Tanam PADI Dalam Pasu Pastikan Air Mencukupi & Guna Baja Kopi, 4 Bulan Dah Boleh Tuai!

Share

Tanam PADI Dalam Pasu Pastikan Air Mencukupi & Guna Baja Kopi, 4 Bulan Dah Boleh Tuai! Siapa sangka daripada berniat untuk menambah ilmu penanaman padi dalam pasu di laman rumah, selepas 4 bulan kini ia boleh dituai untuk kegunaan sendiri.

Hanya sekadar suka-suka, seorang suri rumah tidak menyangka percubaannya menanam padi di dalam pasu di laman rumahnya di Taman Lavender Height di sini berhasil.

Bermula dengan satu pasu sahaja, kini Siti Aai Shah Rahman Shah, 33, mempunyai 50 pasu pokok padi sawah dan sembilan pasu padi huma.Lebih menggembirakannya apabila padi tersebut kini sudah boleh dituai selepas empat bulan ditanam dan dalam proses untuk dijadikan beras.

Malah perkongsian Siti Aai Shah di aplikasi TikTok mengenai perjalanannya menjadi ‘pesawah moden’ turut menarik perhatian Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar yang berhasrat mempelajarinya.

Beli Benih Padi ‘Online’

Menurut ibu kepada lima cahaya mata itu, dia menanam padi bukannya untuk tujuan komersial sebaliknya sekadar mahu menambah ilmu.

“Lagi pun saya tengok di laman sosial, konsep tanaman padi di dalam pasu ini sudah biasa di Indonesia dan dari situ saya terfikir untuk mencubanya.

“Jadi saya beli benih padi di platform e-dagang dengan harga RM1 untuk satu pek 10 gram,” katanya.

Ujarnya, selepas empat hari menanam benih tersebut, dia teruja apabila melihat sudah ada pertumbuhan.

Tip Penanaman Padi Dalam Pasu

Katanya, apabila masuk hari ke-20 pokok padi sudah jelas kelihatan dan dari situ dia mendapati tanaman tersebut tidak terlalu sukar penjagaannya.

“Paling penting perlu pastikan sumber air mencukupi dan gunakan baja bersesuaian. Untuk baja, saya guna baja kopi dan ia nampaknya sesuai.

“Jadi sejak hari pertama tanam, saya akan buat catatan dan masuk 90 hari, ia dah mula menguning dan sekarang sudah boleh dituai,” katanya.

Ujar Siti Aai Shah, dia kini menunggu mesin padinya sampai bagi membolehkan padi yang telah dituai diproses menjadi beras.

Tambahnya, dia tidak menyangka ramai yang berminat untuk belajar cara penanaman padi dengannya termasuk Tunku Azizah selepas berkongsi di platform media sosial.

“Tujuan saya berkongsi tentang teknik penanaman padi dalam pasu adalah untuk membuka minda masyarakat yang usahakannya tidaklah sesukar mana, malah kosnya juga tidak tinggi.

“Manalah tahu ilmu ini boleh jadi keperluan pada masa akan datang,” katanya.

Pendapatan Sampingan Pokok Strawberi

Selain tanaman padi, bekas usahawan ini turut menanam pokok strawberi yang kini menjadi sumber pendapatan sampingannya apabila mendapat permintaan.

“Saya pun mula berkecimpung dalam tanaman ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan( PKP) bagi mengisi masa lapang dan sekarang ia dah jadi satu keseronokan untuk saya.

“Bila duduk membelek pokok-pokok ini pun dah jadi satu ‘healing’ buat saya,” katanya.

Mesti Baca:8 Petua Tanam Dan Lebatkan Hasil Cili Padi
Baca Lagi Di Sini:KOMPILASI TIP Semai 6 Jenis Tanaman, Boleh Jimat Belanja Dapur!
Artikel Menarik:Buat Sendiri BAJA ORGANIK ‘Power’ Guna Sisa Bahan Dapur, Suburkan Tanaman!

IMPIANA: Menarik sungguh, tak perlu laman dan tanah yang luas, tanam padi dalam pasu pun menjadi. Boleh dijadikan inspirasi untuk kegunaan sendiri.

Sumber: Hmetro, Sinar Harian

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Binti Abd Wahab