Dekorasi

Rancang Betul-Betul, Elak 10 Kesilapan SEBELUM Bina Kabinet Dapur Supaya Tak Menyesal

Share

Rancang Betul-Betul, Elak 10 Kesilapan SEBELUM Bina Kabinet Dapur Supaya Tak Menyesal. Dapur ibarat ‘jantung’ bagi sesebuah kediaman. Ia boleh dikatakan merupakan ruang penting yang seringkali digunakan oleh pemilik kediaman setiap hari. Oleh yang demikian, selain reka bentuk yang menarik dapur juga perlu berfungsi dengan cekap dan baik untuk kegunaan jangka panjang.

Sebelum merancang untuk membina kabinet dapur, sebaiknya fikirkan dengan teliti dan ambil kira beberapa perkara ini terlebih dapur, supaya dapat mengelakkan kesilapan berlaku, sekaligus menyesal di kemudian hari.

1. Pelan Lantai Dapur Tak Berasaskan Konsep ‘Segi Tiga’

Setiap pelan lantai dapur yang baik mestilah mempunyai sinki, peti ais dan dapur dalam formasi segi tiga dan memudahkan penggunanya bergerak dari satu bahagian ke bahagian yang lain semasa memasak. Elakkan meletak peti ais di hujung dapur dan sinki di hujung yang satu lagi. Tidak merancang susunan dapur dengan baik boleh menyebabkan aliran kerja yang tidak efisien.

2. Pencahayaan Tak Mencukupi

Jika hanya bergantung pada satu sumber pencahayaan utama tanpa tambahan pencahayaan di bawah kabinet atau di kawasan kerja boleh menyebabkan kawasan dapur menjadi gelap dan kurang efisien. Ada segelintir yang inginkan lampu gantung di bahagian dapur, namun harus diingatkan untuk memilih yang sesuai kerana ada segelintir lampu menjadi magnet habuk.

3. Pemilihan Warna Kabinet Tak Sesuai Saiz Dapur

Warna yang sesuai untuk kabinet dapur adalah warna neutral seperti hitam, putih, atau warna kayu terang, sesuai untuk dikombinasikan dengan pelbagai warna dinding. Harus di ingatkan juga, untuk ruangan dapur yang agak kecil, pilihan warna putih atau terang harus diutamakan berbanding warna gelap supaya ruang nampak lebih luas. Namun jika dapur anda luas, penggunaan warna gelap tidak menjadi masalah.

4. Penggunaan Material Tidak Praktikal

Begitu juga dengan pemilihan material bagi pintu kabinet, backsplash, kaunter top dan sebagainya, pastikan pilih kemasan jenis tahan lasak, tak mudah rosak, kembang, tak mudah bercalar mahupun meninggalkan kotoran. Biarpun sedikit mahal dari segi harga namun puas hati untuk ketahanan jangka panjang. Material seperti aluminium, granite, Quartz Stone antara yang boleh dipertimbangkan.

Elakkan memilih jubin bersaiz kecil pada bahagian ‘backsplash’ dapur. Terlalu banyak ‘grout lines’ menyebabkan mudah memerangkap habuk, minyak dan kotoran selepas memasak. Malah kerja membersihkan juga menjadi lebih sukar. Sebaiknya guna permukaan rata ‘one full piece’ atau jubin bersaiz besar sebagai backsplash. Lebih mudah untuk lap kotoran dan membersihkannya, malah tidak meninggalkan kesan.

5. Tidak Merancang Kedudukan Peralatan Elektrik

Alatan elektrik seperti periuk nasi, penapis air, oven dan juga hood untuk memasak adalah antara beberapa alatan wajib ada di dalam dapur kita. Amatlah penting untuk memastikan kesemua ini dimasukkan ke dalam perancangan awal semasa proses membuat kabinet.

Penyambungan plug elektrik ini biasanya akan dibuat terlebih awal supaya wayar dapat di buat dengan kemas di dalam dinding. Bahkan jumlah plug dan soket elektrik juga mecukupi di dapur, berbanding menggunakan penyambung wayar (extension) di kemudian hari.

6. Kabinet Tidak Cukup Tinggi

Ruang penyimpanan adalah penting, terutamanya bagi dapur yang kecil. Oleh itu, anda perlu memaksimumkan setiap inci yang ada. Kalau boleh, pastikan almari yang anda bina tinggi hingga ke siling. Perkakas yang jarang digunakan boleh disimpan di tempat tinggi, manakala yang kerap digunakan disimpan di tempat yang mudah dicapai. Selain dapat mengelakkan habuk bersarang di atas kabinet.

7. ‘Base’ Unit Terlalu Tinggi

Ini paling penting apabila mereka bentuk kabinet dapur. Berbanding ukuran standard, ‘Base’ unit atau kedudukan kaunter top sebaiknya perlulah berciri ergonomik, mengikut keselesaan berdasarkan ketinggian pemilik kediaman. Pasti tidak selesa untuk membuat kerja di kaunter top apabila ia terlalu tinggi atau terlalu rendah. Jadi pastikan ketinggian kaunter top ini ia diukur sebaiknya.

8. Kedudukan Ketuhar/ Microwave Terlalu Rendah

Jika sering menggunakan ketuhar gelombang mikro dalam penggunaan harian, pastikan perletakan kedudukannya tidak berada terlalu rendah. Ia sangat tidak praktikal apatah lagi kerap digunakan setiap hari. Pastikan kedudukan perkakasan ini pada paras pinggang dan digunakan ketika anda berdiri.

Bayangkan betapa sakitnya belakang anda di usia tua nanti apabila anda terpaksa membongkok setiap kali memasukkan ayam ke dalam ketuhar. Fikir betul-betul dan sediakan ruang yang tinggi sedikit untuk memasang ketuhar dan ketuhar gelombang mikro anda. Anda pasti bersyukur apabila tua kelak.

9. Tiada Ruang Di Bawah Kaunter Bar/Kaunter Pulau

Pastikan rekabentuk kaunter bar atau kaunter pulau mempunyai ruang yang cukup di bawahnya supaya bangku (stool) boleh ditolak masuk. Bayangkan bagaimana rasanya duduk di ruang ini tanpa ruang kosong di bawahnya. Pastinya sangat tidak selesa.

10. Penggunaan Rak Terbuka

Rekaan rak terbuka pada kabinet dapur memang nampak cantik dipandang namun ia tidak praktikal kerana mudah mengumpul habuk, minyak dan debu pada rak serta barangan juga mudah nampak bersepah dan tak tersusun. Sebaiknya pilih kebinet dapur jenis rak tertutup, ia dapat kurangkan habuk malah lebih banyak barang dapat disimpan, serta dapat menyembunyikan barangan yang tak tersusun atau bersepah dengan baik.

IMPIANA: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan panduan buat anda yang sedang merancang untuk membina kabinet dapur. Pastikan ia buka sahaja cantik, namun praktikal dan mudah dijaga untuk jangka panjang.Sebelum nak buat kabinet dapur, pertimbangkan dulu perkara ini, supaya tak menyesal.

 

Mesti Baca: Kemas Hasil Kerja Pelajar Tingkatan 4 & 5 Kemahiran (PVMA), Buat Kabinet Dapur Macam ‘Pro’! 

Baca Lagi Di Sini:Cipta Ruang Simpanan Tambahan Pada Pintu Kabinet Dapur, DIY Guna Barang RM2.40 Je! 

Artikel Menarik:Kabinet Dapur Biarlah Binaannya Praktikal, Ini Layout Yang Betul Dan Ideal

Published by
Suhaidah Wahab