Kehadiran tumbuhan lengkapkan ciri semula jadi taman air
Selain daripada struktur penting untuk pembinaan air terjun, tanaman air juga perlu bagi menyerlahkan water feature ini. Rahsia kebaikan tumbuhan akuatik beroksigen (oxygenated), tanaman berlumpur (bog plants), tanaman air pinggiran (marginal plants) dan tanaman terapung (floating plant) telah banyak dikongsi oleh IMPIANA.
Tanaman ini telah terbukti berfungsi secara biologi untuk mengimbangi ekosistem kolam. Bagaimanapun, kebanyakan tanaman akuatik ini tidak menghasilkan bunga lalu menjadikan taman kurang menyerlah. Oleh itu, penulis ingin berkongsi dengan pembaca pilihan tanaman air pinggiran berbunga yang dapat membantu mengimbangi ekosistem sedia ada serta menceriakan air terjun di halaman anda.
Tanaman air pinggiran merupakan tanaman yang dapat hidup di dalam kawasan lembap atau tanah yang mengumpul kelembapan. Tanaman jenis ini biasanya kelihatan di pinggiran kolam ataupun ditanam di dalam pasu yang ditenggelamkan ke dasar kolam. Terdapat pelbagai pilihan tanaman air pinggiran yang boleh didapati dalam iklim tropika Malaysia, namun hanya sebahagian sahaja yang mengeluarkan bunga.
Antara tanaman air pinggiran berbunga yang boleh diterapkan di taman air anda adalah daripada keluarga Cannaceae. Rata-rata pembaca pasti mengenali spesies Canna yang mempunyai daun lebar dan bunga pelbagai warna seperti merah, kuning dan jingga. Kebiasaannya tanaman ini dijadikan tanaman di kawasan lapang kerana cara hidup yang memerlukan cahaya matahari penuh. Tetapi tahu kah anda Canna juga sesuai dijadikan tanaman pinggir kolam?
Canna glauca adalah antara spesies Canna yang mampu hidup di dalam air. Canna glauca menghasilkan bunga berbentuk rama-rama rona kuning dan kebiruan dengan sedikit palitan warna putih pada daunnya. Begitu juga spesies Canna yang lain, Canna glauca turut memerlukan cahaya matahari sepenuhnya. Cuma kelebihan Canna spesies ini adalah keupayaannya untuk hidup di dalam air. Daunnya yang lebar dapat dijadikan perlindungan buat ikan peliharaan di dalam kolam serta warna bunganya yang menarik menjadikan persekitaran taman lebih indah.
Selain daripada itu, terdapat juga tanaman air pinggiran berbunga ungu mampu menimbulkan kelainan kepada binaan air terjun anda. Pontederia cordata, Eichhornia crassipes dan Thalia dealbata adalah antara tanaman air pinggiran berbunga yang boleh hidup di dalam air. Penggunaan container adalah digalakkan ketika penanaman invasive Thali dealbata kerana ia dapat mengelakkan akarnya mengganggu liner kolam.
Selain warna ungu dan kuning, merah bunga Lobelia cardinalis juga dapat mengurangkan warna hijau senada pada taman air serta melembutkan struktur air terjun. Uniknya tanaman ini selain warna merah menyala bunga yang mencetuskan kelainan pada taman air, ia juga dapat menyingkirkan nitrogen, ammonia, nitrat dan mineral lain yang boleh menggalakkan pertumbuhan alga pada kolam melalui sistem biologi yang terdapat pada akarnya. Tanaman ini amat diperlukan untuk mengekalkan ekosistem pada taman air supaya rantaian ekologi di dalam kolam tidak terganggu serta menghasilkan pemandangan semula jadi di taman anda.
Bagi melembutkan suasana taman air yang sedikit meriah dengan warna-warna terang bunga, kehadiran Bacopa monnieri dengan bunga halus berwarna putih menjadikannya lebih sejuk mata memandang. Bacopa monnieri ini mempunyai dedaun lebat berwarna hijau pekat memudahkan anda mengadunkannya bersama tanaman air yang lain. Berbeza dengan Canna, Pontederia dan Thalia yang bersaiz tinggi, Bacopa akan menjalar dan merimbun mengikut platform yang menanggungnya.
Secara keseluruhannya, kehadiran air terjun di perkarangan halaman merupakan suatu elemen yang sangat baik dari segi visual dan penggunaannya. Selain mewujudkan pemandangan dramatik dengan kejernihan jatuhan airnya, air terjun juga mencipta keindahan dan persekitaran semula jadi bagi makhluk yang mendiaminya. Manakala, tanaman air pula memainkan peranan penting membantu memberikan keseimbangan kepada ekosistem elemen landskap tersebut.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI