Teknik Betul Membasuh Kain Langsir Dalam Mesin Basuh

Share

Bergantung kepada jenis material kain langsir tersebut sama ada ia boleh dibasuh dengan mesin basuh ataupun tidak. Sebagai contoh, material kain langsir yang lebih ringan adalah sesuai untuk pembasuhan di dalam mesin basuh manakala jenis material berat, tidak digalakkan. Berikut ialah teknik – tekniknya;

 

1. Jika mesin basuh anda dilengkapi dengan kitaran basuhan untuk fabrik lembut, pilih untuk menggunakan sistem itu. Jika sebaliknya, pilih penggunaan kitaran cool wash ataupun slow spin.

2. Tuangkan pencuci fabrik harian anda di dalam mesin basuh lebih kurang dua penutup.

3. Sekiranya kain langsir terlekat kotoran degil, sebelum membasuh dengan menggunakan mesin basuh rendamkan terlebih dahulu kain langsir lebih kurang 15  – 30 minit di dalam sebatian baking soda dan cuka putih. Kemudian bilaskan kain langsir dan masukkan ke dalam mesin basuh.

4. Jika anda bimbang kain langsir merenyuk, jangan ambil risiko membasuhnya dengan menggunakan mesin basuh. Lakukan dengan basuhan tangan sahaja.

5. Untuk mengekalkan langsir yang cantik dan bebas bau yang kurang menyenangkan, gunakan vakum ataupun berus lembut untuk menyingkirkan habuk dan kotoran. Serta semburkan dengan haruman fabrik.

 

10 TIP LANGSIR DARI IMPIANA

1.Sheer curtain anda menjadi kelabu? Jangan bimbang, rendam sahaja langsir anda dan biarkan semalaman. Kemudian basuh dan bilas seperti biasa. Jika keadaannya masih agak kekuningan disebabkan oleh kesan kimia cahaya matahari, tukarkan fungsinya kepada hiasan katil seperti kelambu atau pembahagi ruang. Paling penting dengan cucian sempurna ia bukan sahaja berbau wangi dan segar, malah bersih serta masih boleh dikitar semula.

 

2.Kucing anda semburkan ‘haruman’ pada langsir anda? Jangan panik! Anda boleh rendamkan bahagian yang terkena semburan kencing kucing anda itu sahaja atau memilih untuk merendamkan keseluruhan langsir. Sebelum merendamkannya ke dalam cecair cucian, sapukan bahagian yang terkena semburan kencing kucing anda dengan ubat gigi. Biarkan dalam sejam dua. Kemudian terus merendam ke dalam cecair pencuci agar bau kencing kucing hilang, malah tidak boleh dihidu oleh kucing anda.

 

3.Bagi langsir yang menggunakan kain tebal, anda boleh menggunakan bulu yam atau fabrik pembasmi habuk. Anda boleh lap debu atau habuk yang melekat pada langsir. Lakukan seminggu sekali terutamanya jika anda menetap di kawasan bandar. Manakala bucu langsir pula boleh disedut dengan menggunakan penyedut hampagas. Ada kalanya debu-debu seumpama inilah yang menjadikan fabrik nampak kotor dan kelabu terutamanya bagi anda yang memilih fabrik daripada jenis renda kasar.

 

4.Bagi yang menggunakan renda, anda juga boleh merendam seketika dengan air panas bersama serbuk pencuci agar rongga jalinan terbuka dan membebaskan kotoran pada celah-celah jalinan benang.

 

5.Awas! Jika anda menggunakan fabrik sheer halus yang eksklusif, pastikan anda menggunakan mesin basuh daripada cucian lembut supaya ia tidak merosakkan kain.

 

6.Pastikan anda hanya mencuci langsir sahaja di dalam satu bekas cucian terutamanya jika anda membasuh langsir yang berwarna gelap. Ini bagi mengelakkan warnanya tidak berbelak atau luntur .

 

7.Anak anda suka menepek gula-gula getah pada langsir? Tentu anda sakit hati bukan? Tenang ya! Anda boleh terus menggosok gula-gula getah tersebut dengan air batu sehingga keras. Kemudian anda boleh menariknya dengan mudah.

 

8.Jika langsir anda mempunyai tiga panel, anda boleh menukar bahagian panel yang anda mahu dan gantikannya dengan fabrik baharu yang bersesuaian terutamanya di bahagian bawah yang selalunya lebih kotor daripada bahagian atas.

 

9.Elakkan membasuh swag dengan mesin basuh terutamanya jika anda menggunakan swag daripada jenis satin polos. Ini boleh menjadikan juraian kain langsir anda berkedut dan amat payah untuk anda menggosokkannya nanti.

 

10.Bagi yang memilih langsir klasik, tali ikatan dengan tassel jangan dibasuh dengan menggunakan mesin basuh. Seandainya kotor, memadai dengan merendamkan tassel tersebut semalaman. Gunakan berus gigi terpakai untuk menyental lembut segala kekotoran jika perlu.

Published by
Impiana