Tip Hias Kediaman Buat Si Peminat Warna Hijau, Jangan ‘Melebih-lebih’ Sampai Sakit Mata Memandang

Share

Tip Hias Kediaman Buat Si Peminat Warna Hijau, Jangan ‘Melebih-lebih’ Sampai Sakit Mata Memandang

Cuaca mungkin boleh berubah-ubah, tetapi warna hijau sentiasa menjadi salah satu pilihan popular apabila tiba masa untuk mendekorasi semula kediaman. Warna yang sinonim dengan alam semulajadi ini merupakan simbol pertumbuhan, keharmonian, kesegaran, dan kesuburan.

Dari sudut hiasan dalaman, warna hijau sentiasa boleh diguna pakai tidak kira apa gaya dan bajet anda. Bermacam pecahan warna hijau yang kita pernah dengari contohnya, hijau pucuk pisang, hijau zaitun serta hijau lumut.

Dengan pilihan yang luas ini anda hanya tinggal pilih mana satu yang sesuai dengan ruangan anda. Satu fakta menarik, mata manusia boleh membezakan warna hijau lebih banyak berbanding warna-warna yang lain. Hebat kan?

Walaupun begitu, janganlah terlalu ghairah menghias dengan warna hijau tanpa meletakkan sebarang limitasi kerana jika keterlaluan sakit juga mata nak melihatnya.

Berikut dikongsikan beberapa panduan jika anda berhajat untuk memilih rona hijau sebagai konsep latar kediaman.

MENGAPA PILIH WARNA HIJAU?

Hijau adalah warna yang paling sesuai untuk dibawa ‘masuk’ ke dalam rumah kerana ia adalah warna yang melambangkan keseimbangan dan keharmonian. Ia juga warna yang memberi tenaga dan menjanjikan pembaharuan. Untuk benar-benar menikmati kesan positif warna hijau ini pada interior anda, pilihlah warna hijau yang bersesuaian dengan mood yang ingin dikecapi.

RUANG TAMU

Cukup hanya dengan memfokuskan kesebuah perabot kerana dalam ruangan ini ia mampu menjadi tumpuan dan juga sebagai focal point ruang tamu. Biarkan dinding polos tetapi berkarakter bagi mendapatkan latar belakang yang sempurna. Lengkapkan gaya ruang tamu dengan memilih aksesori seperti pasu dan tumbuhan botani agar lebih menyerlah dan nyaman.

RUANG MAKAN

Langsir hijau digantung buat penambah seri ruang makan yang dipenuhi warna-warna neutral kayu. Tumbuhan hijau dalam vase kaca yang polos diletakkan diatas meja sebagai aksesori tambahan.

DAPUR

Dua rona hijau digabungkan pada kabinet dan dinding dapur. Aksesori dan kemasan putih buatkan dapur nampak lebih rapi serta menjamin kesegaran yang mampu bertahan seiring trend semasa.

Kabinet hijau dengan counter top putih amat sepadan digandingkan dengan pemegang berwarna emas. Selain itu karpet oriental vintaj dihamparkan memberikan lebih tekstur pada dapur anda.

BILIK TIDUR

Bilik tidur memerlukan aura yang menenangkan serta nyaman dan ia memang mudah untuk dicapai sekiranya anda mengambil kira penggunaan warna hijau. Kepala katil hijau baldu ini di neutral kan dengan meja sisi kayu dan pasu berbelang hitam putih.

BILIK MANDI

Umumnya, tandas atau bilik mandi adalah tempat yang terkecil dalam keseluruhan rumah. Jadi ia merupakan ruang yang paling sesuai buat anda yang ingin bereksperimentasi dengan warna. Warna hijau digabungkan dengan dinding bata merah dibiar kasar agar tampak jelas kontras antara dua permukaan.

Kredit foto (top image): Freepik

Ingin kongsi idea dekorasi rumah anda? Klik link ini untuk join telegram grup Geng Dekor Impiana: https://t.me/gengdekorimpiana

 

Ingin lebih tahu pelbagai tip untuk dekorasi rumah? Jangan lupa ikuti kami di Telegram dan TikTok rasmi IMPIANA.

 

 

 

Published by
Norhasliza Mohd Shafi