Ruang Tamu Hambar? Transformasi Kediaman Tampil Moden Kontemporari. Bagi mendapatkan kediaman yang sempurna dan menepati kehendak kita bukanlah sesuatu yang boleh dicapai dalam masa yang singkat dan terburu-buru.
Nama Pemilik : Pn. Anisah Ahmad
Lokasi : Puncak Alam
Jenis Kediaman : Teres Dua Tingkat
Konsep : Moden Kontemporari
Segalanya memerlukan perancangan yang rapi dan setiap langkah akan memakan masa, tenaga dan sudah tentunya wang ringgit. Bergantung pada pemilik, setiap satunya adalah berbeza-beza mengikut keperluan, keluasan kawasan dan juga bajet tuan rumah.
Buat Puan Anis, kediaman yang sudah didiami selama 3 tahun bersama suami dan seorang anak kecil ini adalah tempat beliau menghabiskan masa jika tidak ke sekolah untuk mengajar. Rumah dua tingkat tersebut kelihatan lebih dari cukup buat keluarga kecil ini menjalankan aktiviti seharian dengan lancar. Tetapi, memandangkan pasangan ini sibuk bekerja dari Isnin ke Jumaat, mereka masih belum sempat untuk mengemas dan mendeko rumah mengikut kehendak dan keperluan.
Jadi, kini sudah tiba masanya untuk pasangan ini melakukan renovasi secara berperingkat dimulakan dengan ruang tamu dan ruang bawah tangga kediaman. Walaupun pada mulanya ruang tamu kelihatan kosong dan tidak menarik, dengan sedikit sentuhan dari pakar yang berkaliber, ruang tamu Cikgu Anis telah berubah menjadi lebih menarik dan nampak lebih teratur dengan konsep dan susun atur yang baru ini. Setiap ruang digunapakai sebaik nya dan tidak dibiarkan kosong.
Konsep moden Kontemporari yang dibawakan ini amat sesuai dengan kediaman Cikgu Anis yang luas dan masih baru ini. Dinding dicat biru tua dengan kemasan wainscoting warna keemasan sebagai feature wall
telah menaikkan seri ruang tamu yang terdahulunya nampak hambar dan tidak bermaya. Pantulan cahaya dari barisan spotlight serta gantungan accent light juga telah menjadikan ruang lebih ‘hidup’.Selain itu, ruangan bawah tangga yang sebelum ini hanya diletakkan peti sejuk kini telah berubah fungsi sepenuhnya apabila pereka membina rak buku dan mainan untuk anak tuan rumah. Terdapat juga papan putih dan tempat duduk yang ditempatkan ditengah-tengah rak.
Seperti yang dikatakan tadi, segenap ruang dan setiap inci dimanfaatkan dengan baik. Jadi ruang berhadapan tangga yang kosong telah di deko dan di ubah menjadi ruang rehat ataupun ruang santai sambil membaca.
Ruang rehat ini dihiasi wall cladding bertekstur batu bata berwarna putih, cukup untuk menampakkan lagi kenaggunan kediaman ini.
Dinding selari dengan pintu masuk utama juga tidak dibiarkan kosong. Malah, diberikan sentuhan yang penuh teliti dan menarik. Cermin panjang melintang yang berbingkai putih digantung bagi memberikan ilusi ruang lapang selain mudah untuk pemilik bercermin dan melihat penampilan sejurus sebelum keluar rumah. Penempatan cermin yang strategik dilengkapi lagi dengan meja konsol yang dihiasi lampu meja accent dan tumbuhan hijau untuk menambah seri ruang.
BACA: Ambil Tahu Punca Ruang Tamu Tidak Selesa Ini 5 Sebabnya