Memanfaatkan loteng rumah bukan hanya memaksimumkan lantai rumah yang sederhana luas namun ia memberi kesan kreatif dan estetik pada kediaman. Konsep rekaannya juga boleh disesuaikan mengikut keinginan dan keperluan agar lebih selesa.
Bagi anda yang mempunyai loteng rumah sebaiknya manfaatkan ia sebaiknya agar menjadi satu ruang yang pelbagai fungsi. Dengan idea kreatif, loteng rumah boleh dimanfaatkan dengan bijak agar berfungsi lebih maksimum.
RUANG SANTAI
Sebagai ruang keluarga atau sekadar untuk bersantai. Jangan letakkan terlalu banyak barang atau perabot pada loteng rumah agar tidak terlalu padat. Memadai dengan sofa, meja kecil dan karpet bersaiz kecil.
RUANG KERJA
Bagi anda yang mahu memiliki ruang kerja di rumah, manfaatkan loteng yang ada. Secara tidak langsung ruang lain tidak terganggu. Tempatkan meja dan kerusi yang sesuai di samping barang-barang yang diperlukan saja. Lantai kayu dan warna dinding yang lembut mampu mencetuskan kesan tenang pada ruang.
RUANG PERIBADI
Jika keluasan rumah adalah terhad maka loteng boleh dijadikan alternatif untuk ruang peribadi anda. Loteng rumah boleh dimanfaatkan sebagai ruang khusus seperti perpustakaan peribadi, walk in closet atau ruang rias. Sebaiknya gunakan tingkap kaca besar di loteng rumah agar udara dan cahaya matahari dapat masuk secara bebas.
BILIK TIDUR
Loteng rumah boleh menjadi salah satu penyelesaian bagi rumah sederhana luas yang memerlukan banyak ruang. Loteng rumah boleh dimanfaatkan sebagai ruang tidur yang unik. Bersama dekorasi yang cantik sesuai dengan keinginan, bilik tidur di loteng juga selesa untuk dimanfaatkan. AMY MOHD