Lelaki Ini Tunaikan Permintaan Isterinya Untuk Memiliki Dapur Seperti Kafe Bar

Share

Berada di ruang dapur Low Yong Lin umpama berada di sebuah kafe bar yang tenang dan mendamaikan. Pemilik melebarkan lagi ruang dapur dengan menggunakan sebahagian sebahagian pelan lantai ruang tamu untuk keselesaan ruang kegemarannya seperti sebuah kafe.

Rona putih menyelubungi ruang dan menghadirkan ilusi luas . Kehadiran kabinet yang satu ini punyai tarikannya kerana ia gabungan idea pemilik dan pereka dari Reno Concept. Persembahan susun atur yang ringkas namun berkarakter merupakan identiti yang ingin di tonjolkan oleh pemilik.

NAMA PEMILIK: Low Yong Lin & Tan Suat Hong
NAMA PEREKA: Eric Chan
NAMA SYARIKAT: Reno Concept Sdn. Bhd.,
No. 23, Jalan Snuker 13/28, 40100 Shah Alam, Selangor.
LOKASI PROJEK: FORESTA, Damansara
KONSEP DAPUR: Moden
JENIS KEDIAMAN: Kondominium
REKAAN KABINET: Bentuk L
MATERIAL KABINET: Akrilik
MATERIAL PERMUKAAN KAUNTER: Kuarza
JENIS PEMEGANG LACI: Tanpa pemegang
KELUASAN DAPUR: 12 kaki x 20 kaki persegi
KOS KESELURUHAN: RM100,000

Cantik, ringkas dan praktikal! Inilah yang boleh disimpulkan tatkala penulis melangkah masuk ke dalam kediaman pasangan muda, Low Yong Lin dan Tan Suat Hong yang terletak di Damansara. Biarpun ruangan dapur rumah jenis kondominium ini sederhana saiznya, namun pemilik dan pereka pandai memaksimumkan ruang dengan pembinaan kabinet yang bersesuaian konsep diinginkan.


Dengan sedikit pengubahsuaian di bahagian dapur, pemilik dapat mewujudkan ruangan dapur kering dan ruang makan ala kafe yang cantik dan selesa. Apa yang menarik, kedua-dua ruangan itu tampil agak berbeza dari segi pemilihan material dan warna namun ianya serasi.

MAKSIMUMKAN RUANG PENYIMPANAN


Bagi merealisasikan dapur idaman, sebuah dapur berkonsepkan moden dan ala kafe unsur industri berjaya dijelmakan. Pemilik ternyata berpuas hati dengan hasilnya.

“Apa yang saya inginkan ialah sebuah dapur yang ringkas, minima dan moden supaya nampak lebih kemas dan senang diurus. Saya mahu memaksimumkan ruang penyimpanan dan memastikan penstoran teratur dengan penambahan aksesori yang sesuai,” jelas Low


Bahagian ruang makan ala kafe lebih bersifat terbuka kerana ia bersatu dengan ruang tamu. Berbeza dengan kediaman lain, pemilik lebih gemar berada di dapur sehingga ruang tamu hanya di hias seringkas mungkin. Oleh itu, pereka menjelmakan kabinet yang dijalinkan bersama kabinet dasar dan gantung, singki dan kaunter semenanjung yang berfungsi sebagai meja makan atau ruang bekerja. Di bahagian tepi dinding pula dijelmakan dengan kabinet tinggi dengan permukaan cermin dan bersambungan dengan rak buku tinggi.


Menariknya, kabinet tinggi menyediakan banyak ruang storan untuk menyimpan pelbagai barangan makanan dan sebagainya. Satu ruang storan berupa almari tinggi dibuat untuk penyimpanan perkakasan dapur dan sebagainya. Menampakkan lebih elegan, bahagian storan dilengkapi dengan sistem aksesori yang terkini dan bermutu tinggi, seperti soft close, pull out tray, blum, pull out bottle rack, laci bersegmen dan sebagainya. #

 

 

Published by
Impiana