Rumah Singgah Salikin Sidek Sarat Elemen Seni Dan Tradisi

Share

Terletak nun di Kuala Selangor, siapa sangka terdapat perkampungan banglo  yang mendamaikan. Suasana jauh dari hiruk pikuk kota dan lebih menarik lagi persekitaran yang luas, lengkap dengan taman permainan dan kawasan rekreasi.  Tidak hairan jika ramai di kalangan kita yang menjadikan hartanah di luar kota sebagai kediaman hujung minggu.  IMPIANA bertandang ke kediaman hujung minggu pereka busana tradisi dan pereka selebriti, Salikin Sidek.

Telah tiga tahun memiliki kediaman banglo ini. Secara peribadi, ia bagi Salikin merupakan satu rahmat dari doanya yang mendambakan sebuah kediaman yang berhadapan dengan padang  untuk anak-anak bermain. Malah suasana persekitaran yang agak berbeza dengan kota memberikan kenikmatan  tersendiri apabila menghabiskan cuti panjang atau hujung minggu.

“ Bagaikan tidak percaya, doa saya dimakbulkan Tuhan. Malah dipermudahkan untuk saya memiliki kediaman ini. Selain suasana tenang, di kawasan sekitar sini juga banyak sumber makanan segar dan murah. Di sinilah juga tempat saya mencari ilham bagi menyiapkan buku juga mencari idea baru bagi koleksi saban tahun,” ujarnya yang kini rancak mengeluarkan buku panduan fesyen dan  jahitan.

RUMAH PUTIH DEPAN PADANG

Kediaman putih ini direka ala bentuk nautika dan mempunyai elemen moden kontemporari. Aras siling yang tinggi dan jendela bumbung yang cukup luas untuk memberi simbahan cahaya ke tengah ruang, sememangnya sesuatu yang berbeza daripada kediaman lain. Salikin sendiri ada membuat pengubah suaian di bahagian hadapan kediaman agar ruang utama ini lebih luas dan beliau boleh membina pintu masuk utama yang agak besar daripada pintu sedia ada.

Ketinggian siling yang lebih daripada 12 kaki memberi satu biasan cahaya yang tidak terlalu terang biar pun cuaca di luar sana terik.  Malah tiap kali pintu utama yang mempunyai saiz sekitar 4 x 8 kaki setiap belah di kuak, pasti akan menderu bayu menerpa ke dalam kediaman beliau. Bersama rimbunan pokok hiasan di luar sana.

Ruang tamunya cukup berseni. Hasil kraf dan lukisan diabadikan sebagai lambang jiwa pereka ini yang mewah dengan elemen seni. Kerusi makan bulat yang diperbuat daripada kayu jati Burma dimuatkan pada pinggir pintu utama . Manakala set ruang tamu yang disempurnakan dengan fabrik mewah seperti songket dan pelbagai bahan bacaan. Dari situ juga sudah jelas bagi kita menggambarkan bagaimana anak jati Johor ini menghabiskan masanya di rumah.

Jika diperhatikan pada dinding bukan sahaja kesenian Melayu menjadi pilihan beliau. Malah lukisan kabuki dan hasil karya rakan-rakan baiknya juga diabadikan pada dinding utama ruang tamu kediaman.  Di samping terdapat sebuah dua barangan kelengkapan pengantin lama yang juga disuai padan menjadi aksesori kediaman. Sebuah meja solek lama dihias bersama congkak berukir sebagai meja konsol di ruang tamu, begitu mengusik perasaan . Biar pun dimamah usia dek masa, namun rekaan yang unggul pasti bersinar biar di mana juga ia ditempatkan.  Inilah yang menjadikan ruang tamu kediaman ini cukup selesa dan menyenangkan. Jom intai deko designer tersohor ini.

Published by
Asmar Zakri