Kediaman, tidak kira yang bersaiz kecil atau besar, kini bukan lah menjadi masalah buat pemilik. Sama ada rumah anda banglo tiga tingkat mahupun apartmen kecil dua bilik, perkara paling penting adalah bagaimana anda menyusun atur dan menghias kediaman agar sesuai degan gaya hidup masing-masing.
Lebih-lebih lagi buat rumah dengan ruang yang terhad. Perancangan pelan atau susun atur yang sesuai dan menarik perlu diberi keutamaan. Pastikan setiap sudut digunakan dengan bijak dan tiada negative space dalam mana-mana ruang supaya rumah yang didiami lebih selesa dan sudah digunakan sebaik mungkin. Seperti apartmen di Rusia ini yang tampak selesa tetapi juga praktikal buat pemiliknya. Semoga ia menjadi inspirasi buat pembaca IMPIANA.
Sumber : Pinterest
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
DIY Rak Kasut Sampai Jadi Mengarut! Bukan Calang-Calang Designnya
Rak kasut, semua ada rak kasut kan di rumah? Tapi apa jadi kalau kasut yang ada dalam rumah tu terlampau banyak dan tidak ada ruang? Mula lah kita akan letak di lantai berselerak macam itu sahaja. Bila berselerak, ia akan nampak kurang dan tidak sedap mata dipandang oleh orang. Tapi jangan risau. Saya akan bagi idea untuk anda membina sendiri rak kasut dan dari bahan yang bagus dan mantap. Jom kita mulakan!
MEMBINA DENGAN MENGGUNAKAN PAIP PVC.
Bahan-bahan yang anda perlukan hanyalah: Paip PVC yang paling besar dan juga paku.
Kemudian, jika anda sudah mendapat kedua-dua bahan ini, maka bermulalah kita ya untuk membina rak kasut. Pertama sekali, potong paip PVC itu bagi macam ia muat untuk semua saiz kasut masuk dan pakunya ke dinding. Pastikan sebelum anda pakukan paip PVC ke dinding, anda sudah ada corak dan design kreativiti yang anda mahu.
MEMBINA DENGAN MENGGUNAKAN BAKUL
Bahan-bahan yang diperlukan: Bakul yang sama saiz dan berbeza warna dan mampu disusun bertingkat-tingkat, cable tie.
Cara-cara untuk membinanya adalah, susun bakul yang anda ada itu mengikut cara anda dan ketinggian yang sesuai. Selepas itu, ikat cable tie dengan kemas dan potong hujung cable yang terkeluar. Dan dengan itu, siaplah.
Dan yang terakhir ini, dia unik sikit.
MEMBINA DENGAN MENGGUNAKAN TIN MILO
Bahan-bahan yang diperlukan, senang dan ringkas sahaja: Tin Milo dan Paku Dinding.
Dah dapat dua bahan ini, kita pun mulakanlah proses membinanya. Mula-mula, pastikan tin milo itu sudah dicuci dan bersih sepenuhnya. Tandakan dahulu di dinding bagaimana anda mahu corakan bentuk rak kasut anda itu mengikut kreativiti. Selepas itu pakukan tin milo itu di dinding. Pastikan pakukan itu di tengah dasar tin tersebut. Dan akhirnya siaplah rak kasut dari tin milo.
Jadi, itu lah cara-cara anda membina sendiri rak kasut dari bahan-bahan yang telah disebut tadi. Anda tidak semestinya mengikut 100 peratus bahan di atas. Jika ada idea lain, boleh cuba membinanya sendiri mengikut kreativiti anda.
Sumber: Bidadari.my (https://bidadari.my/diy-rak-kasut/)
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Kaunter Pulau Yang Praktikal Untuk Dapur Sempit Dengan Kos Kurang RM550!
Melalui perkongsian idea oleh Puan Betty Ramli di Facebook, ruang dapur sempitnya diubah suai kerana berasa tidak selesa dengan barang dan peralatan yang terlalu banyak di dapur sambil memberikan nafas baharu buat ruang tersebut.
Menurutnya, dia mendiami rumah sewa ini dengan dapur berkeluasan 10 kaki x 8 kaki dan demi menjadikan impiannya untuk memiliki sebuah meja kaunter idaman, beliau banyak merujuk kepada pelan susun atur yang disediakan oleh IKEA.
Ia bermula dengan pembelian base table Metod dan dipadankan dengan counter top Ekbaken dan dilengkapi dengan Utrusta Shelf yang ketiga-tiganya berharga hanya RM546.90. Ini cuma kos pembelian sahaja kerana segala pemasangan di dapur rumahnya dipasang sendiri oleh suaminya yang juga merupakan seorang mekanik.
Idea ringkas tapi praktikal ini sesuai untuk anda yang mempunyai dapur sempit dengan bajet mampu milik. Selamat menghias!
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Pelan Lantai Praktikal Sesuai Untuk Gaya Hidup Keluarga Moden
Pelan atau perancangan sesebuah kediaman yang seiring dengan gaya hidup mampu memberikan impak positif kepada penghuninya. Jalani kehidupan seharian dengan lebih selesa apabila tata rias kediaman yang menarik disuntik bersama praktikaliti pada setiap ruang di sanggar idaman anda.
Terletak di pinggir negeri Selangor, Kundang Estates merupakan salah satu perbandaran yang dibangunkan oleh Gamuda Land merangkumi kawasan berkeluasan 89 ekar. Dengan 573 unit kediaman, ia menawarkan sebuah pembangunan harmoni diilhamkan oleh gaya hidup keluarga moden.
“Anise” adalah rangkaian kediaman teres dua tingkat yang dilengkapi dengan 4 bilik tidur dan 3 bilik air. Datang dengan rekabentuk yang moden, kediaman berkeluasan 1733 kaki persegi ini tampil dengan jalan ceritanya sendiri. Pereka dalaman yang bertanggungjawab menata rias kediaman ini telah mengambil kira gaya hidup keluarga moden yang aktif tetapi pada masa yang sama, suka meluangkan masa bersama-sama.
Melalui pintu masuk utama kediaman, terlihat sebuah ruang dengan pelan terbuka, dibahagikan kepada tiga kawasan iaitu ruang tamu, ruang makan dan juga dapur. Walaupun berada dalam satu lantai yang sama, setiap ruang tersebut telah di hias dengan menggambarkan persekitaran yang praktikal dan multi-fungsi dalam kediaman keluarga ini.
Di sini, susun atur perabot memainkan peranan penting dalam membahagikan setiap ruang. Contohnya, susunan sofa di ruang tamu membelakangi ruang makan menunjukkan dengan jelas bahawa ia merupakan dua ruang yang berbeza dengan penggunaan yang berbeza. Terdapat juga sebuah meja konsol diletakkan dibelakang sofa tersebut sekaligus menjadikannya sebuah sudut pelbagai guna yang memenuhi keperluan setiap ahli keluarga.
SATU PELAN, MULTI-FUNGSI
Ruang makan kediaman ini pula tampak sempurna dilengkapi sebuah set meja makan 6 kerusi berwarna hitam dengan deretan lampu gantung yang menyinari segenap ruang. Menariknya, di sini juga terletaknya rak buku yang dibina khas dengan pintu berupa papan hitam. Sesuai untuk digunakan anak-anak ketika sesi belajar mahupun untuk menyiapkan kerja sekolah. Ini bererti ruang makan ini bukan sahaja digunakan ketika waktu makan tetapi juga digunakan untuk sebagai ruang ulang kaji bagi si cilik.
Ruang makan dwi-fungsi ini terletak betul-betul di sebelah dapur bagi memudahkan pergerakan penghuninya selain dilengkapi dengan kaunter sarapan (breakfast counter) dua tempat duduk. Dari sudut ini, si ibu dapat memantau anak-anak dari jauh sambil menyediakan juadah buat keluarga tercinta.
PENGGUNAAN RUANG NEGATIF
Kebiasaanya, pemilik kediaman mungkin buntu dan tidak pasti bagaimana mahu menggunakan sepenuhnya ruang bawah tangga tanpa terlihat kosong dan hambar. Di kediaman ini, ruang tersebut telah mengalami transformasi penuh, menjadikannya sebagai sebuah sudut dengan fungsi yang tersendiri.
Sebuah bench atau kerusi panjang di bina bagi menambah kapasiti tempat duduk agar bisa digunakan ketika tuan rumah mengadakan majlis keramaian mahupun perjumpaan. Idea bijak ini juga telah digunapakai untuk sudut belakang pintu masuk utama kediaman ini.
Terdapat sebuah rak kasut bersama tempat duduk yang ditempah khas (custom made) bagi memudahkan para tetamu dan juga tuan rumah. Elemen seperti ini bukan sahaja membuatkan kediaman tampil menarik taetapi juga dapat memastikan setiap ruang sentiasa dalam keadaan yang kemas dan bersih. Sekaligus memudahkan tugas-tugas pembersihan untuk pemilik.
IDENTITI KAMAR TIDUR
Dari kebanyakan ruang yang terdapat di sesebuah rumah, bilik tidur merupakan ruang yang paling peribadi. Walaupun ia mungkin tidak akan terlihat langsung oleh tetamu anda, bilik tidur juga berhak untuk diberikan perhatian. Inilah yang digambarkan dalam kediaman ini apabila setiap kamar tidur dihias dengan memberi sepenuh perhatian pada setiap kemasan dan perincian.
Penggunaan rona neutral bertona gelap masih lagi dikekalkan di bilik tidur utama, sama seperti ruangan di tingkat bawah. “Mood” atau persekitaran berkonsepkan moden kontemporari ini dapat membangkitkan perasaan tenang dan nyaman ketika sedang berehat.
Lain pula halnya untuk bilik tidur anak perempuan dan lelaki kerana masing-masing mempunyai kegemaran dan kecenderungan yang tersendiri. Bersesuaian dengan usia yang sedang meningkat remaja, penggunaan warna pastel yang lembut dan tidak terlalu terang telah menjadi pilihan untuk bilik anak gadis. Manakala untuk adik lelaki pula, suasa lebih ceria dan bertenaga telah diterapkan dengan penggunaan kertas dinding bercorak serta beberapa percikan warna-warna terang seperti merah dan kuning.
+ INFO KEDIAMAN
Jenis Kediaman: Rumah teres dua tingkat
Konsep: Moden
Keluasan: 1733 kaki persegi
Spesifikasi: 4 bilik tidur, 3 bilik air
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI