Langsir warna ungu naikkan ‘seri’ kediaman tema warna kelabu, nampak classy, moden dan luas. Gabungan dua warna pada satu langsir adalah salah satu kaedah yang berkesan untuk menaikkan seri sesebuah kediaman. Cara ini juga dapat meneutralkan warna utama yang menjadi pilihan untuk segenap ruang kediaman.
Langsir menjadi titik tumpuan sesebuah kediaman. Maka sebab itulah amat penting untuk pemilik kediaman memilih warna langsir yang tepat agar dapat disesuaikan dengan warna cat dinding dan warna perabot.
Pemilihan warna langsir dipengaruhi oleh tona dinding serta keluasan kediaman. Elakkan penggunaan warna gelap seperti coklat dan hitam sekiranya menghuni rumah yang sederhana atau kecil. Hal ini akan menjadikan ruangan kediaman anda tampak lebih sempit dan serabut. Sebaliknya, warna langsir yang gelap sangat sesuai untuk rumah yang besar dan luas.
Kali ini IMPIANA mengetengahkan dekorasi sebuah rumah teres dua tingkat lot tepi yang mengadunkan langsir warna ungu. Warna ungu merupakan warna kegemaran pemilik kediaman.
Dekorasi kediaman tampak lebih ‘berseri’ apabila warna ungu pada langsir ‘disebatikan’ dengan warna kelabu cerah (light grey) yang melatari segenap ruang kediaman. Hasilnya ruang kediaman nampak lebih classy, moden dan luas.
Pemilihan design, susun atur ruang dan warna amat memainkan peranan bagi menaikkan seri ruang sesebuah kediaman.
Jom kita ‘cuci mata’ hasil dekorasi rumah teres dua tingkat ini. Moga dapat memberi inspirasi buat anda yang ingin dan sedang mendekorasikan kediaman!
Sumber: Ziwani Home Deco
Ingin lebih tahu pelbagai tip untuk dekorasi rumah? Jangan lupa ikuti kami di Telegram dan TikTok rasmi IMPIANA.