Panduan Lengkap Tanam Pokok BUNGA KANTAN, Berbaloi Buat Jual!

Share

Bunga Kantan antara bahan yang diperlukan bagi menambah aroma mahupun menyedapkan lagi masakan seperti kuah laksa, asam pedas dan sebagainya. Jimat banyak kalau ada tanam pokok bunga kantan sendiri ni di rumah. Sebab harga sebatang bunga kantan di kedai mahupun pasar boleh tahan mahal juga harganya.

Perkongsian oleh Saqdam Zaim Arffain ini yang merupakan seorang Peladang Pokok Kantan boleh dijadikan panduan bagi yang mencuba tanam pokok kantan ini di rumah.

Pokok Kantan (Torch Ginger)

Pokok kantan atau biasanya lebih dikenali bunga kantan oleh masyarakat Malaysia dan bunga kecombrang dari Indonesia, yang sering digunakan dalam masakan juadah Malaysia seperti Assam laksa, Assam pedas, Kerabu dan sebagainya.

Bunganya yang cantik berwarna kemerah jambuan ini adalah satu satunya kategori bunga yang boleh dimakan selain dari bunga kobis kerana aroma dan rasanya sangat menyelerakan dan melengkapkan lagi resepi masakan. Harganya boleh mencecah sehingga Rm3-Rm8 sekuntum pada musim perayaan, Rm1-Rm2 di waktu biasa.

Bunga kantan ini bermula dari rhizome seperti gambar di bawah yang diambil dari rumpunan pokok kantan.Cara pengambilan anak pokok ini dengan mengorek rhizome dari rumpunannya.

Rhizome ini boleh diambil dari pokok yang telah matang yang telah mencapai ketinggian 15-20 kaki serta telah menghasilkan bunga. Pengambilan rhizome dari pokok yang kurang matang tidak digalakan kerana tumbesaran pokok tidak memberansangkan.

Rhizome yang telah di cantas batangnya boleh ditanam kedalam tanah jenis bergambut yang lembab. Tanah yang berpaya, berpasir, tanah liat tidak sesuai untuk penaman pokok kantan. Sebaik baik nya pokok ditanam berhampiran dengan tali air.

Rhizome yang baru ditanam hendaklah disiram sehari sekali untuk memastikan keperluan pokok mencukupi untuk mengeluarkan anak pokok yang baru.

Selepas 2-3 minggu, rhizome akan mengeluarkan anak yang baru.

Untuk tempoh minggu keempat, penyiraman boleh dikurangkan kerana pokok lebih stabil bergantung pada cuaca. Pembajaan NPK yang tinggi kandungan Nitrogen boleh diberikan untuk menggalakkan tumbesaran pokok dan menjaga kandungan klorofil dalam daun untuk kehijauan pokok.

Ibu rhizome (batang tua) boleh dipotong untuk mengurangkan kapasiti nutrien supaya anak pokok dapat nutrien penuh untuk mengeluarkan lebih anak.

Dalam tempoh 4-6 bulan. Pokok kantan akan mengeluarkan lebih banyak anak pokok.Kalau banyak sangat anak pokok, kena buang sikit untuk pengudaraan.

Apabila pokok sudah berusia 1 tahun. Ketinggian pokok akan mencapai 8-10 kaki. Penggunaan baja NPK yang tinggi kandungan (P) untuk menggalakan tumbesaran pokok dan akar.

Dalam tempoh 2 tahun. Pokok kantan akan mencapai ketinggian 16-20 kaki. Waktu ini pokok kantan akan mula mengeluarkan bunganya. Baja NPK yang tinggi kandungan fosforus (K) untuk menggalakkan pengeluaran bunganya.

Batang muda ini adalah rupa awal bunga kantan. Berbeza dengan anak pokok batang kantan yang lebih tajam dan gelap. Bunga kantan akan tumbuh dicelahan batang pokok kantan.

Pucuk muda pokok kantan yang lebih tajam dan gelap.

Satu batang pokok kantan matang boleh mengasilkan 1-2 batang bunga. Satu rumpun pokok kantan ada dalam 10-15 batang pokok.

Apabila sudah hari ke 4-7 hari. Bunga kantan sudah membesar dan mula mengeluarkan warnanya. Di saat ini bunga boleh di tuai sebelum bunga mulai mengembang. Bunga boleh dituai 4-5 hari sekali.

Bunga yang sudah mengembang ini tidak sesuai untuk dijual. biarkan dia jadi hiasan atau dijadikan buah kantan.

Penjagaan pokok kantan ini mudah. Pokok kantan ini sukar diserang oleh penyakit atau mahluk perosak kerana aromanya yang tidak disenangi oleh mahluk perosak. Hanya perlu berwaspada pada serang kulat dalam tanah.

Batang tua kuning atau batang yang condong mestilah di potong dari pangkalnya untuk menggalakan pengudaraan ventilasi yang baik dan pokok kelihatan lebih cantik. Batang pokok kantan yang mempunyai bunga tidak digalakkan untuk dipotong kerana tumbesaran bunga akan turut terbantut dalam proses pembesarannya. Daun daun kering boleh digunakan untuk menutup dasar tanah untuk mengekalkan kelembapan tanah. Pokok kantan amat menyukainya.

Pengiraan Hasil Pokok (Sebulan)

jumlah rumpun pokok(R) x jumlah kuntum (K) x harga semasa (RM) x jumlah tuaian sebulan (T)

contoh.

100R x 3K x 1RM x 7T = Rm2100

500R x 3k x 0.5RM x 7T = Rm5250

800R x 3k x 0.8RM x 7T = Rm13’440

Apapun, kita merancang tapi sebaik baiknya perancangan Allah Lebih baik. Untuk tempoh 4 tahun ini saya mengadaptasikan hidup ini kearah pertanian pokok kantan. Sememangnya satu tempoh yang lama untuk menunggu. Apa yang penting adalah APA YANG KITA MULAKAN. Pasti akan ada hasil untuk orang yang berusaha. Saya Saqdam Zaim Arffain. Peladang pokok kantan.

Baca Lagi Di Sini:6 Bulan Simpan Bunga Kantan Masih Kekal Segar, Ini Rahsianya
Artikel Menarik:Pokok KANTAN Subur & Lebat Berbunga, Rahsianya Pada Kulit Telur
Mesti Baca:Ini Cara Tanam Kantan Untuk Dapatkan Hasil Bunga Yang Banyak

IMPIANA: Memang berbaloi tanam pokok bungan kantan ni di rumah. Selain guna untuk diri sendiri, boleh juga dijual dijadikan pendapatan sampingan. Ikut panduan yang dikongsikan ini.

Sumber: Sadam Arffain

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Binti Abd Wahab