Dalam kita sedang sibuk menyediakan segala juadah untuk dihidangkan kepada tetamu, jangan kita lupa kepada keselamatan barangan dekorasi rumah yang telah kita sediakan sejak sebelum raya lagi.
Ini kerana dalam kesibukan kita melayan tetamu, pasti akan ada pelbagai kejadian yang tidak ingini berlaku seperti pasu hiasan pecah, langsir terkoyak serta jatuh dari bidai sebab ditarik dan pelbagai lagi.
Dalam isu ini, kita tidak seharusnya menuding jari kepada si pelaku kerana mungkin mereka masih kecil atau ianya berlaku secara tidak sengaja.
Jadi, IMPIANA menggariskan empat tip penting yang boleh dijadikan panduan dalam memastikan segala perkakas dekor anda berkeadaan baik walaupun dikunjungi oleh ramai tetamu.
1. Simpan segala peralatan dekor yang sememangnya cantik tetapi berisiko tinggi untuk rosak atau pecah seperti pinggan kaca, pasu bunga mini, lampu lantai dan pelbagai lagi. Tidak dapat kita bayangkan segala peralatan yang dibeli, pecah begitu sahaja.
2. Sebaiknya gunakan pinggan, cawan dan sudu plastik. Ini kerana anda bukan sahaja dapat menjimatkan tenaga mencuci, tetapi memudahkan kerja anda untuk mengemas sebaik sahaja majlis rumah terbuka selesai. Jika anda rasa pinggan mangkuk plastik putih kelihatan kurang menarik, kini terdapat banyak pinggan mangkuk pakai buang dengan pelbagai warna dan corak yang lebih menarik.
3. Hadkan akses dalam rumah semasa kehadiran tetamu, ini untuk mengelakkan perabot dalam kamar tidur anda turut menjadi public area. Cukup sahaja ruangan majlis anda di sekitar ruang tamu, balkoni (jika anda menetap di rumah kondominium atau apartment) dan kawasan hadapan rumah. Kalau boleh bahagian dapur juga harus dihadkan. Jika anda tidak bertindak sedemikian, jangan pelik kalau terjumpa bekas minuman tertumpah di atas tilam, sisa makanan di bawah katil dan pelbagai lagi perkara yang anda tidak ingin lihat selepas seharian penat melayani tetamu.
4. Bersihkan kediaman anda secepat mungkin sebaik sahaja majlis rumah terbuka selesai. Perkara ini amat penting kerana jika anda terlepas pandang, pasti segala spesies makhluk perosak hadir yang akan merayap mencari makanan pada waktu malam. Ianya bukan sahaja mengotorkan kediaman malah mengundang bahaya jika ada kes kencing tikus. Takut-takut merayap pula ke rumah jiran malah jiran juga terkena tempiasnya.
Sudah pasti anda tidak mahu hubungan akrab yang terjalin menjadi renggang. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik dari mengubati. Biar penat mencuci dari penat meminta maaf. Paling penting jaga lah kebersihan ketika menganjurkan majlis rumah terbuka.
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Sumber: TikTok@izyanwasabee