Menghias ini bagaikan sebuah karya lukisan. Tiada betul dan salah cuma ada teknik yang molek kita fahami sebelum berkarya. Warna selalunya amat sensitif dan mencerminkan selesa si tuan rumah. Malah ada pengertian tersendiri jika menggunakan warna itu dan ini. Namun bagaimana jika pelbagai warna terang berpesta dalam sebuah ruang?
Ada yang mengatakan tema seumpama ini ala Bohemian, mereka yang berjiwa terbuka, artistik, penuh dengan semangat dan berjiwa seni. Jika ditinjau suai padan warna yang lantang dan corak yang pelbagai, ia juga bagai membawa satu kisah atau daya pemikiran yang terbuka. Boleh menerima apa sahaja dan bijak pula menyesuai padan.
Dari warna-warna hangat yang terang, mewah di padankan dengan corak etnik yang sangat cantik dengan kemasan berkilau dan lain-lain. Tidak mengapa jika anda memilih rona dinding berwarna putih. Lembutkan dengan elemen tumbuh-tumbuhan hijau agar suasana lebih mesra alam. Anda yang gemar melakukan D.I.Y sememangnya sangat digalakkan mengabadikan hasil karya anda di ruang seumpama ini.
Sekilas pandang juga mirip ala India, Gypsy dan beberapa budaya etnik yang meraikan warna serta tekstur dalam budaya mereka. Pun begitu, anda yang mempunyai cita rasa artistik seumpama ini tidak salah mencuba. Ia bukan sahaja cantik malah menjadikan ruang kediaman anda nampak tersendiri.