PINTU
Pandangan pertama terhadap pintu menafsirkan cita rasa penghuni di dalamnya. Maka, pastikan reka bentuknya menampakkan anda seorang yang peramah dan sudi menerima kehadiran tetamu. Wujudkan suasana menarik dan inviting di muka pintu supaya anda ada dorongan untuk bersegera pulang ke rumah. Jika mampu, bila laluan memudahkan mereka ke muka pintu daripada membiarkan tetamu berjalan berhimpit-himpit di sisi kereta.
Susun pasu berisi pokok bunga berbilang warna dan haruman di sepanjang jalan ke muka pintu, supaya anda berasa dihargai setiap kali pulang ke rumah. Tulis alamat rumah dalam tulisan paling menarik, kemudian paparkan di tepi pintu pagar.
RUANG TAMU
Ruang tamu, ibu kepada semua ruang. Pastikan ruang tamu bersifat mesra kerana bukan anda sekeluarga berada di situ tetapi juga tetamu. Dahulukan kemasan dinding dan lantai sebelum anda membeli perabot. Pastikan perabot yang dibeli berpadanan dengan keluasan dan tema ruang. Bagi rumah berkeluasan terhad, anda tidak perlu membeli kerusi tamu dalam bilangan lengkap. Jangan sesekali menempatkan perabot kecil bersebelahan perabot besar bagi mengelakkan ketidakseimbangan penataan. Perabot utama di ruang tamu adalah tempat duduk, tidak kira sama ada kerusi, sofa atau hamparan kusyen lantai selain meja kopi, meja sisi, kabinet hiasan dan kabinet televisyen. Tinggalkan sedikit ruang bagi membolehkan ruang tamu anda bernafas dan keindahan reka bentuk perabot dapat dihayati. Ingatkan diri anda untuk memperagakan perhiasan tambahan di dalam jumlah berpasang-pasangan seperti pasu atau kaki lilin demi kestabilan penataan.
RUANG MAKAN
Tona jingga dan merah lebih sesuai di ruang makan kerana kemampuan mempengaruhi emosi, membangkitkan selera makan dan mempercepatkan kadar metabolisma. Biru dikatakan boleh mematikan selera makan kerana itu, amat sedikit ruang makan berkemasan cat atau dipasang kertas dinding berwarna biru. Jika ingin menyuntik suasana mewah di ruang makan, tukarkan sahaja meja makan kepada kayu bertona gelap seperti rosewood atau mahogany. Kemudian sarungkan kerusi dengan fabrik berwarna biru nilam.
Bagi ruang makan yang keluasannya terhad, tampung kekurangan itu menerusi penggunaan meja makan yang boleh dibesarkan dan dilipat bila tidak diperlukan.
RUANG DAPUR
Ruang dapur lebih sesuai dipasang lampu kalimantang dan bukannya halogen. Pasangkan juga penutup lut cahaya lampu kalimantang supaya senang anda hendak mencucinya nanti. Pastikan mendapat banyak pencahayaan semulajadi di situ, jika tidak, terangi dengan pencahayaan tambahan. Kerusi makan bersarung menyuntik seri di ruang dapur anda. Selain boleh menjamin kerusi tahan lama, sarungnya juga boleh ditukar ganti.
Jika anda terlihat gambar ruang dapur yang menarik minat, cuba fikirkan bagaimana ruang dapur berkenaan dapat disempurnakan di ruang dapur kediaman anda. Buku resipi pun boleh menjadi bahan hiasan sampingan yang berguna di ruang dapur. Susunkan buku itu dengan cara menegak atau baringkan di atas meja kerja. Bawakan suasana luaran ke dalam rumah. Gantunglah sepasu dua tanaman di dala ruang dapur. Tukar suasana ruang dapur dengan menukar warna pintu kabinet atau pemegang pintu.
BILIK TIDUR
Jika cat putih pilihan, anda sebenarnya masih boleh mengolah bilik tidur kepada tema tertentu menerusi perhiasan dalam tona lain. Tona merah, oren, biru dan hijau serasi dipadukan di bilik tidur bertema putih. Sebaik-baiknya padankan dua warna seperti merah dan oren atau biru dengan hijau dalam satu masa. Menggantung lukisan abstrak di kepala katil sememangnya menarik tetapi jangan menggantung di semua dinding. Gayakan langsir sesuai dihias di tingkap bilik tidur. Langsir sebenarnya mempunyai dua kegunaan, pertama menegaskan fungsi jendela dan kedua untuk menghalang kemasukan cahaya matahari.
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.