Kesilapan selalu kita buat ketika membeli sofa boleh memberi impak yang besar kepada keselesaan dan kepuasan seisi rumah. Anda mungkin akan rasa sedikit ralat lebih-lebih lagi jika anda telah menghabiskan banyak wang untuk membeli sofa yang diidamkan.
Lebih ‘sakit’ lagi kesilapan ini akan membuatkan anda berasa sangat kecewa. Terdapat beberapa kesalahan umum yang sering dilakukan oleh ramai orang ketika membeli sofa. Selepas ini jika anda berhajat untuk membeli sofa baharu, pastikan anda jangan terburu-buru membuat keputusan.
Kesilapan yang paling biasa yang sering dilakukan oleh ramai orang ketika memilih sofa ialah berkaitan dengan saiz saofa. Kebanyakan orang lupa mengukur ruang yang ingin diletakkan sofa sebelum membeli sofa.
Kebiasaanya akibat terpesona dengan sofa yang dipamerkan di kedai pearbot, ramai di antara kita tidak lagi mempedulikan soal saiz sofa. Faktor ilusi ruang kedai yang besar menjadikan sofa besar kelihatan kecil. Untuk mendapatkan sofa yang betul, anda harus terlebih dahulu mengukur keluasan ruang di rumah anda sebelum membeli sofa. Juga, jangan lupa untuk mengukur skala sofa lama dengan sofa yang akan anda beli.
Kesilapan yang sering juga dilakukan oleh ramai orang ialah apabila tidak mencuba dahulu sofa yang ingin dibeli. Hanya selepas dibeli, barulah anda dapat rasa yang anda sebenarnya tidak selesa dengan sofa tersebut ketika anda duduk di atasnya.
Sebagai contoh, anda mempunyai saiz badan yang tinggi, tetapi anda memilih sofa yang mempunyai tempat duduk yang cetek. Oleh itu, sebelum membeli sofa, anda harus cuba duduk di atas sofa tersebut. Jangan lupa untuk mencuba sofa seperti apabila anda menggunakannya di rumah. Sebagai contoh, jika anda sering tidur di sofa, cuba tidur di atas sofa yang anda ingin beli.
Konsep dekorasi kediaman anda amat penting diperhatikan ketika memilih jenis sofa yang ingin dibeli. Jangan biarkan dekorasi rumah anda yang berkonsep Scandinavia, tetapi sofa yang anda pilih adalah Gothic. Sudah tentu ia akan menjadi sangat ‘aneh’ melainkan anda seorang yang benar-benar pakar dalam menggabungkan pelbagai jenis perabot agar kelihatan unik.
Pertimbangkan juga bahagian ruang mana di dalam rumah anda yang ingin anda letakkan sofa baharu. Ini kerana, ia sangat mempengaruhi pemilihan warna dan fabrik pada sofa. Sebagai contoh, jika sofa yang anda pilih diperbuat daripada warna licin dan terang, maka ia digunakan untuk kawasan keluarga. Sudah tentu sofa akan cepat rosak kerana kerap digunakan.
Selain itu, pilih warna sofa berdasarkan material dan warna yang anda sangat suka. Jangan pilih sebab warna tersebut sedang ‘trending.’ Ini kerana anda akan menggunakan sofa tersebut selama bertahun-tahun.
Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran harga sofa yang murah walaupun anda dalam mood berjimat-cermat. Anda juga perlu memilih sofa yang berkualiti. Harga yang murah sememangnya akan menjimatkan perbelanjaan. Bagaimanapun tidak semestinya harga yang murah, sofa tersebut akan bertahan sehingga 10 tahun.
Sofa yang berkualiti mungkin akan membuatkan anda menghabiskan banyak wang. Bagaimanapun kerana kualiti yang boleh menjadikan sofa tahan lebih lama, anda tidak perlu menukar sofa dengan kerap dalam tempoh 10 tahun akan datang.
IMPIANA: Semoga dengan panduan yang diberikan dapat membantu anda untuk memilih sofa yang tepat. Jangan lakukan lagi kesalahan yang sama ketika anda berhajat untuk membeli sofa baru.
Kredit foto (top image): Pixabay