Pasti ada di antara kita yang pernah mengalami situasi di mana warna kelopak bunga di dalam pasu bukan sahaja pucat malah pertumbuhan bunganya juga tidak selebat yang kita mahukan. Kadangkala terasa begitu menghairankan apabila melihat pokok-pokok bunga yang tumbuh di tepi jalan lebih memercik bunganya dan garang pula warnanya.
Apa kurangnya dengan teknik penjagaan kita? Baja dan siraman kerap diberi malah tidak pernah culas pada setiap minggu. Lebih menghairankan apabila bunga-bunga tersebut seolah-olah mengecut dan kecil pula saiznya. Bagaikan seorang anak kecil yang kurus dan tidak bermaya akibat kurang makanan seimbang dalam dietnya sehari-hari. Begitulah juga halnya dengan tanaman berbunga di dalam pasu.
Tanaman berpasu secara kasarnya bergantung 100% kepada pemiliknya dari segi menyalurkan sumber nutrien dan air. Dan sebagai tanaman berpasu, ia mempunyai indikasi tertentu sebagai penanda aras tanaman tersebut hidup dengan baik dan subur. Tumbuh-tumbuhan yang sihat
dikategorikan sebagai mempunyai saiz yang baik, pertumbuhan daun yang hijau dan sihat serta memiliki bunga yang kelihatan cantik dan menarik. Selain itu, tumbuhan tersebut perlulah kelihatan menyerlah dan subur dari setiap aspek pertumbuhannya. Kuat, kukuh pada batangnya, bunga bersaiz normal dan banyak.
Teknik Pembajaan Untuk Pokok Berbunga
Kebiasaannya terdapat pelbagai baja bunga yang dijual di pasaran sama ada dalam bentuk cecair ataupun atau pun baja butiran. Kebiasaannya baja ini memerlukan bahan asas utama NPK iaitu Nitrogen (N), Fosforus (P) dan Kalium (K). Dengan nisbah pembajaan adalah 2:1:1
Nitrogen: berfungsi untuk pertumbuhan daun
Fosforus : berfungsi untuk menguatkan batang tumbuhan
Kalium: berfungsi untuk pembungaan
Justeru, asas untuk mendapatkan pokok yang mampu berbunga dengan cantik, lebat dan menyerlah warnanya adalah dengan membekalkan sumber tanah yang sangat kaya dengan nutrien. Kandungan NPK untuk pokok berbunga ini mestilah sesuai dengan keperluannya. Andai anda ingin menambah baja organik sebagai tambahan untuk menggalakkan pertumbuhan bunga juga tidak ada masalah. Asalkan anda memenuhi keperluan nutrien asasnya dahulu. Tanah ini juga perlulah mempunyai rutin disiplin pembajaan yang ketat dan digembur secara tetap.
Langkah demi langkah mendapatkan pokok berbunga cantik dan menyerlah warnanya