Dekorasi

‘KOLAM’ Bukan Sekadar Hiasan Rumah Sempena Deepavali, Ketahui Fakta & Maksudnya!

Share

Bila sebut tentang perayaan Deepavali pasti terbayang hiasan ‘kolam’ yang berwarna-warni dan menarik menghiasi pintu kediaman.

Deepavali turut dikenali sebagai Pesta Cahaya dan merupakan perayaan utama bagi masyarakat India yang beragama Hindu, Sikh dan Jain, yang mana ia disambut pada Oktober atau November setiap tahun.

Tapi apakah makna dan tujuan tujuan sebenar  lukisan berwarna atau tepung beras itu?

Mungkin hiasan kolam ini kelihatan remeh pada sesetengah anggota masyarakat. Namun hakikatnya, ia lebih daripada sekadar hiasan warna-warni yang direka sempena perayaan Deepavali.

Jom lihat lapan fakta menarik mengenainya.

 

01

Kolam yang direka dengan penuh warna-warni merujuk kepada Rangoli. Jadi jika anda mendengar perkataan Rangoli digunakan dalam filem Bollywood, maksudnya adalah kepelbagaian warna!

02

Semasa perayaan Deepavali di kediaman, kolam selalu ditempatkan di pintu hadapan dan ia akan digabungkan dengan hiasan pelita yang dinyalakan atau ‘vilakku’.

03

Hiasan pelita yang dinyalakan di sekeliling kolam pula berkait rapat kepada nama perayaan ‘Deepavali’ itu sendiri yang bermaksud ‘pesta cahaya’.

04

Tujuan kolam dihasilkan adalah untuk menarik kehadiran serangga dan burung di sekitar rumah sebenarnya. Ini kerana agama Hindu menggalakkan penganutnya memberi makanan kepada haiwan. Oleh itu, kolam menjadi sumber makanan kepada serangga dan burung.

 

05

Anda dibenarkan untuk mencipta apa-apa jenis lukisan bagi rekaan kolam. Tiada pantang-larang dari segi imej tersebut, namun rekaan paling popular sewaktu perayaan Deepavali adalah flora, burung merak, pelita dan gajah.

06

Selain beras hancur yang diwarnakan, anda juga boleh menggunakan tepung suji, tepung beras, kapur, serbuk kapur, serbuk batu dan serbuk sintetik yang berwarna-warni.

07

Untuk perayaan Deepavali, cukup sekadar kolam dijaga selama dua hari sebelum dikemaskan. Disebabkan beras dicampur dengan pewarna makanan, kolam yang sudah lagi tidak digunakan boleh dijadikan sebagai makanan ayam atau burung selepas itu.

08

Cuma kolam yang dijadikan hiasan di pejabat dan pusat membeli-belah tentulah perlu bertahan lama, bukan? Oleh itu, warna yang lebih berkualiti (dan tentunya lebih mahal) seperti pewarna makanan akan digunakan.

*

Lain budaya, lain keistimewaannya. Oleh itu, janganlah kita sesuka hati memperlekehkan atau merendahkan hiasan dalam budaya masyarakat lain sekiranya kita tidak tahu simbolik di sebaliknya.

Selamat menyambut Hari Deepavali buat kaum India! Perayaan kali ini mesti lebih meriah dengan kehadiran sanak saudara dan aktiviti kunjung-mengunjung.

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Nana