Pemilihan warna yang sesuai buat ruang merupakan proses yang signifikan dalam membina identiti kediaman. Pastikan setiap pemilihan rona pada cat dinding, perabot, langsir serta aksesori kecil yang lain berupaya membentuk sebuah harmoni dalam sesebuah kediaman.
Kecintaan dan minat mendalam Puan Suhaila terhadap warna merah jambu telah beliau terjemahkan dengan jelas dalam dekorasi kediaman miliknya. Rona putih dan element kayu diselit bersama merah jambu bagi menambah keharmonian dalam setiap ruang. Pemilik juga bijak menyuai padan perabot dalam pelan lantai terbuka agar ruang tampil lebih luas tetapi dalam masa yang sama, kemas tersusun.
Rumah jenis superlink 2 tingkat ini telah didiami bersama suami dan 2 ekor kucingnya sejak beberapa tahun yang lalu. Walaupun terletak agak jauh dari tempat kerja, hal ini tidak menjadi masalah buat Puan Suhaila kerana baginya, pengorbanan yang datang bersama kediaman impian beliau ini amat berbaloi untuk ditempuhi.
PESONA WARNA HARMONI
Merah jambu merupakan cerminan tepat personaliti Puan Su sendiri. Tutur kata yang tertib serta tingkah laku tuan rumah yang lemah lembut membuatkan penulis selesa beramah mesra bersamanya. Berpandukan cita rasa, fungsi serta praktikaliti ruang, Puan Su sememangnya amat teliti dalam menata rias setiap sudut di mahligai mewah ini.
Tingkat bawah kediaman di lengkapi dengan ruang tamu, ruang makan, dapur serta sebuah bilik tidur tetamu. Selain itu, disebalik pintu gelangsar juga terdapat ruang balkoni yang cukup luas buat tuan rumah bercucuk tanam dan mendekatkan diri dengan alam sekitar yang nyaman.
Sebagai warna dominan, rona merah jambu telah di’lembut’kan oleh padanan rona putih serta palitan elemen kayu yang menjadikan setiap sudut lebih tenang dan tidak kelihatan terlalu memaksa. Sebaliknya, pengunjung akan merasa lebih santai apabila berada di ruangan kediaman ini.
RUANG PENYIMPANAN PRAKTIKAL
Kebanyakan kediaman dengan pelan terbuka sering menghadapi masalah membahagikan antara satu ruang dengan satu ruang yang lain. Pelbagai teknik boleh digunakan tetapi pemilik memilih untuk membinakan kaunter pulau yang besar bagi membahagikan ruang tamu dan ruang makan dengan dapur.
Penulis sekali lagi kagum dengan ketelitian pemilik memilih warna bagi setiap perkakas dan perabot di dapur. Dari kabinet, permukaan kaunter hinggalah periuk belanga, semuanya pasti mempunyai sentuhan warna campuran merah dan putih itu.
Di satu sudut, Puan Su juga mempunyai sebuah pantri di dapurnya bagi memudahkan beliau menyimpan stok barangan kering serta makanan dengan lebih kemas dan tersusun. Ruang penstoran sebegini adalah lebih praktikal kerana pengguna mudah melihat dimana letaknya setiap bahan selain dapat menjimatkan masa di dapur.
SANTUARI NYAMAN DI BILIK TIDUR
Menjengah ke bilik tidur utama di tingkat dua kediaman ini, dan seperti yang dijangkakan penulis, kamar beradu pemilik juga amat comel dihias dengan warna kegemaran beliau. Walaupun tampak ringkas dan moden, bilik tidur ini jelas mempunyai karakter tersendiri.
Bilik mandi di bilik tidur utama ini juga tidak kurang menariknya. Umpama melangkah masuk ke sebuah spa, ruang ini amat ideal untuk merehatkan fizikal dan mental setelah seharian penat di tempat kerja.
Bahkan, keseluruhan kediaman ini bagaikan menjemput tetamu untuk “take a step back, and relax” dengan suasana yang nyaman dan ceria.
+ INFO KEDIAMAN
Nama Pemilik: Puan Suhaila
Jenis Kediaman: Superlink 2 tingkat
Konsep: Moden Scandinavian
Keluasan: 2345 kaki persegi
Spesifikasi: 4 Bilik Tidur & 4 Bilik Air