Laman

Tanaman Pisang Tanah Nampak Cantik, Tapi Beracun

Share

Pisang Tanah atau nama saintifiknya, Dieffenbachia spp. yang berasal dari Amerika Selatan ini sering menjadi pilihan sebagai tanaman hiasan. Tanaman yang mempunyai ciri-ciri batang lembut dan tidak bercabang berwarna hijau dengan daun bertompok kuning, putih, atau hijau mengikut jenis. Ketinggian tanaman ini mampu mencecah sehingga 3 meter. Ia dijadikan sebagai tanaman hiasan di sekitar rumah, pejabat, sekolah dan lain-lain kerana ia kelihatan cantik dan mudah dijaga. Namun, ramai yang masih tidak menyedari tanaman ini sebenarnya bertoksik dan mampu mendatangkan mudarat kepada kita terutamanya kanak-kanak.

Tanaman ini diklasifikasikan sebagai tumbuh-tumbuhan penyebab dermatitis oleh Pusat Racun Negara. Getah dari tanaman ini mampu menyebabkan keradangan di bahagian mulut, kulit, dan mata. Kesan daripada toksik dari tanaman ini juga mampu menyebabkan kesukaran untuk bernafas. Kesan apabila tergigit tanaman beracun ini akan menyebabkan lidah membengkak dengan serta merta menghalang pernafasan. Selain dari itu, toksik yang terhasil dari tanaman ini juga boleh mengakibatkan kanak-kanak menghadapi kesukaran untuk bercakap.

Jika anda tersentuh tanaman ini, pastikan anda membasuh bahagian badan dengan air dan sabun. Manakala jika anda tergigit atau tertelan tanaman ini, segera minum air atau susu supaya ia dapat melarutkan toksik dari tanaman ini. Pastikan anda mendapatkan rawatan dari klinik atau hospital berdekatan.

Walaubagaimanapun, ingatlah bahawa mencegah lebih baik dari merawat!

Published by
Impiana