Berita baik buat peminat jenama mewah antarabangsa, “LV The Place Bangkok” kini telah dibuka di Bangkok, Thailand.
Mempunyai dua tingkat dan terletak di kompleks pusat bandar di Ratchaprasong, “LV The Place Bangkok” yang baru sahaja dibuka pada 28 Februari baru-baru ini, menawarkan pengalaman 360 darjah yang baharu ke dunia jenama mewah ini.
Ia mengetengahkan konsep yang menghubungkan seni, fesyen, makanan dan budaya, merangkumi ruang pameran, butik jualan, restauran dan kafe yang cukup elegan dan mempesonakan.
Para pengunjung juga ‘disajikan’ dengan dekorasi interior mewah, baik dari segi pemilihan perabut dan perhiasan, kemasan lantai, siling serta dinding, susun atur ruang pameran, mahupun menu yang sediakan.
Pada pintu masuk bahagian hadapan, pengunjung disambut oleh fasad yang menarik, dihiasi dengan bentuk berlian yang gemerlapan, untuk merasai pengalaman yang menakjubkan.
Di tingkat bawah, tetamu memulakan “Visionary Journeys”, yang menempatkan ruang pameran mengenaisejarah Louis Vuitton. Pengalaman scenografi ini, direka oleh OMA dan Partner Shohei Shigematsu, membawa pengunjung mengembara melalui bilik bertema, bagi meneroka aspek berbeza legasi Maison, daripada sudut seni pertukangan dan inovasi kepada perjalanan dan kreativiti.
Le Café Louis Vuitton juga terletak di tingkat bawah, menawarkan pengalaman kulinari yang menarik. Suasana kafe yang menghijau, menampilkan unsur botani dan perincian reka bentuk Louis Vuitton yang cukup ikonik. Cafe ini juga menyediakan suasana yang sempurna untuk menikmati pelbagai jenis pastri, kek dan pencuci mulut yang lazat, dengan sentuhan Louis Vuitton yang istimewa.
Tingkat atas menempatkan kedai Louis Vuitton, ruang elegan yang mempamerkan koleksi lelaki dan wanita. Kedai ini menampilkan produk eksklusif, termasuk beg Alma Nano Rainbow yang eksklusif di seluruh dunia dan kasut LV Trainer Upcycling, di samping koleksi yang disusun rapi dan pilihan hot stamping.
Bukan itu sahaja, menariknya “LV The Place Bangkok” juga menempatkan restoran pertamanya di Asia Tenggara. Ia dinamakan “Gaggan at Louis Vuitton” bersempena dengan kerjasama chef terkenal dunia Gaggan Anand.
Variasi menu kulinari mewah berinspirasikan hidangan Thai disajikan daripada udang galah hinggalah kepada pencuci mulut yang luarbiasa cantik dan sedap bagi memenuhi citarasa.
Pelanggan juga boleh merasai menu santapan eksklusif berdasarkan 5 “S” – (Sweet) Manis, (Sour) Masam, (Salty) Masin, (Spicy) Pedas dan (Surprise) Kejutan.
Jadi buat yang berada di Bangkok, Thailand, rebut peluang merasai pengalaman mewah di “LV The Place Bangkok” ini.
📍LV The Place Bangkok
Pusat Beli-belah Gaysorn Amarin, Ratchaprasong, Bangkok
⏰ 12pm – 3pm, 6pm – 11pm (Tutup pada Selasa & Rabu)
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Sumber: Bangkok Foodie, pamper