Tip ‘awet’ kayu supaya tak mudah reput dan rosak walaupun terdedah hujan, panas. Selalunya masalah yang sering dialami ialah kayu yang digunakan untuk kerja-kerja DIY menjadi reput dan rosak.
Sebenarnya ada cara untuk mengatasi masalah ini. Seperti tip yang dikongsikan oleh Atama Aaeman ini, tiada lagi masalah kayu reput dan rosak. Jadi tidak perlulah kita kerap beli kayu baru bagi menggantikan kayu-kayu yang reput dan rosak.
PETUA MENGAWET KAYU
Ramai tukang suka menggunakan kayu untuk projek-projek DIY. Kayu memang cantik dan berseni semula jadi selain senang dibentuk, dicantum dan dikendali. Tetapi kayu lama kelamaan akan reput, rosak tekstur asal dan hilang kekuatannya terutama jika terdedah kepada faktor cuaca, kulat dan serangga.
Saya kongsikan di sini petua mengawet kayu supaya tahan lama yang diajarkan oleh bapa saya seorang tukang rumah, tukang kayu dan pernah terlibat dengan industri kayu balak di Sarawak selama berpuluh tahun.
Teknik rawatan kayu ini sangat ekonomik. Saya hanya gunakan campuran ubat gegat (naphthalene) dengan minyak diesel. Sediakan bahan dalam kuantiti sesuai dengan jumlah kayu yang hendak dirawat. Biasanya seliter diesel cukup untuk 1 meter padu kayu.
Saya gunakan sebungkus ubat gegat. Ubat gegat ditumbuk halus sehingga menjadi tepung dan dilarutkan di dalam minyak diesel. Gunakan topeng pernafasan yang sesuai semasa penyediaan dan proses merawat kayu sebab wap naphthalene ini bahaya jika disedut berlebihan.
Kayu yang hendak dirawat mestilah betul-betul kering. Campuran bahan tadi boleh disapu dengan berus atau penggelek cat, ataupun disembur ke atas kayu. Biarkan ia meresap ke dalam kayu dan keringkan. Jangan jemur terus di bawah matahari.
Setelah rawatan, kayu masih boleh diketam atau dilicinkan. Pastikan kayu sudah betul-betul kering dari kesan berminyak pada permukaan sebelum mengecat. Warna asal kayu tidak akan terjejas jika rawatan dibuat dengan betul. Kayu yang saya rawat dengan teknik ini terbukti tahan lama tanpa kesan kerosakan akibat cuaca, kulat mahupun serangga.
Bau ubat gegat akan kekal dalam isi kayu untuk tempoh bertahun-tahun walaupun kayu terdedah dengan cuaca panas dan lembap. Malah kalau naik ke atas syiling rumah saya yang rangkanya dibuat dengan kayu terawat ini kita akan hidu bau ubat gegat walaupun setelah lebih 5 tahun! Lipas, cicak, tikus dan serangga-serangga perosak memang tak berani dekat.
Gambar menunjukkan rak tempat isteri saya menanam bunga yang dibuat daripada kayu terawat dengan teknik ini. Selepas rawatan, kayu tersebut terbiar selama lebih empat tahun di atas tanah sebelum dikutip untuk dibuat rak bunga ini.
Semasa memotong, bau naphthalene masih kuat dan kayu masih kekal elok. Rak bunga ini sudah lebih setahun di situ tanpa dicat dan terdedah kepada cuaca di tepi pantai yang panas dan lembap, di atas tanah tanpa beralas.
Kredit: Atama Aaeman
Ingin kongsi idea dekorasi rumah anda? Klik link ini untuk join telegram grup Geng Dekor Impiana: https://t.me/gengdekorimpiana
Ingin lebih tahu pelbagai tip untuk dekorasi rumah? Jangan lupa ikuti kami di Telegram dan TikTok rasmi IMPIANA.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI