Mereka yang menanam pelbagai jenis bunga-bungaan dan tanaman hiasan (ornamental) sudah pasti mahukan lamannya kelihatan cantik dan bebas daripada serangan makhluk perosak terutamanya serangga, kulat dan rumpai. Sekiranya serangan makhluk perosak ini berlaku, pencegahan dan pengurusan makhluk perosak perlu dilakukan segera supaya laman yang cantik itu dapat diselamatkan.
Antara kaedah kawalan serangan ini adalah dengan menggunakan racun makhluk perosak yang berdaftar. Berdaftar? Kenapa perlunya anda membeli racun makhluk perosak yang berdaftar? Ia penting kerana racun yang berdaftar adalah racun yang telah diluluskan penggunaannya dengan mengambil kira pelbagai faktor keselamatan supaya ia tidak berbahaya pada manusia dan alam sekitar. Jadi pastikan terlebih dahulu sebelum anda membeli racun makhluk perosak untuk kawalan serangan makhluk perosak di laman ianya perlu berdaftar. Racun makhluk perosak yang tidak berdaftar adalah racun makhluk perosak haram dan amat berbahaya kepada manusia dan alam sekitar. Setiap racun berdaftar mempunyai nombor pendaftaran di bekas racun makhluk perosak tersebut seperti LRMP.R1/XXXX yang mana setiap pendaftaran racun makhluk perosak di Malaysia tertakluk kepada kelulusan Lembaga Racun Makhluk Perosak yang telah termaktub di bawah AKTA RACUN MAKHLUK PEROSAK 1974 (Akta 149).
Panduan Memilih Racun Perosak Yang Baik
Langkah pertama yang perlu anda lakukan dalam mengawal serangan makhluk perosak ke atas laman anda adalah dengan memastikan terlebih dahulu apakah jenis serangan makhluk perosak tersebut sama ada serangga, kulat atau rumpai. Sekiranya serangan tersebut melibatkan ketiga-tiga makhluk perosak iaitu serangga, kulat dan rumpai maka anda perlu membeli racun serangga, racun kulat dan racun rumpai yang berdaftar.
Tip membeli racun-racun tersebut adalah berdasarkan kepada Perawis Aktif racun tersebut bukannya jenama racun. Antara perawis aktif racun serangga untuk kawalan serangga ke atas bunga-bungaan atau tanaman hiasan seperti white oil, azadirachtin, cyromazine dan pyriproxyfen ; manakala bagi racun kulat pula perawis aktifnya adalah seperti chlorothalonil, mancozeb dan thiophanate-methyl dan bagi perawis aktif bagi racun rumpai pula adalah seperti sethoxydim, glyphosate dimethylammonium dan imazapyr isopropylammonium.
Setelah anda melihat perawis aktif bagi jenis serangan makhluk perosak pada laman anda, pastikan anda membaca label pada bekas racun tersebut kerana di sana terdapat maklumat-maklumat yang penting antaranya nombor pendaftaran racun tersebut (LRMP.R1/XXXX) yang menunjukkan bahawa racun ini berdaftar, kelas racun tersebut, panduan membancuh dan menyembur racun serta rawatan kecemasan dan perubatan.
Adalah menjadi kesalahan sekiranya anda tidak membaca label pada bekas racun makhluk perosak apabila menggunakannya. Ia perkara yang amat penting kerana pada label tersebut menjelaskan perkara-perkara penting sebelum, semasa dan selepas setiap kali menggunakan racun makhluk perosak tersebut.
Di label setiap bekas racun makhluk perosak ada maklumat yang terperinci yang perlu anda tahu supaya ia menjadi panduan kepada anda bagi menjamin racun makhluk perosak yang digunakan adalah berkesan dan selamat digunakan antaranya adalah pengelasan racun makhluk perosak tersebut. Kelas racun makhluk perosak yang berdaftar terbahagi kepada 5 kelas yang membezakan kesan toksisiti/kebisaan serta membezakan racun daripada kurang berbahaya kepada yang lebih bahaya. Kelas terendah bagi racun makhluk perosak adalah KELAS IV , kemudian KELAS III (BERBAHAYA), KELAS II (BERACUN), KELAS 1b (BERACUN-BISA) dan KELAS 1a (BERACUN-AMAT BERBISA).
Apa Yang Perlu Dilakukan Apabila Keracunan
Pada setiap bekas racun makhluk perosak yang anda akan beli terdapat satu penyataan keracunan yang perlu diambil perhatian oleh anda di mana di label tersebut tertera penyataan ‘Jika berlaku KERACUNAN, sila hubungi : PUSAT RACUN NEGARA – 1-800-88-8099 (waktu pejabat) 012-4309499 (lepas waktu pejabat)’. Perkara ini janganlah diambil mudah kerana dalam menggunakan racun makhluk perosak pelbagai kemungkinan boleh berlaku terutamanya melibatkan keselamatan pengguna. Selain daripada penyataan keracunan ini, di label juga terdapat penyataan yang membantu anda sekiranya berlaku kecemasan di mana penjelasan secara terperinci berkenaan tanda-tanda keracunan apabila anda terkena semasa menggunakan racun makhluk perosak tersebut. Di label itu juga terdapat bagaimana rawatan kecemasan dan perubatan yang perlu dibuat sebelum sampai ke hospital untuk tindakan selanjutnya.
Kaedah Betul Mengendalikan Racun
Sebelum anda membancuh racun makhluk perosak tersebut, pastikan juga anda membaca aturan penggunaannya pada label yang menyatakan jenis tanaman, jenis perosak, kadar racun dan isi padu semburan berdasarkan pada yang tertera pada label kerana penggunaan tidak mengikut label adalah satu kesalahan.
Setelah semuanya pada label racun makhluk perosak tersebut anda baca dan fahami maka bolehlah memulakan kawalan makhluk perosak menggunakan kaedah racun makhluk perosak dengan memastikan bahawa anda perlu memakai pakaian pelindung yang sesuai, menggunakan peralatan bancuhan yang sesuai dan teknik semburan yang betul serta berdirilah dengan membelakangkan arah tiupan angin sewaktu membancuh dan jangan menghidu atau menyedut racun perosak tersebut serta jangan pindahkan racun perosak tersebut ke bekas lain. Semasa menyembur juga dilarang makan atau merokok dan digalakkan semburan racun ini dibuat pada sebelah pagi atau petang dan tidak dilakukan pada waktu tengah hari.
Setelah selesai menyembur racun tersebut, cuci alat penyembur dengan bersih dan simpan di dalam bilik stor. Kemudian anda perlu mandi dengan menggunakan sabun dan air yang banyak, sekiranya anda ada rasa tanda-tanda keracunan sila berjumpa doktor dengan kadar segera.
Anda juga diminta untuk merekodkan semua penggunaan racun perosak supaya memudahkan sekiranya berlaku kecemasan. Bagi bekas racun yang telah habis digunakan, pastikan ianya dibilas dengan air sebanyak tiga kali dan kemudian dikumpulkan di tempat pengumpulan kitar semula bekas racun makhluk perosak, dan anda tidak digalakkan menanam bekas-bekas tersebut. Pastikan juga bekas-bekas tersebut tidak digunakan sebagai tempat menyimpan bahan makanan. Anda juga perlu menyediakan satu tempat khas/stor untuk menyimpan racun-racun makhluk perosak ini jauh daripada makanan, ubat, pakaian dan sebagainya dan pastikan ianya senantiasa berkunci.
Jadi ianya bukan senang untuk pastikan laman anda sentiasa cantik, yang pasti kawalan dan pengurusan racun makhluk perosak perlu dibuat dengan cara yang berhemah dan betul untuk keselamatan diri anda dan alam sekitar. Yang paling penting sebelum anda menggunakan sesuatu racun makhluk perosak berdaftar untuk kawalan perosak di laman anda adalah dengan ‘BACA LABEL SEBELUM GUNA’.
Penulis: Mohamad Nizam Malik, Ketua Unit Label, Bahagian Kawalan Racun Makhluk Perosak, Jabatan Pertanian, Kuala Lumpur