Kerja-kerja rumah seperti membersih, memasak, mencuci pakaian sudah lama sinonim dengan kaum wanita. Jadi, beruntunglah buat anda yang mempunyai suami, anak ataupun kenalan lelaki yang tidak kekok melakukan kerja rumah. Kerana menurut kajian, lelaki yang sering membantu pasangan dengan hal-hal di rumah ini mempunyai EQ yang tinggi selain lebih sihat dan bahagia.
Menurut kajian yang dilakukan oleh Dr. Huang Wei Li, lelaki yang rajin melakukan kerja rumah akan memperoleh 3 kebaikan utama buat diri mereka iaitu tahap EQ yang tinggi, tubuh badan yang sihat serta kehidupan yang lebih tenang dan bahagia.
Manfaat ini dapat dilihat melalui kecekapan mereka dalam menyelesaikan tugas. Apabila mereka pulang dari kerja dan terus membantu dengan kerja rumah, ini bermakna mereka bijak mengurus masa untuk tugas yang berbeza sehingga selesai.
Tambah Doktor dari Taiwan itu lagi, lelaki yang rajin mengemas rumah pasti tahu bagaimana untuk meredakan tekanan dan mengelakkan dari menggunakan emosi dalam apa jua keadaan. Mereka juga mempunyai kehidupan yang baik kerana lebih banyak meluangkan masa di rumah bersama keluarga.
Dr. Huang juga ada menerangkan bahawa kerja rumah seperti membasuh pakaian, membersihkan lantai, menyediakan hidangan merupakan salah satu bentuk senaman yang sangat baik untuk dilakukan terutama selepas makan malam.
Kelebihan Kaum Lelaki Membantu Melakukan Kerja Rumah :
1. Mereka lebih empati terhadap pasangan dan keluarga mereka yang akan memberi manfaat dalam jangka masa panjang. Hal ini dapat membantu membina hubungan yang berpanjangan dan bahagia.
2. Suami yang tidak keberatan berkongsi kerja rumah dengan pasangan menjadi semakin bijak mengawal emosi.
3. Menjaga rumah dengan adil dan mempunyai gaya hidup sihat kerana mereka banyak menghabiskan masa di rumah berbanding luar.
SUMBER : GOODTIMES