LAMAN SEGAR PENYERI ANJUNG
Lokasi kediaman yang terletak di kawasan desa ini banyak memberi kelebihan pada penataan laman kediaman ini. Memiliki persekitaran laman yang agak luas, pemilik menata ruang lamannya dengan seimbang agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Elemen kejur pada laman dilembutkan dengan elemen air, tumbuhan hijau dan kolam ikan.
Tenang dan selesa, inilah yang dapat dirasakan penulis saat berada di ruang eksterior kediaman ini. Nyata konsep tropika ialah pilihan terbaik bagi memastikan kekayaan tumbuhan hijau mendominasi segenap penataan landskap ini. Kedengaran kocakan air kolam daripada puluhan ikan yang dibela dan pancuran air kolam mandi menggamit sentimen damai berganda. Secara keseluruhan taman ini terlihat dijaga sempurna, baik menerusi susun atur ataupun peletakan pasu dan tumbuhan yang praktikal. Suasana sebegini sedikit sebanyak mengundang reaksi positif pandangan pertama daripada sesiapa sahaja yang bertandang ke sini.
GARAPAN IDEA SENDIRI
Lazimnya, bagi mereka yang sibuk dan berkemampuan, akan mengupah pereka bentuk dalaman untuk melakukan penataan interior. Namun tidak bagi Dato Aliff yang lebih selesa melakukan penataan interior berdasarkan idea dan cita rasa sendiri.
“ Ketika di rumah lama, kami mengupah seorang pereka dalaman terkenal untuk melakukan penataan interior. Namun bagi kediaman ini saya menyatakan hasrat pada isteri untuk melakukan penataan interior sendiri,” ulas Dato Aliff tentang kediaman ini.
Berbekalkan pengetahuan hiasan dalaman melalui pengalamannya, selain pemerhatian dan rujukan dari majalah, Dato Aliff melakukan penataan villa Syurga Syukri ini dengan sokongan padu isteri tercinta. Tidak memilih konsep tertentu, sebaliknya setiap ruang dan bilik adalah istimewa di hati Dato Aliff. Setiap satu ruang dan bilik ditata rias dengan konsep berlainan dan tersendiri. Baginya ia merupakan suatu kepuasan selain boleh bereksperimentasi dengan pelbagai jenis perabot dan aksesori.
RUANG TAMU HADIR KESELESAAN
Penulis diiring masuk melalui pintu belakang kediaman ini, di mana sepanjang langkah penulis di hidang dengan seni landskap yang begitu indah. Menyelusuri beberapa bilangan anak tangga, terdapat peletakan sebuah pintu terbuka dengan reka bentuknya yang tersendiri. Dari kedudukan ini keindahan ruang interior kediaman yang indah dan mempesona sudah boleh dilihat. Terlebih dahulu, pandangan mata pastinya terpana melihat peletakan perabot kayu antik yang disusun atur pada tengah ruang foyer mengalu-alukan kehadiran tetamu. Dari sudut pandangan ke kiri dan kanan pula, pemilik mengasingkan kedua-dua ruang atas sebab tertentu yang dirasakan perlu.
“Perancangan awal kami sememangnya ingin menjadikan ruang di sini sebagai ruang tamu memandangkan silingnya yang lebih tinggi. Saya ingin tetamu merasa lebih selesa saat bertandang ke kediaman kami ini. Kebanyakan perabot yang terdapat di kediaman ini pula hampir kebanyakannya dari Indonesia. Jika dilihat, setiap ruang diasingkan kerana ingin ruang tampil lebih privasi,” ujar Dato Aliff.
Memandangkan keluasan ruang interaksi utama ini berganda, kerusi yang dipilih juga adalah daripada bersaiz besar agar penataan kelihatan lebih seimbang. Disusun secara berkelompok, ia pastinya mengundang keselesaan saat berinteraksi.
RUANG MAKAN DAN DAPUR ISTIMEWA
Memaksimumkan penggunaan ruang yang ada, pemilik menjadikan ruang berbaki pada sebelahan ruang tamu ini sebagai ruang santapan utama. Memuatkan sebuah meja makan bersaiz besar yang dilengkapi dengan lapan buah kerusi menjadikannya pilihan yang benar-benar bersesuaian untuk kediaman besar ini serta mampu memenuhi kapasiti tetamu. Kekal dengan imej dan konsep antik, meja makan set ini dipilih bergaya sama dengan perabot yang lainnya bagi mewujudkan keselarian konsepnya. Malah meja makan kayu jati ini kelihatan begitu unik dengan reka bentuk kayu yang kelihatan natural.
BILIK TIDUR CITA RASA PERIBADI
Memiliki jumlah bilik tidur yang agak banyak, iaitu lapan buah, pasti ia agak memeningkan bagi menata setiap satunya. Namun, ia tidak menjadi masalah buat pemilik.
“Setiap bilik tidur dihias mengikut cita rasa masing-masing. Tidak ketinggalan saya turut berkreativiti dengan dekorasi bilik, paling penting saya mahukan keselesaan untuk setiap ahli keluarga,” jelas pemilik.
Meskipun demikian, kesemua jenis perabot yang digunakan masih lagi menekankan rekaan perabot kayu yang digemari pemilik. Namun, warna dan rekaan terperinci disesuaikan dengan cita rasa berbeza. Penggunaan koleksi perabot dan aksesori yang digemari pemilik telah banyak membantu menceriakan sebuah kediaman indah dan mewah buat pemilik sekeluarga.