Tanah Pusaka Banyak Nama? Ini Cara Terbaik Tangani Masalah Tersebut Menurut Pakar

Share

Isu pembahagian harta di kalangan keluarga dan adik-beradik masih lagi hangat diperkatakan dan ianya seperti tiada penghujung. Merujuk kepada laporan Sinar Harian bertarikh 18 April 2018, seorang suri rumah berhadapan tuntutan ganti rugi berjumlah RM720,000 oleh lima adik-beradik kepadanya kerana didapati melakukan penipuan harta pusaka arwah bapa mereka.

Isu sebegini berbangkit kerana timbulnya perasaan tamak sehingga sanggup menipu adik-beradik sendiri dalam pewarisan harta yang ditinggalkan oleh ibu bapa. IMPIANA kongsikan pencerahan dan solusi daripada seorang peguam bertauliah yang disiar di laman Facebook miliknya iaitu Timbalan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Encik Salkukhairi Abd Shukor

Menurutnya, masalah yang dibangkitkan adalah tentang bahagian tanah pusaka geran kongsi yang semakin mengecil apabila penama asal meninggal dunia dan bahagiannya akan di turun milik kepada waris- waris mereka. Kesannya, di dalam geran tanah tersebut semakin banyak penama dan pada masa yang sama masing-masing akan memiliki bahagian yang semakin kecil saiznya.

Keadaan ini akan lebih menyukarkan proses untuk diurusniaga serta pembangunan tanah tersebut. Bahkan ianya mungkin tidak lagi praktikal untuk dibangunkan termasuklah untuk dibuat pecah bahagian. Isunya adalah berlaku ketidasetujuan diantara penama dalam perjanjian tersebut dan lebih menyukarkan keadaan jika ada yang tidak bersetuju untuk menjual bahagiannya. Akhirnya tanah tersebut terbiar begitu sahaja malahan lebih teruk lagi masing-masing buat tak tahu dan enggan bertanggungjawab.

1. Lantik seorang wakil kuasa (Power of Attorney – PA)

Lantik seorang wakil kuasa(PA) di kalangan penama tersebut yang boleh dipercayai yang akan dipertanggungjawabkan untuk menguruskan segala perkara berkaitan tanah tersebut.

Melalui cara ini semua penama akan tandatangan satu Surat Wakil Kuasa (PA) untuk memberi kuasa kepada wakil kuasa tadi untuk menguruskan urusan berkaitan tanah tersebut.

Pun begitu kuasa PA ini perlu diperhalusi dan dihadkan setakat mana yang perlu agar kuasa PA itu tidak terlalu luas sehingga menyebabkan beliau salah guna kuasa termasuklah memindahmilikkan tanah tersebut kepada dirinya sendiri.

2. Semua penama jual bahagian masing-masing

Semua penama jual bahagian masing-masing kepada seorang atau 2 orang penama yang berkemampuan serta banyak wang yang akan membeli bahagian- bahagian tanah tersebut.

Harga jualan sewajarnya mengikut harga pasaran semasa atau harga yang dipersetujui bersama.

Sekiranya PA telah ditandatangani, hanya penama yang membeli dan wakil kuasa sahaja yang akan tandatangan Perjanjian Jual Beli (SNP )dan Borang Pindah milik. Tak perlu lagi dapatkan tandatangan daripada semua penama. Pun begitu setiap penama wajar dimaklumkan sebelum proses jual beli dan pindah milik itu dilakukan.

Sewajarnya proses jual beli ini diuruskan melalui seorang peguam yang akan bertindak sebagai peguamcara urusan jual beli dan sebagai stakeholder untuk mengagih-ahihkan pembayaran harga jual beli kepada setiap penama mengikut bahagian masing-masing.

3. Tubuhkan koperasi atau syarikat anak beranak

Tubuhkan koperasi atau syarikat anak beranak di mana tanah tadi akan menjadi aset kepada syarikat atau koperasi tersebut.

Melalui cara ini setiap waris akan diberikan sijil saham mengikut bahagian masing-masing dan tanah tersebut akan dimajukan atau diusahakan dengan sesuatu aktiviti yang dapat menjana pendapatan kepada syarikat atau koperasi tersebut.

Setiap setahun sekali, hasil keuntungan perniagaan daripada tanah tersebut akan dibahagi-bahagikan kepada setiap penama mengikut bahagian saham masing-masing.

4. Majukan tanah tersebut sebagai projek perumahan

Boleh juga majukan tanah tersebut sebagai projek perumahan sama ada melalui syarikat atau koperasi adik beradik yang ditubuhkan tadi atau boleh Usaha sama (JV) dengan pemaju yang dipercayai.

Jika majukan sendiri, boleh serah balik tanah tadi kepada kerajaan dan mohon dikeluarkan geran individu yang berasingan dan seterusnya boleh bina rumah atas tanah-tanah tersebut untuk dijual.

Hasil jualan sama ada akan dibahagi-bahagikan mengikut bahagian masing-masing atau boleh dimasukkan sebagai pendapatan syarikat dan setiap penama akan dapat keuntungan setiap tahun hasil daripada pemajuan dan penjualan rumah tersebut.

Walaubagaimanapun, ini hanyalah sekadar cadangan sahaja. Ia mudah diperkatakan tetapi tidak mudah untuk dilaksanakan.

Perancangan yang teliti dan rapi serta sikap percaya satu sama lain dan saling jujur dan amanah di kalangan setiap penama dalam melaksanakan perancangan tersebut amatlah diperlukan.

Sifat ego dan tamak haruslah dibuang jauh-jauh. Jangan fikir untuk untung jangka masa pendek sahaja.

Yang penting, melalui cadangan ini masing-masing akan dapat keuntungan jangka masa panjang yang lebih besar dan berbaloi berbanding berbalah sesama sendiri  terhadap bahagian tanah yang sekangkang kera tersebut.

 

 

Published by
Amalina