Cegah sebelum terlambat. Akibat daripada tidak ambil peduli tentang kehadiran anai-anai, pasangan ini telah kerugian hampir RM10 ribu apabila dapur kediaman mereka roboh secara tiba-tiba. Pihak bomba telah mengenal pasti punca dapur kediaman pemilik roboh disebabkan oleh anai-anai yang telah merosakkan beberapa tiang utama dapur mereka.
Bagi anda yang memiliki kediaman yang mempunyai bahan binaan kayu, anda harus ambil perhatian tentang perkara ini. Anai-anai ada di mana-mana saja kawasan yang bertanah. Tak kira di mana anda tinggal samada di bandar atau di kampung, anai-anai pasti ada. Jadi ketahuilah tanda-tanda awal rumah anda diserang anai-anai.
Tanda-tanda Awal Rumah Anda Diserang Anai-anai
Oleh itu, amat penting untuk anda tahu serba sedikit bagaimana nak kesan kehadiran anai-anai di dalam atau luar serta sekitar rumah anda. Dengan sedikit pengetahuan berkenaan teknik mengesan kewujudan anai-anai ini, anda dapat bertindak lebih awal sebelum lebih banyak kerosakan dilakukan oleh anai-anai.
Berikut adalah tanda-tanda yang dapat menunjukkan bahawa ada kehadiran anai-anai di rumah anda:
- Kayu atau dinding terlopong kosong. Ini satu lagi kesan ketara berlaku pada kayu yang telah dirosakkan oleh anai-anai. Bila diketuk akan keluar bunyi menunjukkan bahawa ada ruang kosng di dalam katu tersebut. Biasanya anai-anai akan makan kayu bahagian dalam dan meninggalkan lapisan nipis sahaja pada bahagian luaran kayu.
- Kehadiran tanah lembab. Anai-anai tidak tahan dengan kekeringan dan cahaya. Oleh itu biasanya mereka akan membina lorong kecil yang diperbuat daripada tanah yang lembab. Pilihan utama anai-anai adalah membina lorong di dalam dinding kayu atau batu. Jika tidak ada pilihan, mereka akan keluar dan membina lorong diluar dengan binaan lorong tanah lembab tersebut.
- Kehadiran kelkatu. Samada anda melihat adanya kelkatu ataupun anda terjumpa sayap-sayap yang ditinggalkan oleh kelkatu, itu merupakan tanda bahawa ada aktiviti anai-anai di sekitar kawasan rumah anda. Jika anda rajin, elok cari dari mana datangnya kelkatu tersebut. Kelkatu biasanya keluar daripada koloni anai-anai yang telah melebihi had jumlah populasinya.
- Kayu berubah warna. Jika anda lihat kayu pada dinding atau bumbing atau siling rumah telah berubah warnanya, ia berkemungkinan telah dimakan oleh anai-anai. Ianya lebih ketara jika kayu tersebut telah disapu dengan varnish.
- Terjumpa anai-anai hidup. Sudah tentu jika anda berjumpa anai-anai hidup, menunjukkan rumah anda sedang diserang oleh anai-anai. Tetapi jika tiada anai-anai hidup ditemui, ia belum tentu bermakna tiada anai-anai di dalam rumah atau primis anda. Anai-anai yang ditemui biasanya bila anda buka tempat sembunyi atau lorong tanah yang dilaluinya. Biasanya anda akan jumpa samada askar atau pekerja.