Menjengah ke kediaman semi-D dua tingkat di kawasan membangun Bandar Parklands, Bukit Tinggi ini memberikan pengalaman baru kepada penulis. Terdapat suatu aura yang menenangkan dari taman ini. Pemandangan dan bunyi-bunyian mendamaikan memenuhi sekitarnya menerusi reka bentuk water feature ringkas sebagai focal point terletak di ruang santai menjadi latar belakang yang mendamaikan halwa telinga. Roslin dan suaminya sangat menggemari kehalusan seni bina kayu lalu mendapatkan perkhidmatan NBS Corporation Sdn.Bhd melalui majalah LAMAN bagi merealisasikan sebuah taman yang diidam-idamkan.
Tanah lapang di kediaman ini pada asalnya berkeluasan hampir 1800 kaki persegi. Kemudian pemilik mengunjurkan sebahagian struktur kediamannya bagi mendirikan sebuah dapur basah di bahagian belakang dan mengunjur ke tepi bilik pelbagai kegunaan di bahagian sisi. Tanah lapang yang diperuntukkan untuk membuat taman merangkumi keluasan hampir 1300 kaki persegi.
Taman kecil berkeluasan hampir 300 kaki persegi di bahagian kiri pintu masuk diserlahkan dengan rekaan decking berukuran 6 kaki lebar daripada kayu cengal bagi mewujudkan sense of welcoming kepada tetamu yang melalui ruang ini sebelum masuk ke dalam kediaman. Oleh sebab ruang ini dihalangi struktur kediaman milik Roslin dan jiran, cahaya matahari tidak dapat mengenai sebahagian tanaman memerlukan peletakan batuan pebbles pelbagai saiz sebagai alternatif penggunaan rumput.
Overhead yang dicipta daripada cengal material sama dengan decking menjadikan ruangan ini lebih luas dan bersatu dengan kediaman. Manakala sebuah kerusi taman yang diletakkan di hadapan muka pintu mewujudkan ruang menunggu yang lebih intim di antara pemilik dan tetamu yang berkunjung. Ia mengubah sudut ini seratus peratus daripada asal yang hanya dijadikan laluan sementara sebelum masuk ke rumah.
Taman kedua di sebelah kanan pintu masuk merupakan kawasan utama yang dititik beratkan dalam reka bentuk taman di kediaman ini. Dengan keluasan 1000 kaki persegi, tanah lapang pada asalnya dihiaskan dengan tanaman dalam pasu berubah menjadi ruang santai yang begitu merehatkan. Tanaman ditanam secara berkelompok dengan pelbagai hierarki di sepanjang perimeter bahagian ini untuk mencipta kehijauan secara maksimum.
Plot penanaman di sudut ini lebih ketara kerana pemilihan tanaman yang pelbagai. Tanaman yang gemar kepada redup dipilih kerana cahaya matahari tidak dapat menembusi sepenuhnya di sudut ini. Antara yang menjadi pilihan adalah Raphis exelsa, Thaumatococcus daniellii dan Trandescantia spathacea ‘Compacta’. Penggunaan batu pemijak buatan simen menjadi penghubung di antara kawasan meletak kereta dan ruang santai utama.
Seterusnya, transisi antara ruang di teruskan kepada decking bersaiz 16 kaki x 14 kaki kayu cengal berbumbung kayu jenis sama. Sedikit perincian ukiran pada kekisi di bumbung menjadikan ruangan ini kaya dengan unsur kayu dan tradisional. Ruang santai ini merupakan ruang utama yang menjadi pilihan pemilik dan pereka. Kehebatan kayu diserlahkan secara maksimum di ruangan ini. Dengan reka bentuk ala kampung, setiap penjuru ruangan ini dikemasi kekisi beranda bagi menunjukkan had laluan.
Binaan pagar sebelum ini dijadikan perimeter bagi membina water feature yang memberikan kesinambungan di antara ruang tamu dan ruang santai tersebut. Dinding water feature didirikan menggunakan batu granit yang disusun secara rawak, kemudian dipasangkan dinding bagi water feature diperbuat daripada natural stone. Rekaan bumbung kayu diteruskan kepada bahagian atas water feature
bagi mewujudkan privasi di ruang santai.Binaan ini terus disambungkan ke kawasan decking dengan kehadiran sebuah kolam ikan koi yang mempunyai aras sama dengan decking. Ruang serba lengkap ini menjadi sebuah tempat eksklusif bagi pemilik berehat kerana reka bentuk separa terbuka bersambungan dengan ruang tamu kediaman. Kekisi pada bahagian bumbung menjadi penyaring udara dan pandangan sesuai dengan konsep santai yang dipersembahkan.
Bagi melengkapi sebuah ruang santai, perabot luar ringkas set meja dan kerusi disediakan biarpun pemilik senang duduk bersila di lantai decking menambah ciri ala kampung di taman ini. Secara keseluruhannya, kombinasi kehebatan kayu dan komposisi tanaman memberikan nafas baru kepada taman sedia ada dan pemilik sekeluarga menghargai kehalusan seni bina dan kepelbagaian material yang dipilih.