Senibina Tradisional Dalam Penataan Moden Rumah Panjang Sarawak

Share

Sudah banyak artikel tentang rumah yang disiarkan oleh IMPIANA baik dari jenis teres hingga ke rumah high rise disekitar semenanjung Malaysia. Kali ini IMPIANA ingin mengajak anda untuk menjengah saudara borneo kita di negeri Sarawak yang mana mereka amat terkenal dengan pembuatan rumah panjang yang boleh memuatkan lebih daripada 10 keluarga dalam satu rumah. Jika dalam sebuah komuniti adanya ketua kampung, ketua adat dan tok batin, di rumah panjang tanggungjawabnya tergalas di bahu seorang tokoh bernama Tuai Rumah.

Rumah panjang tradisional diperbuat daripada sumber semula jadi seperti kayu,buluh dan dibina secara bertingkat di atas tanah. Lazimnya ia akan menempatkan semua ahli keluarga dalam satu rumah dan berkongsi ruang tamu yang sama dalam saiz panjang dari hujung ke hujung. Kebiasaanya, kediaman jenis ini menjadi penempatan buat suku kaum Iban, Melanau, Orang Ulu dan Bidayuh.

Rumah panjang tradisional dibina menggunakan tiang jenis kayu keras dan tidak mudah rosak seperti kayu belian manakala binaan bumbungnya diperbuat daripada daun rembia dan apa jua jenis daun yang tebal dan tahan lasak. Untuk menampung penduduk yang ramai lantainya diperbuat daripada buluh, papan atau kulit kayu. Tangganya pula dihasilkan daripada sebatang kayu bulat yang ditakik menggunakan beliong.

Walaupun negara kita sudah memasuki zaman moden dimana pembuatan rumah juga turut mengikuti arus peradaran zaman, begitu juga dengan rumah panjang, hari ini sudah ada rumah panjang moden tetapi senibinanya kekal sama seperti tradisional. Sepertimana perkongsian yang dibuat oleh seorang pemilik laman sosial iaitu Andrewson Luat Jantai yang mana beliau telah berkunjung ke salah satu rumah panjang moden yang terletak di daerah Bintulu, Sarawak.

Senibinanya diperbuat daripada batuan konkrit dengan hiasan dalaman yang moden. Seperti contoh, penggunaan kipas elektrik dihadapan setiap bilik keluarga, sofa dan dapur moden. Terdapat seramai 33 keluarga yang mendiami rumah panjang tersebut.

IMPIANA paparkan untuk anda beberapa rumah panjang moden untuk kita ketahui dengan lebih luas salah satu khazanah budaya berbilang kaum yang ada di Malaysia.

 

 

 

Published by
Team Impiana