REEN RAHIM Hadiah Rumah Baharu Buat Ibu Bapa, Tak Lupa Tanggungjawab!

Share

Biarpun sudah berkahwin dan memiliki kehidupan sendiri, pelakon cantik manis REEN RAHIM tidak lupa akan tanggungjawab beliau sebagai seorang anak.

Terbaharu, menerusi perkongsian laman instagram pemilik nama sebenar Noreen Ashikin Abdul Rahim itu membuat kejutan kepada ibu dan ayahnya dengan menghadiahkan mereka rumah baharu.

Kejutan berupa sebuah rumah dua tingkat yang lengkap dengan peralatan dan siap di dekorasi membuatkan kedua orang tuanya sebak dan terharu.

Menerusi hantarannya di laman Instagram, anak ketiga daripada empat beradik itu mengakui sejak kecil lagi, beliau sudah menanam impian untuk memiliki kediaman hasil pendapatan sendiri.

Kata Reen, beliau ingin memiliki rumah yang cantik dan besar memandangkan dirinya dibesarkan dalam keluarga yang penuh kesederhanaan.

Titip Nasihat

Adik-adik di luar sana, beranganlah…

Sebab angan-angan itu bukan saja-saja ALLAH lintaskan dalam hati dan otak kita. Setiap angan-angan kita sebenarnya petunjuk dari ALLAH untuk kita berdoa,meniti jalan dan berusaha untuk capai angan-angan tu.

Titip beliau lagi, jangan abaikan impian yang wujud dalam diri kita. Pegang ia untuk menggapainya.

“Inilah angan-angan Reen. Dari kecik tengok rumah cantik-cantik dalam tv dalam majalah. Teringin nak ada semua ni. Dah besar dah kerja, Reen siapkan tempat Reen cantik-cantik, selesa, macam dalam majalah.

“Tapi pelik, dah ada semua tapi hati tak tenang. Reen doa tanya ALLAH kenapa aku tak tenang, apa yang aku terlepas pandang YA ALLAH. Satu hari DIA jadikan asbab rumah umi banjir, pokok tumbang. Rupa-rupanya itu signal yang ALLAH sampaikan.

“Buat aku sedar kebahagian itu bukan tentang diri sendiri, bahagia akan datang bila kita bahagiakan orang yang kita sayang. My 1st landed house, Reen niat buat cantik-cantik, nak umi abah yang duduk situ, Reen nak rumah ni jadi tempat pulang kami adik-beradik. Nak rumah ni tempat umi abah relaks menikmati hari tua mereka,”ungkapnya.

Pada masa sama, beliau mengakui kini cukup tenang selepas dapat berbakti kepada kedua ibu bapanya.

“Jangan persoalkan kenapa aku buat sehabis baik macam aku yang nak duduk sini. Padahal aku tetap duduk rumah lama aku. Ade quote yang Reen pegang ‘Layan ibu bapa mu seperti raja, ALLAH akan jaga segala urusanmu di dunia dan diakhirat’ dan reen sangat yakin dengan itu.

“Alhamdulillah tenang yang luar biasa DIA hadiahkan pada Reen dan suami sekarang. YA ALLAH, aku mohon kau dipermudahkan segala urusan kami di dunia dan di akhirat,kau panjangkanlah umur kedua ibu bapa kami. Amin,” demikian luahan Reen Rahim menerusi kapsyennya.

Bagusnya dapat anak macam Reen ni, moga terus dilimpah rezeki kerana selalu bahagiakan ibu bapa!

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Sumber: Instagram reenrahim and ricdeco_

 

Published by
Nana