Biarpun sekadar kediaman berstatus homestay, konsep yang ditampilkan pemilik menerusi minatnya pada dunia muzik menjadikan ia begitu bergaya dan berkarakter. Dengan tema ‘the amazing black’ dan dekorasi moden minimalis sentuhan industrial, kediaman ini sesuai untuk anda si backpackers dan juga anak- anak muda yang bercita rasa santai.
INFO KEDIAMAN:
Nama Pemilik: Md Yuzeiry Bin Md Yasin
Jenis: Teres
Konsep: Industrial
Lokasi: Gong Bapak,
Kuala Terengganu
Keluasan:1200 kaki persegi
Spesifikasi: 3 bilik tidur, 2 bilik air, 1 dapur
Trend kediaman dijadikan tempat penginapan yang disewakan atau homestay tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Tidak ketinggalan juga bagi anak jati Terengganu yang senang disapa Yuzeiry, kini telah mempunyai beberapa buah homestay. Salah satunya Iza Homestay yang tampil dengan konsep berbeza daripada homestay biasa setelah melalui proses renovasi.
LANGGAR RULES
Bagaikan selari dengan konsep yang ditonjolkan di luar, pemilik turut menyerlahkan lagi dekorasi dengan elemen industrial di dalam ruang utama. Lantai yang dibiarkan tanpa jubin dilihat mendominasi ruang. Di tambah pula dengan rona hitam yang dipalitkan pada dinding juga siling. Kehadiran lampu pendant serta kabinet besi melengkapi lagi konsep tersebut.
Pada ruang ini menempatkan ruang makan yang dilengkapi set meja dan kerusi berwarna putih. Pilihan rona ini dilihat harmoni dengan latar berwarna gelap. Selain itu, sengaja pemilik mengaturnya secara memanjang agar ruang digunakan sebaik mungkin. Apa yang menarik, ia bukan sahaja bertindak sebagai meja makan tetapi juga untuk sebarang acara termasuk sambutan hari jadi dan jamuan family day.
Pada masa-masa tertentu, ruang utama ini dijadikan sebagai lokasi untuk fotografi.Di ruang tamu, mainan rona menyegarkan dan menceriakan lagi suasana. Pemilik menghidupkan ruang ini dengan padanan sofa dan stool berwarna hitam dengan throw pillow berwarna-warni. Motif yang sama dipilih untuk hamparan karpet. Dinding tidak dibiarkan kosong sebaliknya dipenuhi dengan gantungan poster, kesinambungan dari ruang makan.
IDENTITI TERSENDIRI
Menjengah ke ruang dapur bersaiz terhad, konsep dapur terbuka masih menonjolkan dekorasi industrial. Elemen besi pada rak penstoran dilengkapi utensil, pinggan mangkuk, juga stove dan peti ais. Pendek kata semuanya lengkap untuk anda memasak sendiri di sini. Kehadiran kabinet besi yang diletakkan bersebelahan ruang makan ini dihias menjadi ‘mini library’
. Meja yang digunakan sebagai tempat makan juga bertindak tempat membaca. #
Tip Dekorasi Oleh Yuzeiry Yasin
– Dekorasi kediaman biar lain daripada lain. Tampilkan sesuatu yang menarik perhatian apabila tetamu datang bertandang.
– Jika anda menjadikan kediaman sebagai homestay, kebersihan dan keperluan asas perlu diutamakan.
– Pilih perabot yang bersesuaian dengan saiz kediaman. Biarpun rekaan ringkas tetapi menarik dan berkualiti.