Kediaman Townhouse Dengan Elemen Moden Inggeris

Share

Impak Wow Factor

Elegan dan menakjubkan. Inilah yang boleh penulis simpulkan tatkala melangkah masuk kedalam kediaman yang didiami sebuah keluarga harmoni ini. Puan Mell Amelia dan suami sama-sama bersetuju untuk menghias setiap ruangan dengan konsep moden inggeris yang dilihat amat dekat dengan personalitinya.

Berbeza dengan kediaman teres biasa, rumah jenis townhouse ini merupakan kediaman bertingkat dikawasan perumahan moden yang digabungkan dengan sebuah atau lebih rumah yang lain diatas ruang kawasan yang sama. Walaupun begitu, bukan bermaksud pemilik tidak dapat menikmati privasi dalam keselesaan ruang mereka sendiri. Ia masih lagi menyajikan keselesaan kepada mereka yang bijak menyusun atur dan menata rias seperti Mell Amelia ini.

Rumah yang baru sahaja didiami selama setahun ini mempunyai 3 tingkat termasuk pintu utama yang terletak di aras tanah. Ia dilengkapi tiga bilik tidur serta 4 bilik air yang cukup selesa buat mereka sekeluarga yang sememangnya mementingkan ruang yang memberi kenyamanan.

KOMPAK DAN SELESA

Keselesaan optimum dapat dicapai jika isi rumah dan keluasan keseluruhan seimbang dan ia berupaya memenuhi kehendak setiap individu. Pelbagai aktiviti dan fungsi berlainan bagi setiap ruang juga dapat memberi impak terhadap tahap keselesaan kediaman.

Mell dan suami sudah lama mengimpikan kediaman yang lebih luas berbanding rumah jenis service apartment mereka yang terdahulu. Memandangkan bilangan ahli keluarga juga semakin meningkat, pilihan ini adalah yang paling tepat buat keluarga ini. Keluasan 2.6 kaki persegi, kediaman ini dapat menempatkan kesemua ahli keluarga ini .

ELEGAN SENTUHAN PERIBADI

Mell Amelia, ibu kepada 4 orang cahaya mata ini juga sebetulnya merupakan juru hias dalaman jadi tidak hairan lah jika kediamannya sendiri terlihat amat gah dan penuh dengan sentuhan eksklusif yang tidak boleh didapati dimana-mana pun.

Ujar Mell, “Kami bersama-sama berusaha mencari idea untuk konsep kediaman dan pilihan bilik masing-masing. Proses ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga telah mengeratkan lagi hubungan kami sekeluarga”.

Komunikasi sesama ahli keluarga juga amatlah penting bagi memastikan tiada yang rasa ketinggalan selain menjamin keselesaan untuk semua isi rumah.

KARAKTER KAMAR BERADU

Warna hitam dilihat sebagai taboo dan amat jarang sekali kita lihat dinding dalam rumah dicat hitam kerana ianya menyerap haba dan boleh membuatkan sesebuah ruang tampak kecil dari saiz sebenarnya. Tetapi berlainan dengan bilik tidur anak perempuan Puan Mell yang di cat hitam dengan lantai kayu. Semakin dilihat, semakin cantik dan elegan sekali.

Pencahayaan dan saiz bilik memainkan peranan agar ruang tidak kelihatan sesak atau sempit. Keluasan bilik tidur ini amat sesuai dimuatkan sebuah katil bersaiz queen, almari baju built-in serta satu sudut solek untuk pemiliknya. Kemasan wainscoting yang simple pada dinding hitam juga telah memberikannya tekstur dan elemen 3D untuk menghidupkan lagi ruang.

 

Published by
Impiana