaja. Malah lebih menarik boleh dapatkan lagi rebat tambahan sebanyak RM8,888.
Tawaran hanya sah pembelian sepanjang tempoh promosi Tahun Baharu Cina sahaja iaitu 1 sehingga 29 Februari 2024 ini sahaja. Lebih Istimewa yuran guaman juga ditanggung oleh pemaju SPNB.
Jadi jangan tunggu lagi, rebutlah peluang keemasan ini untuk memiliki rumah impian anda pada harga yang cukup menarik dengan rebat tambahan yang ditawarkan.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi 019-379 6400 atau 03 7849 2038.
Boleh juga layari laman sesawang www.spnb.com.my
Syarikat Perumahan Negara Berhad
Level 1, Block C, Dataran PHB, Saujana Resort,
Seksyen U2, 40150 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan.
Di bawah pengurusan
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Perancangan Teliti Pemilik Realisasikan Kediaman Konsep Terbuka Inspirasi Modern Mediterranean
Isi Kandungan
ToggleKali pertama berkunjung ke kediaman ini, IMPIANA cukup tertarik dengan konsep terbuka dan gaya inspirasi Moden Mediterranean yang dizahirkan. Pemilik kediaman cukup ‘berani’ dalam menampilkan kelainan dan keunikan yang tersendiri pada reka bentuk mahupun dekorasi rumah yang berkeluasan 2,000 kaki persegi ini.
Lebih istimewa, idea dekorasi hanya cetusan citarasa sendiri bersama adik tersayang yang merupakan Pensyarah Seni Bina di UNIMAS. Memang terbaik hasilnya!
Sementelah kawasan rumah yang didirikan berisiko untuk mengalami banjir, perancangan yang teliti dan sebaiknya telah diatur oleh pemilik kediaman demi merealisasikan mahligai impian dapat dizahirkan.
Tambak Tanah 8 Kaki
Menurut pemilik kediaman Yon Tania, rumah ini dibina di atas tanah pusaka yang diberikan oleh ibunya. Namun, rumah ini terletak di kawasan tanah rendah dan berhampiran sungai, jadi ia berisiko untuk mengalami banjir. Sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kemungkinan tersebut, pemilik telah menambak tanah setinggi 8 kaki terlebih dahulu sebelum membina rumah impian.
“Tapak tanah rumah ini merupakan tanah pusaka pemberian mak. Terletak di kawasan rendah, berhampiran sungai dan berisiko untuk banjir. Jadi sebagai persediaan, sebelum PKP kami tambak tanah dulu dengan batu-batuan, setinggi 8 kaki sebelum membina rumah ini,”
“Hanya pada Jun 2023 kami mulakan membina rumah ini secara berperingkat dan ia siap dibina pada Jun 2024, dalam masa setahun,”ujar Yon memulakan bicara.
‘Sunken Living Room’
Melihat pelan lantai rumah ini yang bertangga dan bertingkat, pemilik mempunyai sebab tersendiri dalam memiliki rekaan ‘Sunken Living Room’ di ruang tamu. Begitu juga dengan pemilihan sofa di ruang tamu yang diperbuat daripada kemasan batu.
“Memandangkan rumah ini berisiko untuk banjir, kami membuat perancangan membina ‘sunken living room’ yang mempunyai aras lebih rendah berbanding ruang yang lain. Bahagian tempat duduk di ruangan ini juga diperbuat daripada kemasan batu dan penutup besi supaya ia tahan lasak dan tak mudah rosak jika kena air. Malah kami juga membuat ‘storage’ tambahan di bahagian tempat duduk bagi ruang penyimpanan tambahan,” ujar Yon.
Bukan itu sahaja, sebagai langkah persediaan, pemilik kediaman juga telah mengambil insurans bencana alam. Ia bagi pembayaran balik ganti rugi sehingga RM500,000 sekiranya banjir atau kebakaran rumah berlaku.
Pencahayaan & Pengudaraan Semulajadi
Istimewanya, ruang kediaman berkonsep terbuka tampak cukup luas dan selesa dengan pencahayaan dan pengudaraan semulajadi melengkapi kediaman ini. Sekaligus menjadikan kediaman ini mesra alam tanpa bergantung kepada penghawa dingin.
“Jika diperhatikan rumah ini berkonsep terbuka, tak banyak sangat dinding. Apabila waktu siang, kami tak perlu buka lampu semuanya daripada cahaya semulajadi. Kami juga tidak memasang pendingin hawa (aircond) kerana banyak ‘folding door’ dan tingkap, jadi udara dari luar banyak masuk ke dalam rumah. Hanya dalam bilik sahaja kami pasang aircond,” jelas Yon.
Entrance Garden, Courtyard & Edible Garden
Gaya hidup pemilik yang menggemari kehijauan alam semulajadi dan aktiviti bercucuk tanam menjadikan ruang kediaman ini cukup segar dengan pelbagai jenis tumbuhan hijau. Ia dapat dilihat pada taman kecil yang terletak di bahagian pintu masuk rumah, landskap indah dengan kolam air di ruang courtyard serta pelbagai jenis tanaman di laman dapur.
“Saya suka bercucuk tanam di rumah. Apabila bangun tidur melihat pokok-pokok hidup subur dan segar, cukup menenangkan hati. Ada macam-macam jenis pokok yang ditanam seperti pelbagai jenis pokok keladi, pokok kaktus, snake plant, Monstera, pokok kemboja, teratai dan sebagainya. Di laman dapur pula tanaman yang digunakan untuk masakan seperti daun kari, daun pandan, daun kunyit, pokok cili, oregano dan mint leaves,” ujar Yon.
Perancangan Masa Hadapan
Berkongsi perancangan masa hadapan pada rumah yang baru 5 bulan didiami ini, pemilik berkongsi impian untuk membina kolam renang serta beberapa rumah ‘homestay’ serta tapak perkhemahan di kawasan berhampiran rumahnya.
“Mengenai perancangan masa hadapan, saya berhasrat untuk membina kolam renang untuk anak-anak. Tanah pusaka ini berkeluasan hampir 8,000 kaki persegi, jadi saya juga merancang untuk mendirikan beberapa rumah ‘homestay’ dan tapak perkhemahan juga kelak,” jelas Yon mengakhiri bicara.
Tahniah buat pemilik kediaman apabila berjaya menzahirkan rumah berkonsep terbuka berinspirasikan gaya modern mediterranean yang cantik ini. Semoga menjadi panduan dan inspirasi buat pencinta dekorasi kediaman yang lain.
INFO KEDIAMAN:
Nama Pemilik: Yon Tania & Mohd Zuhri
Usia Kediaman: 5 Bulan (Jun 2024)
Konsep : Modern Mediterranean
Lokasi: Hulu Langat, Selangor
Keluasan Kediaman: 2,000Kps
Anggaran Kos : RM350k
Jenis Kediaman: Banglo
Spesifikasi Ruang Kediaman:
(Dapur kering, dapur basah, 4 Bilik Tidur, 3 Bilik Air, Family area, entrance garden, courtyard, sunken living room)
Semoga menjadi inspirasi buat pencinta dekorasi rumah yang lain.
Mesti Baca: Rumah Milik WAWA ZAINAL & AERIL ZAFREL Berkonsep Modern English, Siap Ada Mini Surau!
Baca Lagi Di Sini: Cantik Villa Konsep Farmhouse Pinggir Kampung, Target Dijadikan Rumah Pencen
Artikel Menarik: “Teratak NEN’Da” Estetika Rumah Kampung Berkonsep ‘English Cottage’ Milik Pelakon Khaty Fauziah
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI