Rama-rama adalah antara serangga yang melalui kitaran hidup dikenali sebagai metamorfosis lengkap. Setiap peringkat di dalam kitaran ini mempunyai ciri tertentu yang boleh mempengaruhi keadaan taman anda. Ayuh teliti setiap peringkat metamorfosis untuk mengetahui sejauh mana kesannya kepada taman.
Telur (3-4 hari)
Pada peringkat telur, metamorfosis tidak akan mengancam tanaman malahan ia merupakan aset penting kepada taman. Kebiasaannya rama-rama akan bertelur pada tanaman native
yang mempunyai nutrien untuk beluncas sebaik telur menetas. Jadi kehadiran telur rama-rama pada tanaman anda menunjukkan ia sangat sesuai bagi habitat rama-rama dan boleh menggamit lebih banyak serangga tersebut ke taman anda.Beluncas (10-14 hari)
Pada peringkat ini, metamorfosis ram-rama adalah dalam bentuk larva atau beluncas. Sebaik telur menetas, beluncas akan memakan kulit telur tersebut dan daun-daun berdekatan tanpa henti dan membesar dengan pantas selepas beberapa jam.
Bagi anda pencinta taman melihat kehadiran burung dan haiwan liar di taman pasti menggembirakan. Dengan kehadiran beluncas, taman anda akan sentiasa dikunjungi oleh burung dan serangga baik lain yang dapat membantu ekosistem di taman anda. Apabila beluncas ini kekenyangan, ia akan menjadi kurang aktif dan berhenti makan.
Kepompong (10-14 hari)
Peringkat seterusnya, setelah menjadi kurang aktif beluncas tersebut akan mula melekatkan dirinya secara terbalik pada pokok. Dalam masa itu, ia menghasilkan kepompong di bawah kulitnya. Tidak lama kemudian, ia menanggalkan kulit luarnya lalu menampakkan kepompong yang telah dihasilkan terlebih dahulu. Ketika proses ini berlaku, ia tidak akan mengganggu pertumbuhan tanaman juga tidak menambahkan kesuburan kepada taman. Jadi pembaca tidak perlu membuang kepompong ini jika terdapat di sebalik tanaman anda.
Rama-rama Dewasa (2-5 minggu)
Sebaik tamat tempoh ‘berkurung’, beluncas yang tadinya diselimuti kepompong mula mengeluarkan tubuhnya sedikit demi sedikit dan seterusnya rama-rama dewasa menjelma menjadi rama-rama bercorak indah. Ia menggunakan mata untuk mencari bunga dan setelah ia mendarat pada kuntuman bunga yang berpotensi, ia menggunakan saraf rasa pada kakinya untuk mencari nektar. Manfaat rama-rama dewasa kepada taman adalah ia membantu memindahkan stigma bunga kepada debunga bagi pembentukan buah atau tanaman hibrid.