Peti Sejuk Bau Hapak & Busuk? Boleh Guna 7 Bahan Semula Jadi Ini Untuk Atasinya!

Share

Mesti ada di kalangan anda yang pernah mengalami masalah bau hapak dan busuk dalam peti sejuk tetapi tidak tahu bagaimana cara untuk menyelesaikannya. 

Kini anda tidak perlu lagi khuatir, sebenarnya ada pelbagai cara untuk menghilangkan bau hapak dan busuk dalam peti sejuk ini dengan hanya menggunakan bahan semulajadi tanpa menjejaskan bau dan rasa pada makanan yang disimpan.

Berikut adalah cara menghilangkan bau peti sejuk yang mudah dan berkesan dengan hanya menggunakan bahan yang semula jadi. Cubalah!

1. SERBUK PENAIK/BAKING SODA

Cara mudah yang anda boleh lakukan, tabur sedikit serbuk penaik atas dulang atau piring kecil dan masukkannya dalam peti sejuk. Kemudian tutup pintu sehingga bau busuk hilang.

Selepas itu masukkan semula barang dalam peti sejuk dan letakkan juga sekotak serbuk penaik di dalamnya. Buka sedikit penutup agar ia dapat menyerap segala bau yang kurang menyenangkan.

2. CUKA PUTIH & BUAH LEMON

Masukkan cuka putih dalam bekas terbuka dan letakkan dalam peti sejuk. Ia akan menyerap segala bau yang kurang enak dalam peti sejuk anda.

Untuk mewangikan lagi, perahkan sebiji lemon ke dalam larutan cuka tersebut dan lap bahagian dalam peti sejuk dengan campuran kedua-dua bahan ini

3. OAT

Siapa sangka oat juga boleh menyerap bauan yang kurang enak dalam peti sejuk anda. Masukkan sedikit oat dalam bekas dan letakkannya dalam peti sejuk. Percayalah, anda pasti akan mendapati peti sejuk anda kurang berbau selepas cuba melakukan langkah ini.

4. SERBUK KOPI ATAU TEH 

Anda boleh gunakan uncang teh atau kopi dan letakkan dalam peti sejuk. Jika tiada yang jenis uncang, tabur serbuk kopi atau teh di atas dulang dan letakkannya dalam peti sejuk. Sekelip mata bau kopi yang semerbak akan menguasai peti sejuk.

5. ROTI 

Roti juga boleh digunakan sebagai penyerap bau yang kurang enak dalam peti sejuk. Anda perlu letakkan sekeping dua roti dalam peti sejuk dan tinggalkan sehingga roti tersebut menjadi kering.

Jika masih berbau, anda boleh gantikan dengan roti yang baru sehingga baunya hilang. Jadi, lain kali kalau ada baki sekeping dua roti, jangan buang ya!

6. ARANG

Selain bahan di atas, salah satu cara menghilangkan bau peti sejuk yang berkesan dan semulajadi adalah dengan menggunakan arang. Anda cuma perlu masukkan arang kecil ke dalam bekas dan letakkan dalam peti sejuk.

Apabila anda letakkannya dalam peti sejuk, laraskan suhu dalam peti sejuk kepada yang rendah dan tutup pintu selama beberapa hari.

7. ESEN VANILA

Tahukah anda, esen vanila juga bukan hanya digunakan untuk memberi perasa dan aroma wangi pada kek dan pastri, tetapi ia juga boleh digunakan untuk mewangikan peti sejuk di rumah anda.

Caranya mudah sahaja, ambil sebesen kecil air dan titiskan 3-4 titisan esen vanila ke dalamnya. Kemudian, ambil tuala bersih dan celupkan pada air ini untuk mengelap ruang dalam peti ais anda. Memang harum!

Ingin lebih tahu pelbagai tips untuk dekorasi rumah? Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi IMPIANA. Klik di sini.

Sumber: SirapLimau Website 

Baca artikel berikutnya: Getah Pintu Peti Sejuk Dah Keras Dan Lekang, Tukar Sendiri Je

Published by
Nazar Rafiqhi