Berita

Negeri Perak Terkenal Dengan Mercu Tanda Menara Jam, Mari Lihat Semua Reka Bentuk Yang Ada

Share

Menara jam adalah sejenis binaan menara yang dibina khusus dengan satu atau lebih buah permukaan jam yang dipertontonkan dikawasan awam. Terdapat menara jam yang berdiri bebas, dan ada juga yang menjadi bahagian bangunan seperti tempat ibadah atau dewan bandaraya.

Untuk pengetahuan anda, menara jam ini sebenarnya bukanlah sekadar dibina untuk tujuan mengetahui waktu semasa sahaja tetapi ianya adalah simbolik kepada sesuatu peristiwa penting yang akan sentiasa diingati orang ramai supaya tidak pernah melupakan peristiwa pada zaman dahulu.

Negeri Perak Darul Ridzuan misalnya merupakan antara negeri di Malaysia yang terkenal dengan mercu tanda menara ini. Jadi mari kita kenali dengan lebih dekat tentang cerita disebalik pembinaan kebanyakan menara jam yang ada dibina di sekitar pekan-pekan dalam daerah di serata negeri Perak. Antara kawasan yang terlibat adalah Kampar, Parit, Ipoh, Sungai Siput, Kuala Kangsar, Parit Buntar, Lumut dan banyak lagi.

Menara Jam Kampar

Menara jam di Kampar mempunyai reka bentuk segitiga dan jam di setiap permukaannya. Untuk makluman anda, menara jam ini sempat beroperasi pada 31 Ogos 1957 walaupun tidak siap sepenuhnya pada waktu itu.

Pada menara jam ini juga terpahat tulisan “MERDEKA 1957” pada badan bangunan menara jam ini. Mungkin anda tidak tahu, menara jam di Kampar ini dibina dengan hasil wang derma dari penduduk setempat pada waktu itu untuk menyambut hari kemerdekaan negara kita yang pertama pada tahun 1957.

Menara Jam Parit

Parit adalah sebuah pekan kecil yang amat gah pada satu ketika dahulu menjadi persinggahan jalan utama antara pekan Beruas dan Kuala Kangsar untuk ke Siputeh, Pusing, Batu Gajah dan ke Ipoh. Menara jam ini telah dibina dengan kos sebanyak 3,370 USD daripada wang yang dikumpulkan hasil derma penduduk tempatan.

Rekaan dengan senibina Moor dan inskripsi “Amaran Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu,” telah dirasmikan pada 20 Januari 1963 oleh Tun Abdul Razak yang ketika itu berjawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Sehingga ke hari ini, menara jam ini menjadi simbol kebanggaan dan kemerdekaan penduduk tempatan dan menjadi mercu tanda utama pekan Parit.

Menara Jam Kuala Kangsar

Dengan menggunakan dana kerajaan negeri Perak bersama sumbangan rakyat di Kuala Kangsar, menara jam Kuala Kangsar siap dibina pada tahun 1939 yang pada asalnya untuk memperingati sambutan pertabalan King George Vi di England.

Kemudian, pada tanggal 31 Ogos 1957, simbolik peringatan menara jam ini diubah ke sambutan kemerdekaan negera dan sejak dari tarikh tersebut, menara jam di Kuala Kangsar ini secara tidak langsung menjadi simbol kebanggaan pembebasan negara dari penjajah.

Menara Jam Dataran Ipoh

Menara jam Dataran Ipoh ini sering menjadi tumpuan setiap anak Perak pada 30 Ogos saban tahun sejak tahun 1957 lagi. Penantian detik 12 malam setiap tahun disini memberi makna untuk simbolik pada pembinaannya sejak tahun 1957 lagi apabila negara kita mencapai kemerdekaan.

Ia juga dibina dengan struktur reka bentuk tiang besar yang melengkung berbentuk segitiga dan mempunyai jam di setiap permukaan pada badan bangunan menara jam ini.

Menara Jam Parit Buntar

Pembinaan menara jam di Parit Buntar sedikit terlewat dari menara jam lain seperti yang telah disenaraikan. Dua tahun selepas negara mendapat kemerdekaan iaitu pada tahun 1959, barulah menara jam ini siap dibina.

Bapa kemerdekaan negara kita iaitu Tunku Abdul Rahman telah merasmikan menara jam ini pada 24 Ogos 1961 dan menara jam di Parit Buntar ini adalah simbolik untuk kemakmuran dan kemerdekaan negara Malaysia yang telah bebas dari penjajah.

Rekaan umpama seperti sebuah menara masjid ini sangat mengagumkan. Terdapat 4 buah jam besar di letakkan di setiap permukaan badan atas menara ini.

Menara Jam Sungai Siput

Menara jam di Sungai Siput ini terletak di jalan besar dan jelas tertera perkataan “MERDEKA 1957” pada badan jam tersebut. Sama seperti menara jam Kampar, pembinaan jam di Sungai Siput ini adalah bukti perpaduan penduduk disana yang turut sama-sama berganding bahu mengeluarkan dana untuk membinanya.

Pada 20 Januari 1958, perdana menteri Malaysia yang pertama pada waktu itu, Tunku Abdul Rahman telah merasmikan menara jam Sungai Siput. Menara jam ini adalah satu simbolik warisan sejarah untuk tatapan generasi akan datang dan menjadi kebanggaan penduduk Sungai Siput.

Menara Jam Lumut

Menara jam di Lumut sedikit berbeza dari menara jam lain yang sedia ada di serata negeri Perak. Sedih untuk diceritakan, namun kita harus terus menerima hakikat ini kerana ianya sudah pun berlalu.

Menara Jam Lumut yang menjadi lambang kemerdekaan negara 1957 sebenarnya sudah dimusnahkan kerana pembangunan Pelabuhan Lumut suatu ketika dulu. Maka hilanglah satu monumen sejarah yang menjadi lambang kemerdekaan negara Malaysia di kawasan Lumut

Sumber: www.orangperak.com

Ingin lebih tahu pelbagai tips untuk dekorasi rumah? Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi IMPIANA. Klik di sini.

Baca artikel berikutnya: Sempena Kemerdekaan Negara Ke-65, Mari Imbau Kembali Sejarah Istana Lama Seri Menanti

Published by
Nazar Rafiqhi