Bersedia untuk bersantai di dalam kolam renang di halaman rumah! Pasti ramai yang mengidamkan kolam renang di kediaman sendiri.
Cuaca tropika memang menyeronokkan! Cuaca panas dan lembap di Malaysia menyebabkan ramai di antara kita yang gemar akan aktiviti renang. Bukan sahaja untuk menyejukkan badan, aktiviti ini membantu mengekalkan kesihatan fizikal dan mental sambil membolehkan kita meluangkan masa bersama yang tersayang.
Pemilik rumah di Malaysia jarang membina kolam renang peribadi di pekarangan kediaman. Selalunya apabila kita mahu berenang, kita akan mengunjungi kolam renang di kondominium atau hotel kerana pada pemahaman kita, kos pembinaan kolam renang di rumah adalah sangat tinggi dan juga kerana ketidaksesuaian tapak pembinaan, proses penyelenggaraan mungkin susah untuk dijalankan. Walau bagaimanapun, di negara barat, kolam renang persendirian sudah menjadi trend berkat teknologi pembinaan kolam yang canggih, peningkatan kesedaran tentang kebersihan diri dan sifat mereka yang mementingkan kualiti hidup. Lagi-lagilah semenjak kita dilanda pandemik COVID-19, warga barat semakin didorong untuk membina kolam renang peribadi di rumah sendiri.
“Dengan pembinaan kolam dan teknologi sanitasi yang telah ditambah baik, memiliki kolam peribadi di rumah untuk berenang dengan selamat bukanlah sesuatu yang sukar untuk dicapai di Malaysia. Walaupun secara amnya. ramai yang masih mempercayai bahawa ia sukar dan mahal untuk membina kolam renang di rumah, namun dengan perancangan dan peralatan yang betul, pemilik rumah mampu membina kolam renang impian mereka sambil mengekalkan bajet,” kata Encik Koo Zao Cheong, Pengurus Pembangunan Perniagaan Serantau Waterco (penyedia penyelesaian sehenti yang terkemuka untuk persekitaran air yang selamat dan sihat).
Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diperhatikan oleh pemilik rumah yang ingin membina kolam renang impian mereka tanpa membuat perbelanjaan yang terlalu besar!
1. Keadaan tapak pembinaan adalah faktor utama yang akan menentukan kos
Langkah pertama untuk membina kolam renang peribadi adalah dengan menilai keadaan tapak pembinaan untuk menentukan saiz, bentuk, dan jenis kolam renang yang sesuai untuk rumah anda. Anda mungkin perlu menjalankan ujian tanah untuk memahami keadaan tanah dan kestabilan untuk menentukan kesesuaian lokasi dan jenis kolam renang. Kawasan rata yang bertanah halus merupakan tapak yang ideal untuk pemasangan kolam kerana ia memerlukan kerja asas dan landskap yang minimum. Sebaliknya, tanah cerun yang curam dengan tanah berbatu atau lembut akan memerlukan landskap tambahan yang akan menyebabkan kos yang lebih tinggi.
2. Tentukan jenis dan saiz kolam renang berdasarkan keadaan tapak pembinaan
Setelah selesainya penilaian dan pemilihan tapak pembinaan, pemilik rumah boleh menentukan jenis dan saiz kolam renang pilihan mereka. Keadaan dan kestabilan tanah akan menentukan lokasi kolam renang sama ada ia perlu berada di dalam atau luar rumah, di atas tanah atau di dalam tanah. Secara amnya, kolam dalam tanah adalah lebih mahal berbanding dengan kolam atas tanah kerana banyak masa diperlukan untuk menggali dan mengalih tanah sebelum pembinaan kolam boleh dimulakan. Begitu juga dengan saiz kolam, semakin besar kolam, semakin tinggi kos yang akan dikenakan.
3. Pemilihan bahan dan ciri tambahan
Bahan pembinaan yang digunakan untuk kolam idaman anda juga merupakan salah satu perkara utama yang perlu dipertimbangkan untuk mengawal bajet sambil mengekalkan estetika dan juga untuk memastikan proses penyelenggaraan yang minimum untuk jangka panjang. Bergantung pada keadaan tapak pembinaan dan jenis kolam, pemilik rumah boleh memilih bahan yang sesuai untuk pembinaan kolam yang tidak memerlukan penyelenggaraan yang rumit. Beberapa bahan yang paling popular untuk pembinaan kolam termasuk konkrit dan gentian kaca. Kolam konkrit merupakan pilihan yang paling kuat dan paling tahan lama tetapi masa yang diperlukan untuk membinanya mungkin lebih lama kerana ia dibina di tapak pembinaan itu sendiri dan kelengkapannya bergantung pada keadaan cuaca. Sebaliknya, kolam gentian kaca adalah pra-acuan dan oleh itu, ia lebih cepat untuk dipasang. Jika anda ingin meningkatkan estetika atau ciri tambahan untuk berenang dengan lebih santai, anda boleh memasang lampu kolam renang dan ciri tambahan seperti sistem pemanasan kolam.
4. Sistem penyelenggaraan dan sanitasi
Sistem peredaran dan sanitasi yang berkualiti adalah penting untuk memastikan kolam di dalam atau di luar rumah kekal bersih dan jernih untuk kita berenang dengan selamat. Jenis sistem penapisan dan sanitasi akan mempengaruhi kos pemasangan dan penyelenggaraan kolam renang dalam jangka masa
panjang. Pemilik rumah perlu memastikan sistem penapisan air yang dipilih telah terbukti dan diuji secara menyeluruh sebagai jimat tenaga dan selamat, seperti sistem penapisan air dari Waterco Malaysia yang dikenali untuk daya ketahanannya dan penjimatan tenaga.
“Memilih sistem penapisan dan sanitasi kolam yang cekap tenaga dan kos efektif dapat mencegah pertumbuhan bakteria dan kuman berbahaya di dalam kolam. Selain itu, pemilik rumah juga harus memberi perhatian pada tahap klorin yang digunakan untuk mengelakkan kesan yang tidak diingini pada kulit dan pada masa yang sama, tahap klorin tersebut cukup untuk mengekalkan kebersihan dan keselamatan air. Inilah sebab mengapa anda perlu memilih sistem penapisan yang canggih dan cekap. Walaupun pemasangan sistem ini memerlukan perbelanjaan awal, namun ia akan menjimatkan masa dan wang bagi proses penyelenggaraan kolam dalam jangka masa panjang,” jelas Encik Koo.
Akhir kata, terbukti bahawa pemasangan kolam renang di rumah bukanlah sesuatu yang menyukarkan! Dengan perancangan dan pemahaman yang betul mengenai jenis dan ciri-ciri kolam renang yang anda perlukan, pemasangan kolam renang boleh dilakukan khas untuk kegunaan anda dan orang tersayang di keselesaan kediaman sendiri! Pastikan anda berunding dengan pembina kolam profesional untuk memastikan pembinaan kolam yang selamat dan tahan lama.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI