Berita

Ini Sebabnya Batas Padi Di Vietnam Penuh Dengan Ros Jepun Yang Anda Tidak Tahu

Share

Bagi mengatasi masalah serangga perosak di sawah padi dan pada masa sama mengurangkan penggunaan racun perosak, sekumpulan pesawah di wilayah Ba Ria-Vung Tau, Vietnam, merintis model penanaman baru dikenali sebagai Sawah Padi Dengan Tebing Berbunga.

Menerusi model itu, pesawah menanam pokok bunga di sepanjang tebing atau pinggir sawah untuk menarik kehadiran serangga musuh semula jadi kepada serangga perosak, di samping meningkatkan produktiviti.

Model ini adalah sebahagian daripada program untuk mengawal perosak dan penyakit padi menggunakan bioteknologi.

Ia dibangunkan Institut Penyelidikan Padi Antarabangsa (IRRI) pada 2009 di daerah Cai Lay dan Cai Be wilayah Tien Giang, Vietnam.

Matlamatnya untuk memperbaiki sistem botanikal di sawah padi bagi meningkatkan rintangan ekologikal dan mengurangkan penggunaan racun perosak ketika peringkat awal penanaman padi.

Pesawah yang menyertai program itu diajar untuk menanam pokok bunga khusus di sekitar sawah padi dan usaha berkenaan menjimatkan kos untuk pembelian racun perosak.

Antara yang ditanam adalah bunga ros Jepun, bunga krokot (moss rose), bunga butang ungu, bunga bakung labah-labah merah dan bunga matahari.

Kaedah biologi ini yang digunakan secara meluas di Ba Ria-Vung Tau dan dikatakan berkesan membanteras serangga perosak apabila pesawah mendakwa memperoleh hasil tuaian enam tan per hektar pada musim luruh serta tujuh tan perhektar ketika musim sejuk.

Berdasarkan maklum balas pesawah, mereka mendakwa pokok bunga berwarna kuning dan putih menghasilkan lebih banyak debunga yang menarik perhatian serangga musuh semula jadi. Malah, serangga perosak tidak ditemui di kawasan sawah yang ditanam pokok kapas.

Manfaat model penanaman ini membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar, mewujudkan keseimbangan ekologi di sawah, melindungi kesihatan pesawah dan memperbaiki pengetahuan teknikal mereka termasuk kawalan penyakit di sawah.

Pesawah di kawasan Delta Mekong turut menggunakan kaedah sama dan ia didapati mewujudkan persekitaran ekologi yang baik, mengurangkan penyakit epidemik sawah padi dan meningkatkan kualiti produk.

Selain itu, pesawah wanita di wilayah Tien Giang yang turut menanam pokok bunga di tepian sawah mereka mendakwa dapat menjimatkan kos kawalan perosak hingga 42 peratus.

Serangga musuh perosak dan organisma lain yang menghuni pokok bunga di pinggir sawah membantu mengawal perosak seperti bena perang.

Kaedah kawalan perosak dengan model penanaman bunga di sawah padi turut digunakan pesawah di Jepun, Korea dan Thailand.

Keindahan bunga berwarna-warni yang mekar dan melatari panorama sawah padi turut menjadi tumpuan pelancong.

Sumber: www.hmetro.com.my

Published by
Impiana