Di kalangan penduduk tempatan, Port Dickson tidak perlu diperkenalkan lagi. Lebih dikenali sebagai PD, pesisir pantai berpasir yang dipenuhi dengan lambaian deretan pokok-pokok kelapa dan rhu merupakan sebuah destinasi percutian yang amat popular kerana lokasinya berdekatan dengan ibu kota, Kuala Lumpur. Destinasi ideal untuk mereka yang idamkan percutian damai dan tersembunyi di tepi pantai serta lari dari kesibukan harian.
Meneruskan kegemilangan resort ikonik yang tampil dengan keistimewaan tersendiri di bawah jenama Lexis, Lexis Hibiscus yang terletak di Pasir Panjang tampil dengan reka bentuk luar biasa dan berbeza. Dari konsep dijelmakan ke realiti, Lexis Hibiscus Port Dickson bermula dengan satu design concept, iaitu daripada bentuk putik bunga raya, mekar berkembang diterjemahkan menjadi vila air yang indah terapung di pesisir Pantai Pasir Panjang.
Keunikan vila air ini jika dilihat dari udara ianya menyerupai bentuk sekuntum bunga raya iaitu bunga kebangsaan Malaysia. Vila air yang menjangkau hampir satu kilometer dari pantai sehingga unit terakhirnya berada di atas laut, adalah satu-satunya resort di Malaysia yang mempunyai hamparan bilik-bilik penginapan membentuk sekuntum bunga kebanggaan negara.
Lexis Hibiscus ini juga mempunyai sebuah air pancut berukuran 100 meter panjang, merupakan landscape feature yang paling menarik untuk resort ini. Ia merupakan air pancut tertinggi di Malaysia, yang mana menjadi tarikan utama para penginap. Pada waktu siang, air pancut bertindak sebagai penyambut tetamu, membentuk latar belakang menarik menyerlahkan kedamaian air laut pantai Port Dickson. Menjelang malam pula, air pancut akan bertukar menjadi latar pemandangan indah, seakan-akan sebuah lukisan senja yang sempurna.
Pengalaman Terbaik Resort Ikonik
Kehadiran penulis ke Lexis Hibiscus baru-baru ini, antara pengalaman unik yang begitu menguja kerana bukan sahaja disajikan dengan keindahan reka bentuk resort, tetapi juga merasai sendiri servis terbaik bertaraf lima bintang. Proses daftar masuk begitu sempurna dan pantas sebelum dibawa ke bilik penginapan. Uniknya tentang Lexis Hibiscus ialah, selepas daftar masuk di bangunan utama, pengunjung akan dibawa menaiki buggy ke bilik penginapan masing-masing. Sambil penulis dihantar ke bilik, sempatlah menikmati pemandangan dan suasana laut yang begitu indah. Lupa seketika kesibukan tugasan harian apabila minda dan fizikal terbuai dengan tiupan angin laut.
Sebaik tiba, suasana bilik yang diberi sentuhan dekorasi moden serta luas sememangnya memukau dan menarik perhatian penulis. Paling utama setiap bilik dibahagikan kepada tiga segmen iaitu ruang tidur, bilik persalinan dan akhir sekali kolam renang dan sauna persendirian. Bilik yang cukup luas dan selesa untuk sebuah keluarga ini menjanjikan pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh penginap. Ini kerana setiap biliknya mempunyai kolam renang dan sauna persendirian malah anda sekeluarga boleh bermandi manda dengan bebas tanpa mengira waktu.
Keindahan Bilik Pukau Tarikan
Sentuhan resort kontemporari dan avant-garde ini, diberi sentuhan reka bentuk oleh sekumpulan pereka terkenal. Ia menggabungkan 639 buah vila dengan kolam renang yang meliputi 117 bilik di sebuah bangunan dan 522 unit vila di atas air. Setiap unit di Lexis Hibiscus adalah luas, dengan dekorasi dalaman yang menawan dan dilengkapi dengan kemudahan bersesuaian untuk tujuan berehat dan penginapan yang sempurna. Sesuatu yang dominan tentang vila-vila ini adalah kesemuanya disediakan dengan kolam renang dan sauna persendirian, menawarkan sentuhan kemewahan dan kemudahan yang tiada tolak banding.
Antara bilik-bilik yang terdapat di Lexis Hibiscus adalah Executi Pool Villa (108 unit) yang terletak ditempatkan di bahagian badan daun bunga raya. Kelebihan tentang unit ini ialah ia terletak berdekatan dengan bangunan utama. Oleh itu penginap boleh berjalan kaki tanpa perlu menaiki buggy untuk ke restoran dan lobi utama. Manakala Premium Pool Villa (292 unit) terletak di bahagian kelopak. Sky Pool Villa (114 unit) pula terletak di bangunan utama dan setiap biliknya menghadap ke Selat Melaka. Panorama Pool Villa (114 unit) pula mempunyai pandangan ke arah air pancut dan juga lebih privasi. Ia terletak di bahagian stigma bunga.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI