Kewangan

Panduan Betul Guna Peralatan & Perkakasan Elektrik Dapat Kurangkan Bil Bulanan

Share

Sebagai pengguna dan isi rumah yang bertanggungjawab, penggunaan elektrik di rumah seharusnya digunakan secara berhemah supaya mengelakkan berlakunya pembaziran tenaga elektrik. Apatah lagi dengan kenaikan cukai perkhidmatan sebanyak 8 peratus bagi penggunaan elektrik melebihi 600kWj, yang diumumkan baru-baru ini bermula 1 Mac.

Ada caranya untuk menjimatkan tenaga elektrik di rumah, sekaligus dapat mengurangkan bil yang perlu ditanggung setiap bulan. Terutamanya pada perkakakan dan peralatan elektrik yang selalu kita gunakan di rumah.

Secara asasnya, kita harus membeli atau menggantikan peralatan elektrik di rumah dengan menggunakan barangan penarafan lima atau empat bintang supaya ia dapat memberi lebih banyak penjimatan tenaga serta melaksanakan penyelenggaraan secara berkala mengikut spesifikasi ditetapkan.

Pastikan suis ditutup dan plug ditanggalkan apabila tidak digunakan bagi mengelakkan pembaziran tenaga selain menggunakan peralatan elektrik dengan lebih efisien.

1.MESIN BASUH

  • Salah satu cara jimatkan elektrik semasa menggunakan mesin basuh adalah dengan mengurangkan kekerapan membasuh. Kumpul dahulu pakaian sehingga muatan penuh dan basuh sekaligus.
  • Kurangkan penggunaan fungsi basuhan air panas kerana lebih banyak tenaga elektrik diperlukan untuk memanaskan air cucian tersebut. Lebih baik gunakan fungsi basuhan air biasa sahaja.
  • Digalakkan untuk mengasingkan pakaian yang ingin dibasuh mengikut berat. Contohnya, basuh t-shirt, kemeja dan pakaian dalam satu basuhan, manakala pakaian seperti denim, jaket dan linen dibasuh berasingan. Ini akan memudahkan proses basuhan dan mengurangkan beban kerja mesin basuh.
  • Kurangkan penggunaan mesin pengering pakaian. Lebih baik untuk jemur pakaian yang dibasuh berbanding menggunakan mesin pengering pakaian. Gunakan mesin pengering pakaian jika terdesak sahaja seperti ketika musim hujan.

2.SETERIKA

Penggunaan seterika wap dilihat makin popular dikalangan pengguna domestik. Tahukah anda bahawa seterika jenis ini menggunakan lebih banyak tenaga kerana sistemnya perlu memanaskan air terlebih dahulu untuk menghasilkan wap air. Jadi, adalah lebih baik sekiranya anda hanya menggunakan seterika biasa.

Lakukan aktiviti menyeterika pakaian dalam satu trip. Dengan cara ini, seterika tidak perlu dipanaskan berulang kali sekaligus mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.

3.LAMPU

Menurut kajian, sebanyak 20% penggunaan tenaga elektrik dalam sesebuah kediaman adalah daripada penggunaan lampu.

  • Tutup kesemua lampu di ruang yang tidak digunakan.
  • Manfaatkan penggunaan cahaya semulajadi. Buka tingkap dan selak langsir supaya cahaya matahari dapat menerangi kediaman anda tanpa bantuan lampu.
  • Kurangkan bilangan lampu dalam kediaman anda. Sebuah bilik kecil hanya perlukan sebuah lampu sahaja untuk capai tahap kecerahan optimum, tidak perlu membazir pasang lampu yang tidak sesuai pada tempatnya.
  • Gunakan mentol lampu LED kerana lebih tahan lama, jimat tenaga dan mesra alam. Mentol lampu jenis LED juga boleh dibuka-tutup dengan kerap tanpa memberi kesan ke atas jangka hayatnya.

4.PETI SEJUK

Boleh dikatakan hampir semua kediaman pasti akan mempunyai sekurang-kurangnya sebuah peti sejuk yang digunakan dan ianya akan dipasang 24 jam sehari secara berterusan.

  • Kedudukan peti sejuk perlu strategik dan jauh daripada cahaya matahari ataupun peralatan sumber haba seperti cerek, periuk nasi dan dapur memasak.
  • Pastikan juga peti sejuk diberikan ruang pengudaraan yang mencukupi; sebaik-baiknya jarakkan peti sejuk (10-30 cm) daripada dinding di bahagian belakang, tepi dan atas.
  • Beli peti sejuk yang mempunyai label penggunaan elektrik cekap star-rating yang baik, dan lebih baik lagi jika ada teknologi inverter. Inverter berfungsi untuk mengawal penggunaan motor peti sejuk secara automatik dan seterusnya akan menjimatkan penggunaan tenaga elektrik untuk peti sejuk tersebut.

  • Kurangkan kekerapan buka-tutup pintu peti sejuk. Peti sejuk yang terlalu kerap dibuka akan menyebabkan udara sejuk kerap keluar dan meningkatkan suhu peti sejuk. Ini juga meningkatkan beban kerja peti sejuk tersebut.
  • Tetapkan suhu peti sejuk pada suhu yang optimum; suhu yang sesuai bagi ruang biasa adalah sekitar 2-8 ºC, manakala suhu ruang sejuk beku adalah sekitar -18 ºC
  • Jangan terlalu penuhkan peti. Pastikan ada ruang untuk aliran udara didalamnya. Tetapi, pada masa yang sama, jangan biarkan peti sejuk terlalu kosong pula. Jika tiada barang untuk disimpan dalam peti sejuk, letakkan sahaja beberapa bekas kosong. Ini akan mengurangkan aliran keluar udara sejuk.

5.PENYAMAN UDARA

  • Beli unit penghawa dingin yang mempunyai bintang kecekapan tenaga yang paling tinggi kerana peralatan itu lebih cekap berfungsi. (Tinjauan kami mendapati ramai mengesyorkan jenis inverter).
  • Pemilihan saiz dan jenis penghawa dingin yang tepat juga penting kerapa penghawa dingin yang terlebih besar bukan sahaja lebih mahal untuk dibeli dan dipasang, malahan ia juga akan menyebabkan bil elektrik yang lebih tinggi kerana kompresor penghawa dingin perlu berputar dan berhenti berulang-ulang.
  • Tetapkan suhu pada 24-26 ºC sahaja. Tahukah anda bahawa setiap penurunan 1 ºC yang ditetapkan pada pendingin hawa bersamaan peningkatan penggunaan elektrik sebanyak 10%. Maksudnya, semakin rendah suhu ditetapkan, semakin tinggi penggunaan elektrik.

  • Jauhi aircond anda daripada sumber haba seperti cahaya matahari. Tutup pintu dan tingkap apabila penyaman udara dipasang. Ini untuk mengelakkan udara sejuk keluar daripada ruang tersebut.
  • Tukar atau bersihkan penapis penghawa dingin dengan kerap untuk memaksimumkan potensi penyejukan unit tersebut. Penapis yang kotor menghalang edaran udara dan mengurangkan kecekapan penghawa dingin.

  • Tetapkan minimum sekali dalam setiap bulan untuk mencuci penapis penyaman udara. Cuci juga kipas compressor di luar rumah.
  • Hadkan tempoh penggunaan penyaman udara. Gunakan sahaja kipas sebagai pengganti.
  • Jangan lupa untuk tutup dahulu penyaman udara sebelum keluar bagi mengelakkan pembaziran yang tidak wajar.

Semoga Bermanfaat!

Mesti Baca:Nak Peti Sejuk Lama Lebih Jimat Elektrik, Lakukan 3 Tip Ni
Baca Lagi Di Sini:6 Tip Jimat Elektrik Menggunakan Aircond Dari TNB
Artikel Menarik:Jimatkan BIL ELEKTRIK Walaupun Guna Aircond Di Rumah, Ikut 5 Tip Ini!

IMPIANA: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Penggunaan perkakas elektrik dengan cara yang betul, dapat menjimatkan tenaga elektrik sekaligus mengurangkan pembayaran bil bulanan.

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Binti Abd Wahab