Jangan pandang remeh pada kisah demam denggi ini. Walaupun kini kita sedang dilanda wabak yang lebih dahsyat dari denggi, harus diingat demam denggi juga boleh membawa maut jika tidak dikawal.
Demam denggi adalah disebabkan oleh virus denggi. Ia merebak melalui gigitan nyamuk Aedes. Dianggarkan terdapat lebih 100 juta kes denggi di serata dunia setiap tahun. Bagaimana ingin tahu berkemungkinan kita menghidap demam denggi?
Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (Crisis Preparedness and Response Center – CPRC), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sehingga Minggu Epid Ke-29 Tahun 2021 (3 Januari sehingga 24 Julai 2021), sebanyak 15,702 kes demam denggi dilaporkan.
Pesakit akan mengalami tanda-tanda dan gejala selepas lima hingga enam hari selepas gigitan nyamuk aedes. Gejala seperti demam panas, sakit kepala, sakit tulang belakang, sakit sendi-sendi, rasa loya dan muntah-muntah, mata akan mula terasa sakit dan ruam mula naik di sekitar badan.
Demam denggi terdiri daripada dua iaitu demam denggi biasa dan demam denggi berdarah yang boleh membawa maut. Demam ini bukanlah demam biasa yang boleh dipandang ringan jika tersilap langkah boleh mengundang derita.
Demam denggi berdarah turut mempuyai tanda-tanda seperti yang dinyatakan tadi dan juga pendarahan seperti mudah lebam, pendarahan di bawah kulit, hidung atau gusi. Ia juga boleh diikuti dengan pendarahan seluruh badan yang juga membawa maut.
IMPIANA bukan ingin menakutkan anda dengan kisah denggi ini, tetapi IMPIANA ingin memberi kesedaran kepada semua tentang demam denggi yang tidak boleh diambil mudah dan ringan.
Apabila anda mengidap gejala demam denggi ini apakah langkah yang perlu diambil. Segera dapatkan rawatan di hospital berdekatan, berehat dan minum air dengan banyak. Masih tiada rawatan khusus untuk demam denggi ini. Jadi elakkan diri dari terkena demam denggi. Apa pula cara untuk mencegah demam denggi ini?
Terdapat Sembilan elemen penting dalam aktiviti Pendidikan Kesihatan iaitu gotong- royong, ceramah, hebahan awam, edaran risalah, penampalan poster, pemasangan media luar, perbincangan kumpulan kecil, nasihat individu dan tunjuk cara.
Menurut Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Puan Suraiya Syed Mohamed berkata, sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, aktiviti pendidikan kesihatan bagi pencegahan denggi dilaksanakan mengikut Norma Baharu dan terhad kepada beberapa aktiviti sahaja seperti gotong-royong kendiri, hebahan awam (melalui televisyen, radio, kenderaan bergerak dan media sosial), pemasangan media luar dan edaran risalah.
“Kita mempunyai Cawangan Promosi Kesihatan di seluruh negeri di mana mereka berperanan dalam menyampaikan maklumat kesihatan kepada masyarakat dan menerapkan elemen untuk perubahan tingkah laku. Pelbagai medium boleh digunakan dalam menyampaikan isu kesihatan kepada masyarakat dan yang paling
cepat adalah melalui media sosial. Masyarakat kini banyak menggunakan media sosial dalam kehidupan seharian. Oleh itu, kita menggunakan medium seperti itu dalam menyalurkan maklumat pencegahan denggi agar masyarakat sentiasa mendapat maklumat mengenai bahaya demam denggi,” katanya.
Terdapat pelbagai cara untuk mencegah demam denggi ini lakukan perkara ini di rumah anda hanya ambil masa 10 minit untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan ini. Bukanlah susah sangat.
IMPIANA juga menggalakan melakukan pembersihan di sekitar rumah. Buang air yang bertakung pada pasu bunga yang mungkin anda tidak perasan. Longkang yang tersembat atau mempunyai sampah bersihkan kerana itu adalah salah satu punca yang kita tidak sedar. Jika anda suka menyimpan barang berkebun di luar rumah cuba pastikan tiada bekas atau peralatan yang bertakung air. Akhir sekali sembur stor luar rumah dan Kawasan yang anda simpan barang dan peralatan berkebun itu dengan semburan nyamuk.