Citarasa setiap individu itu tidak sama serta berbeza dan mungkin ada di kalangan anda yang lebih gemar untuk memiliki kediaman jenis ‘high-rise’ sebagai pilihan.
Namun, sebelum anda membuat keputusan untuk memiliki kediaman di tingkat tinggi, anda wajib mengetahui kebaikan dan keburukannya serta mempertimbangkan beberapa perkara penting yang lain.
Kebaikan Rumah ‘High-Rise’
1.Kemudahan
Kediaman seperti kondominium dan apartmen kebiasaannya dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti dewan serbaguna, surau, kolam renang, gimnasium, gelanggang badminton, suana, taman permainan dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, kesemua kemudahan yang disediakan boleh diguna pakai bersama seluruh penduduk dalam satu bangunan yang sama.
2.Harga
Jika anda bandingkan kondominium mewah dengan rumah bawah, anda mungkin akan dapati harga kedua-duanya hampir serupa bergantung pada faktor seperti kemudahan, lokasi dan saiz.
Namun rumah ‘high-rise’ yang sememangnya diketahui umum jauh lebih murah berbanding ‘rumah landed’ dan boleh menjadi pelaburan yang bijak bagi pembeli rumah kali pertama.
3.Keselamatan
Di segi ketenangan hidup untuk anda dan orang tersayang, kediaman ‘high-rise’ biasanya dilengkapi ciri kawalan keselamatan yang kukuh seperti berpagar dan berpengawal
Jika anda memilih pemajuan yang lebih mewah, anda akan menikmati ciri tambahan seperti kunci pintar, kad kemasukan ke lif dan aras serta pemantauan kamera litar tertutup (CCTV).
4.Pulangan sewa beli
Antara sebab rumah ‘high-rise’ adalah satu pelaburan yang kukuh adalah oleh kerana permintaan terhadap rumah jenis ini sentiasa tinggi dalam kalangan penyewa berikutan lokasinya yang banyak terletak di kawasan bandar dan berhampiran pelbagai kemudahan pengangkutan awam .
Biasanya tiada masalah mendapatkan penyewa terutama sekali di kawasan bandar yang ramai penduduk dan berhampiran dengan institusi pengajian tinggi.
Keburukan Rumah ‘High-Rise’
1.Kumpulan wang penjelas dan yuran penyelenggaraan
Kemudahan yang ada di kebanyakan pemajuan ‘high-rise’ itu nyata bukannya percuma.
Jadi, anda juga perlu menyediakan wang untuk penyelenggaraan jangka masa panjang di kawasan umum dan kos baik pulih bangunan yang diperlukan (kumpulan wang penjelas).
2.Berstatus Komersial
Sesetengah rumah jenis kondominium atau apartmen sebenarnya hartanah berstatus komersil. Ini bermakna kadar utilitinya lebih tinggi berbanding rumah yang berstatus kediaman.
Anda juga mungkin dikenakan cukai perkhidmatan (Sales and Services Tax – SST) untuk perkhidmatan yang disediakan oleh Perbadanan Pengurusan (MC) atau Badan Pengurusan Bersama (JMB) bangunan anda.
3.Saiz Kediaman
Rumah kondominium dan apartmen biasanya lebih kecil berbanding ‘rumah landed’. Mereka yang ingin berkeluarga mungkin merasakan ruang yang ada sedikit terhad atau sempit.
Sesetengah pemajuan berkepadatan tinggi menempatkan banyak unit-unit kecil di dalam satu aras. Ini sudah pasti boleh membuatkan anda merasa lebih sempit.
4.Kekangan
Hidup di kediaman ‘high-rise’ biasanya ada kekangan, umpamanya peraturan ketat yang melarang anda memelihara binatang, ruang parkir yang terhad dan masalah kebisingan.
Sumber: PropertyGuru Website
Ingin lebih tahu pelbagai tips untuk dekorasi rumah? Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi IMPIANA. Klik di sini.