INFO KEDIAMAN:-
Nama pereka: Steph Low
Nama firma: Yong Studio
Jenis: Semi D tiga tingkat
Konsep: Moden Kontemporari
Keluasan: 4468 kaki persegi
Jenis kediaman: Semi D
Spesifikasi: 1 ruang utama (ruang tamu, ruang makan dan dapur), 6 kamar beradu, 6 kamar mandi
Karya pereka sememangnya merupakan satu ilham untuk berkomunikasi dengan kita secara halus. Ada yang cuba menegur kepincangan sesebuah masyarakat, ada yang cuba memberi pandangan serta banyak juga yang menyalurkan motivasi kepada kita.
Karya seni reka bentuk dalaman pereka wanita yang satu ini pula adalah mewarnai kasih sayang di antara ahli keluarga. IMPIANA meninjau idea dan sentuhan moden pereka Steph Low dariYong Studio.
AURA KEKELUARGAAN
Kediaman berkeluasan sekitar 4468 kaki persegi diolah sempurna oleh Steph Low dan pasukan perekanya. Mereka telah mencanai ilham agar ruang kediaman semi D tiga tingkat ini tampil selesa, moden dan eksklusif. Apatah lagi tuan rumah mempunyai anak kecil dan memerlukan ruang yang selamat untuk trafik domestik. Bahkan ruang utama juga perlu memudahkan pemilik untuk melaksanakan aktiviti seharian mereka tanpa adanya gangguan dan rasa resah.
“Saya melihat kediaman ini agak besar dan selalunya kediaman seperti ini membuatkan ahli keluarganya lebih senang bersendiri atau melakukan urusan sendiri. Jadi, saya berhasrat untuk menyatukan aktiviti mereka di dalam satu ruang bagi menerbitkan aura kekeluargaan dan kasih sayang,” ujar Steph yang begitu sensitif dan prihatin dengan gaya hidup pelanggannya.
Bagi ruang utama, pereka membuka apa juga dinding yang menghalang agar ruang ini tampil lebih luas, selesa dan memberikan suasana lebih positif untuk anak-anak bermain juga lain-lain aktiviti kekeluargaan. Tidak hairanlah jika Steph memilih ilham moden ringkas dengan hiasan eksklusif bagi setiap ceruk ruang.
RUANG UTAMA BERSIFAT ABADI
Jika dilihat ruang utama dihias dengan perabot dan aksesori moden kontemporari. Ringkas namun selesa dengan pilihan perabot eksklusif yang direka dengan material mewah. Bagi Steph, setiap daripada material ini mempunyai nilai estetika penuh elegan. Oleh itu ruang ini tidak perlu dipenuhkan dengan hiasan lain, malah pemilihan warna juga dilihat sangat santai dan bersifat abadi. Tidak akan jemu biar dimamah waktu.
Jika dilihat pada ruang tamu dan makan ruang kediaman semi D ini juga umpama sebuah kediaman banglo moden kerana bebas daripada dinding penghalang. Manakala kehadiran dapur kering di situ dengan rekaan urban elegan melengkapkan lagi pelan lantai sebuah kediaman moden.
“Bagi saya ibu bapa hari ini mempunyai waktu yang terhad untuk menguruskan anak-anak mereka. Biar pun begitu, dengan adanya segala kelengkapan di dalam sebuah ruang akan membantu mereka memantau anak-anak di samping menyempurnakan tugasan lain,”ujar Steph lagi.
SELESA SEGAR
Bagi Steph, dia berasa puas apabila diberi amanah mereka ruang kegunaan sekeluarga dengan semaksimum mungkin. Penelitian bukan sekadar pada warna tetapi juga pada pencahayaan dan sistem pengudaraan semula jadi. Ini penting agar ruang kekal selesa dan segar. Projek yang mengambil masa sekitar tiga bulan ini sememangnya banyak memberi ilham kepada Steph bahawa ruang mampu mengikat kemesraan antara ahli keluarga. Malah kediaman ini diolah dengan bijak dan strategik. Steph berjaya menukar ruang yang dahulunya biasa tampil luar biasa dan berguna kepada semua.
Tip Dekorasi Oleh Steph Low
- Pastkan anda memilih karakter perabot yang hampir sama jika menyatukan ruang makan, dapur kering dan tamu. Di sini saya memilih perabot yang mempunyai karakter berkaki kurus sebagai satu identti dan menjadkan persembahan seni hias saya lebih harmoni.
- Elakkan memilih perhiasan terlalu banyak pada sesebuah ruang. anda sendiri kena ‘tahan perasaan’ apabila membeli belah kerana selalunya ruang yang agak minima ini
- Jika ruang sudah minima, pastikan kemasan lantai anda disudahkan dengan kemasan lantai berkualiti. seperti lantai kayu atau papan jalur.
*Fotografi: Yong Studio
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI