Siapa sangka tingkap jenis nako yang seringkali digunakan di rumah-rumah kampung suatu masa dulu boleh menghiasi kafe moden ini! Sekiranya anda pernah menjejakkan kaki ke galeri membeli-belah Publika, Kuala Lumpur, anda pasti pernah terlihat sebuah kafe berkonsep terbuka yang dikelilingi dengan tingkap-tingkap nako. Dari luar lagi, anda dapat melihat pengunjung-pengunjung kafe Ben’s yang sedang menikmati hidangan mereka dari celahan-celahan tingkap nako yang dibiarkan terbuka.

Saat menjejakkan kaki ke dalam, anda akan terdengar alunan lagu-lagu English klasik dimainkan sebelum terlihat ruangan kaunter bakeri dengan beraneka pilihan ‘dessert’, terasing dari ruang makan utama bagi memudahkan pengunjung yang ingin membawa pulang kek mahupun manisan lain. Ruangan hadapan itu juga terlihat kemas dengan penggunaan konsep industrial yang diserikan dengan tumbuh-tumbuhan hijau.

Ruangan makannya pula terbahagi kepada dua iaitu di dalam dan ruangan terbuka yang dihiasi dengan tingkap-tingkap nako. Sekiranya anda berkesempatan untuk memilih ruangan terbuka, jangan lepaskan peluang keemasan itu kerana tempat adalah terhad ketika waktu kemuncak.

Lihat sahaja betapa luas ruang makan ini dengan tingkap nako yang dibiarkan terbuka, memberikan pengudaraan dan pencahayaan semulajadi yang banyak tanpa perlu bergantung kepada penggunaan kipas dan lampu semata-mata. Bayangkan sekiranya tingkap-tingkap tersebut digantikan dengan dinding, tentunya ia akan menjadi sempit, gelap dan perlu bergantung kepada penghawa dingin dan lampu yang banyak.

Tertarik dengan tingkap yang digunakan, saya cuba melihat dengan lebih dekat dan terlihat trademark ‘Breezway’, satu brand tingkap yang agak familiar. Berbeza dari tingkap nako yang biasa, tingkap ini lebih mudah untuk digunakan dan terlihat sangat moden, bersesuaian dengan konsep kafe.

Sama seperti ruang hadapan tadi, penggunaan tumbuh-tumbuhan hijau berjaya memberikan sedikit kontra kepada konsep industrial yang banyaknya menggunakan warna putih, hitam, kelabu dan coklat yang sekiranya tidak digunakan dengan betul, boleh memberikan mood yang mendatar.

Konsep dekorasi kafe ini yang menggabungkan tema moden dan klasik sangat sesuai dengan sajian menu yang dihidangkan. Tidak hanya terbatas kepada makanan-makanan barat seperti aneka pasta, kafe ini juga turut menyediakan makanan tempatan seperti nasi lemak, kari laksa dan juga nasi kerabu

 

 

 

Secara keseluruhannya, kafe ini ‘menghidangkan’ satu pengalaman makan yang menenangkan dan berjaya memberikan inspirasi kepada pengunjung dengan konsep keterbukaannya yang ‘genius’. Kepada anda para-para penggemar kafe, mungkin Ben’s café ini boleh menjadi destinasi pilihan anda seterusnya?

Karya: Jay Ara

Karya penulisan dari followers IMPIANA cukup menarik lokasi dan artikel yang beliau kongsikan. Jika anda juga mempunyai bakat untuk menulis bolehlah hantar kepada IMPIANA.