Tip Mudah Bersihkan Papan Pemotong Yang Dah Hitam, Tak Perlu Sental Pun!

Share

Fungsi papan pemotong di dapur memang tidak dapat disangkal lagi. Kepentingannya ibarat air dan udara buat manusia. Tetapi malangnya, jangka hayat bagi sesebuah papan pemotong tidak lama. Lebih-lebih lagi jika digunakan setiap hari, papan pemotong akan cepat kotor, tambahan pula ia juga mudah menjadi pusat perkumpulan dan pembiakan kuman!

Jadi bagi menjamin makanan yang disediakan untuk keluarga kita bersih dan selamat, adalah lebih baik jika kita mencuci papan pemotong dengan kerap. Tidak memadai hanya dicuci menggunakan sabun setiap kali selepas diguna, ahli kimia Dr Fatimah Salim

ada berkongsi cara mencucinya dengan lebih menyeluruh dan mendalam. Mari kita semak perkongsian bermanfaat ini.

 

CUCI PAPAN PEMOTONG TANPA SENTAL

Tahukah anda, papan pemotong merupakan alat penggunaan dapur yang paling kotor?! Jika tidak dibersihkan dengan betul dan kerap, ianya boleh menjadi ‘sarang’ kepada beribu jenis kuman.

Ada banyak petua dan cara membersihkan papan pemotong ini. Namun bergantung kepada tahap kekotoran, kadang-kadang ianya tidak berkesan perlukan lebih masa, usaha dan tenaga (menyental).

Di sini, saya kongsikan cara yang lebih mudah, cepat dan tanpa perlu menyental. Cara ini hanya sesuai untuk mereka yang berani, teliti dan cermat.

CARANYA:

• Lap dan keringkan permukaan yang perlu dibersihkan.
• Tuangkan cecair peluntur Clorox secara perlahan-lahan pada bahagian papan pemotong yang kotor. Pastikan seluruh permukaan yang mengandungi kotoran degil berjaya dibasahkan. Boleh gunakan sudu keluli tahan karat untuk ratakan.
• Tinggalkan selama 30 minit untuk tindakbalas yang optimun. Atau lebih lama bergantung kepada hasil yang diperolehi.
• Cuci dan rendam papan pemotong seketika sehingga BAU cecair peluntur hilang. Ini untuk memastikan tiada cecair peluntur yang tertinggal pada papan pemotong.
• Dan gunakan seperti biasa.

PERHATIAN:

1) Cecair peluntur Clorox mengandungi bahan kimia aktif natrium hipoklorit yang bersifat bes yang kuat, boleh merengsa/ menghakis kulit. Maka, berhati-hati semasa menggunakannya dalam keadaan pekat ini. Jika terkena kulit, segera basuh dengan air.

2) Bahan kimia dalam Clorox ini larut dalam air dan mudah meruap. Maka, dengan merendam seterusnya membasuh dengan air tidak akan meninggalkannya pada papan pemotong ini.

3) Sila tutup mulut dan hidung dengan kain atau topeng kerana cecair peluntur mudah meruap dan menghasilkan bau yang kuat. Ianya boleh menyebabkan komplikasi lain.

4) Pastikan aktiviti ini dibuat dalam ruang yang mempunyai pengudaraan yang baik contoh ruang terbuka atau ada tingkap.

Nota: Tidak perlu tuang banyak cecair peluntur ini. Cukup sekadar rata ke permukaan yang perlu dibersihkan. Jimat dan kurang bau yang tidak menyenangkan.

Published by
amalina