Perlancaran produk terbaru siri Japandi ini yang menggabungkan teknologi dan reka bentuk artistik dan elegan bakal mengukuhkan jenama Toshiba sebagai pengeluar peti sejuk terbaik di Malaysia
Toshiba melancarkan Peti Sejuk Japandi, salah satu produk terbaru di bawah rangkaian Japandi siri yang menekankan rekabentuk artistik dan minimalis. Inisiatif ini mencerminkan langkah perniagaan strategik Toshiba dalam memenuhi trend pasaran Malaysia yang semakin meningkat di samping memenuhi kriteria kehidupan rumah dengan gaya hidup yang lebih moden. Pelancaran Peti Sejuk Japandi ini juga sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan jenama itu sebagai pengeluar kelengkapan elektronik rumah terbaik di dalam industri ini.
Peti Sejuk Japandi yang baharu dilancarkan ini menampilkan konsep “Kesenian Keharmonian”, yang menggabungkan reka bentuk moden dan teknologi inovatif. Berkonsepkan minimalis dan ketelitian di dalam setiap butiran, gabungan minimalis dan artistik dengan gaya rekabentuk Jepun dan keanggunan Scandinavia ini juga memberikan sentuhan yang harmoni dan praktikal bagi semua jenis ruang dapur. Keunikan Peti Sejuk Japandi yang mengetengahkan rona-rona semulajadi seperti warna putih dan coklat juga terserlah dengan tekstur yang lembut dan pemegang kayu walnut yang tampil unik.
Produk ini juga amat sesuai bagi mereka yang ingin memudahkan rutin harian mereka dalam menyediakan makananan yang segar dan mengekalkan kesihatan yang baik di sebalik kesibukan mengendalikan urusan harian. Peti Sejuk Japandi ini juga sesuai bagi mereka yang ingin meningkatkan gaya hidup di rumah mereka.
Peti Sejuk Japandi ini menekankan reka bentuk SeamlessFit slot-in yang inovatif bagi membantu mengoptimumkan ruang dapur dan memberikan integrasi yang sempurna dalam gaya hidup moden. Di sebalik penampilan luarannya yang anggun, Peti Sejuk Japandi ini juga menggabungkan teknologi inovatif yang boleh mengekalkan makanan pada tahap kesegaran yang optimum.
Kelebihan rangkaian siri Japandi ini juga dilengkapi dengan OriginFresh, yang menawarkan teknologi pengawetan daging dan ikan selain Teknologi -1°C Pro Aging yang boleh memastikan bahan-bahan disimpan pada suhu yang ideal bagi meningkatkan rasa dan tekstur makanan.
Ads
Mod Soft-Freeze -3°C juga boleh mengekalkan bahan-bahan makanan dalam keadaan sederhana beku bagi mengekalkan tekstur dan kualiti makanan yang lebih tahan lama. Tambahan pula, fungsi Deep Freeze juga mampu membekukan makanan dengan kadar segera iaitu pada -30°C bagi mengunci kesegaran dan kualiti pemakanan.
Paling menarik, Peti Sejuk Japandi ini juga dilengkapi dengan teknologi HydroFresh yang boleh memastikan buah-buahan dan sayur-sayuran kekal berkhasiat dan segar, manakala sistem PureAIR mampu menghapuskan 99% bakteria, virus dan etilena, sekaligus menyediakan perlindungan bahan-bahan makanan sehingga 24 jam. Bukan itu sahaja, Peti Sejuk Japandi ini juga dilengkapi dengan 60-Minute Quick Ice Making yang kini terpantas di dalam industri bagi memudahkan rutin harian pengguna yang sibuk.
Ads
“Toshiba merupakan jenama yang paling diyakini pengguna di Malaysia. Jenama ini bukan sahaja membantu pengguna meningkatkan kualiti gaya hidup dan kelestarian, malah membantu meringankan beban mereka dalam menangani urusan harian di rumah disebalik kesibukan” kata Steven Yang, Pengarah Urusan Pemasaran dan Perkhidmatan Toshiba. Misi kami adalah untuk memperbaiki kehidupan sambil membina masa depan yang lebih mampan. Lebih satu dekad, Toshiba telah menumpukan kepada penyelidikan dan penyelesaian inovatif pada produk kami yang dipercayai boleh meningkatkan kualiti kehidupan harian pengguna. Kami berharap, legasi ini boleh diteruskan bagi memenuhi keperluan pasaran yang sentiasa berubah dan memperluaskan kehadiran jenama kami di rantau Asia dengan produk yang berkualiti dan praktikal untuk pengguna.”
Perlancaran Peti Sejuk Japandi ini juga menggambarkan evolusi terkini produk elektronik dan membuktikan komitmen berterusan Toshiba terhadap inovasi dan trend pasaran.
Selaras dengan slogan “Details Matter”, Toshiba amat menekankan konsep ketelitian dan kehalusan pada setiap ciptaan produk mereka. Peti Sejuk Japandi bukan sahaja direka secara teliti malah setiap butiran dan fungsinya juga diberi penekanan yang amat tinggi bagi menyempurnakan elemen estetika, moden dan praktikal.
Ads
“Peti Sejuk Japandi bukan sekadar mempunyai teknologi yang canggih tetapi juga merupakan satu produk yang berkaryakan seni. Selaras dengan konsep kesederhanaan dan keanggunan, setiap elemen peti sejuk ini direka bagi memberi keselesaan dan keharmonian di setiap rumah. Garisan yang kemas, minimalis dan tekstur yang halus menekankan bahawa setiap elemen di rumah juga boleh bertukar menjadi satu karya seni. Justeru, rekaan ini jelas mencerminkan peralihan ke arah mencipta ruang rumah yang bukan sahaja praktikal tetapi juga menonjol,” kata Lim Bo Qiang, seorang artis seni yang pernah memenangi anugerah berprestij dan juga seorang pereka dalaman terkemuka.
Chef Kuwa dari Jepun yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun mengendalikan bahan segar dan pakar dalam teknik memotong salmon berkata, “Saya tahu betapa pentingnya mengekalkan kesegaran bahan-bahan makanan. Justeru, Peti Sejuk Japandi yang dilengkapi dengan teknologi canggih ini amat sesuai bagi memastikan makanan yang disimpan kekal segar dan berkualiti. Bagi sesiapa yang mementingkan kesegaran dan kualiti pemakanan, peti sejuk ini memang ideal untuk mengekalkan kesegaran dan tekstur makanan,” kata Chef Kuwa.
Peti Sejuk Japandi ini diperkenalkan dalam dua variasi: model 585L Multi-Door GR-RF695WI-PGY (67) berharga RM12,429 dan model 580L Multi-Door GR-RF690WI-PGY (67) berharga RM12,859. Kedua-dua model ini boleh didapati di kedai elektronik dan perkakas rumah terkemuka di seluruh Malaysia. Untuk maklumat lanjut, sila layari website Toshiba.
Mesti ramai yang sudah berasa teruja untuk memulakan perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi. Namun begitu, anda juga dinasihatkan untuk berhati-hati dalam berseronok.
Bukan apa, khuatir nanti jika sudah sampai di kampung baru teringat rumah tak dikunci rapi. Nanti mula lah rasa tak senang duduk beraya apabila kediaman yang ditinggalkan berada dalam keadaan yang tidak selamat.
Jadi, pastikan sebelum anda memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman, pastikan anda telah lakukan 10 perkara ni:
1) Pastikan pintu dan tingkap rumah telah ditutup dan dikunci dengan baik supaya tidak mudah dipecah atau diumpil oleh penjenayah.
2) Pastikan alat keselamatan tambahan seperti rantai dengan ibu kunci (padlock) dipasang di tempat yang dianggap mudah dipecah masuk seperti pintu pagar hadapan dan belakang, pintu besi (grill) hadapan dan belakang rumah. Alat tersebut harus dipasang sebelum meninggalkan rumah.
3) Jika ada “auto timer” lampu. Pastikan lampu di sekeliling rumah (depan/belakang) dipasang mulai jam 6.00 petang hingga 7.00 pagi setiap hari.
4) Pastikan alat penggera dipasang dan berfungsi dengan baik jika ada.
5) Jangan biarkan binatang peliharaan kebuluran semasa bercuti.
6) Maklumkan kepada jiran yang tidak pulang ke kampung dan berikan nombor telefon yang mudah dihubungi dalam jangka masa semasa ketiadaan di rumah.
7) Pastikan tiada barangan kemas seperti emas, wang tunai, barang berharga dan sebagainya di dalam rumah atau disimpan di tempat yang selamat.
8) Hentikan langganan suratkhabar bagi mengelakkan penjenayah mengetahui rumah ditinggalkan kosong.
9) Meminta pertolongan jiran untuk menyimpan surat kiriman yang diletakkan di dalam peti surat atau pintu pagar dalam jangka masa ketiadaan di rumah.
10) Maklumkan kepada pegawai atau anggota bertugas di bilik gerakan polis apabila bercuti dengan menghubungi nombor telefon ibu pejabat polis berdekatan dengan tempat tinggal dan berikan maklumat seperti Nama, Alamat, Nombor telefon yang mudah dihubungi, Tarikh berlepas dan balik juga nombor dan jenis kenderaan yang ditinggalkan semasa cuti.
Ingin lebih tahu pelbagai tips untuk dekorasi rumah? Jangan lupa ikuti kami di Telegram dan TikTok rasmi IMPIANA.
Amouage telah melancarkan ‘Truly’, tambahan terbaru rangkaian produk lilin dan semburan bilik yang menjadi haruman terbaharu “Midnight Flower Collection” (Koleksi Mekar Malam). Dicipta oleh Pengarah Kreatif Amouage, Christopher Chong pada tahun 2013, Koleksi Mekar Malam yang turut termasuk rangkaian ‘Hope’, ‘Love’, ‘Happy’, ‘Smile’, ‘Joy’, ‘Sassy’ dan ‘Peace’, meraikan saat-saat kebahagiaan yang diluangkan bersama orang tersayang.
Membara dengan sifat kehangatan dan romantis, haruman ini diilhamkan oleh masa yang diluangkan di kawasan luar bandar pada hujung minggu. Dengan haruman bunga-bungaan, ‘Truly’ membuka dengan haruman Lili. Haruman utama dibentuk oleh campuran resin Benzoin dengan Cengkih untuk mencerminkan kenyamanan dan kehangatan sesebuah perapian rumah. Haruman dasar Cendana pula membawa pesona dan kehangatan hutan yang diterangi mentari ke dalam ruangan rumah.
“Saya ingin mencipta momen yang mencerminkan pengarang Jane Austen. ‘Truly’ adalah haruman seseorang wanita yang mempesonakan namun cekap mencukupi diri sendiri dalam mengarang cerita hidupnya. Diilhamkan oleh genre sastera abad ke-19 yang sarat dengan kelembutan dan keterangsangan, saya mencipta haruman rumah ini untuk menyorot saat-saat seseorang wanita yang berlembut hati duduk menyebelahi perapian rumah sementara terpsesona membaca cerita,” jelas Christopher Chong.
Lilin ‘Truly’, yang dipersembahkan dalam bekas kaca Itali merah karang berhiaskan tulisan keemasan dan putih, dirumuskan dengan lilin mineral terbaik untuk menyebarkan haruman paling kuat dan boleh menyala sehingga 40 jam. Semburan bilik pula diadun untuk menghasilkan keberkesanan maksimum dan sentuhan kemewahan di setiap bilik yang kekal selama berjam-jam.
Rangkaian produk lilin dan semburan bilik Koleksi Mekar Malam boleh diperoleh dari kedai Amouage di Muscat, Dubai, Abu Dhabi, Al Ain, Manama, Jeddah, Kuwait City, Doha, Kuala Lumpur, London, Milan dan Rome.
Sentuhan Midas penuh kemewahan dan elegant untuk kediaman anda. Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
‘Hartanah Overhang’ cukup membimbangkan, banyak rumah dan unit kediaman yang dah siap dibina bawah RM300,000 namun tak dapat terjual! Satu demi satu kondominium baharu menjulang tinggi dan pembangunan komuniti berpagar baharu dibuka, namun kebanyakannya sepi tidak berpenghuni.
Memetik laporan Astro Awani, fenomena hartanah kediaman overhang atau unsold (tidak terjual) telah menyorot perhatian kepada jalinan rumit faktor ekonomi, sosial dan pasaran yang membentuk sektor perumahan negara.
Ia juga menimbulkan persoalan penting: mengapa begitu banyak unit kediaman yang sudah siap dibina ini dan sedia untuk diduduki tidak terjual, sedangkan begitu ramai rakyat Malaysia yang mendambakan kediaman milik sendiri?
Overhang Atau Unsold, Apa Bezanya?
Istilah hartanah overhang dan unsold sering digunakan secara silih berganti, sedangkan maksudnya tidak sama.
Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menyifatkan hartanah overhang sebagai siap dibina dan sedia untuk digunakan, namun tidak terjual melebihi tempoh sembilan bulan selepas tarikh pelancaran.
Hartanah unsold pula terbahagi kepada dua, bergantung kepada tahap pembinaanya.
Kategori Unsold (Not Constructed) ialah hartanah yang belum dibina dan belum terjual melebihi tempoh sembilan bulan selepas tarikh pelancaran.
Manakala kategori Unsold (Under Construction) pula ialah hartanah yang dalam pembinaan tetapi belum terjual melebihi tempoh sembilan bulan selepas tarikh pelancaran.
Lanskap Semasa
Laporan terkini NAPIC pada tahun 2022 mendedahkan bahawa Malaysia mencatatkan 27,746 unit kediaman overhang pada tahun tersebut, dengan nilai keseluruhan RM18.41 bilion.
Ini peningkatan ketara berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya, baik dari segi jumlah mahupun nilai.Terdapat penurunan unit overhang dari tahun 2018 hingga 2020 (32,313 unit ke 29,565 unit) sebelum peningkatan yang ketara pada tahun 2021 (36,863 unit).
Trend ini juga dilihat dalam nilai keseluruhan unit overhang. Nilai overhang telah berkurang daripada RM19.86 bilion pada tahun 2018 ke RM18.92 bilion pada tahun 2020.
Bagaimanapun, ia meningkat semula pada tahun 2021 ke RM22.79 bilion. Namun, pada separuh pertama (H1) tahun 2023, sebanyak 26,286 unit perumahan berada dalam keadaan overhang, dengan nilai keseluruhan RM18.3 bilion.
Trend hampir serupa diperhatikan dalam jumlah unit belum terjual dari 2018 hingga H1 2023.
Pada 2018, terdapat sebanyak 80,984 unit perumahan bawah kategori Belum Terjual (Dalam Pembinaan). Jumlah ini berkurangan ke 54,844 pada H1 2023.
Bagi yang di bawah kategori Belum Terjual (Belum Dibina) pula, jumlahnya menyusut dari 19,865 unit pada 2018 kepada 7,927 unit pada H1 2023.
Sesuatu yang menarik perhatian ialah sebahagian besar daripada jumlah unit perumahan tidak terjual sepanjang tempoh itu semuanya bernilai bawah RM300k.
Faktor Penyumbang
Ada pelbagai faktor yang menyumbang kepada isu berpanjangan hartanah tidak terjual di Malaysia, kata Prof Madya Dr Hassanudin Mohd Thas Thaker, Pensyarah di Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
“Ini termasuk ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan, kenaikan kos bahan mentah pembinaan dan lokasi projek pembangunan itu,” katanya.
Umum mengetahui lokasi memainkan peranan utama dalam pasaran hartanah. Ia faktor utama menentukan sama ada sesuatu unit hartanah itu berjaya dijual atau terbiar tanpa pembeli.
Lokasi tengah atau pinggir bandar dengan kesalinghubungan pengangkutan yang baik biasanya akan mendapat permintaan tinggi, manakala hartanah di lokasi terpencil atau kurang menarik mungkin menghadapi kesukaran menarik pembeli.
Punca utama begitu banyak unit perumahan tidak terjual – terutamanya yang berharga RM300,000 ke bawah – mungkin kerana lokasi yang kurang strategik, kata Hassanudin.
“Lokasi yang strategik amat penting dalam menarik pembeli. Ramai lebih suka tinggal berdekatan dengan pusat bandar kerana mendapat akses mudah kepada kemudahan yang diperlukan dalam kehidupan harian.
“Apabila projek perumahan mampu milik dibina jauh dari pusat bandar tanpa kesalinghubungan awam yang baik, penjualan rumah akan menjadi mencabar kerana gagal memenuhi keperluan pembeli. Ini menyebabkan unit-unit perumahan tersebut tidak terjual bagi tempoh yang lama,” jelasnya.
Prof Madya Dr Hassanudin Mohd Thas Thaker, Pensyarah di Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Kepentingan Lokasi
Beberapa kajian terkini tentang faktor yang mempengaruhi rakyat Malaysia dalam pemilihan kediaman turut menegaskan kepentingan lokasi.
Satu kajian yang melibatkan 312 peserta telah meneliti faktor yang mempengaruhi pembelian hartanah kediaman di Selangor. Lokasi sekali lagi dikenal pasti sebagai faktor penentu dalam membuat keputusan. Pada 2021 pula, satu kajian mengenai kecenderungan generasi muda dalam pemilihan tempat kediaman dijalankan di Shah Alam, Selangor, melibatkan 174 peserta.
Lokasi terletak di kedudukan ketiga daripada lima faktor yang diambil kira. Dalam kajian ini, faktor kewangan merupakan penentu utama, diikuti faktor kejiranan.
Dapatan kajian juga menunjukkan 72.6 peratus peserta lebih cenderung untuk tinggal di bandar manakala 14.23 peratus lebih suka tinggal di pinggir bandar. Baki 13.17 peratus memilih untuk tinggal di pedalaman.
Keseimbangan bekalan dan permintaan sentiasa berubah dalam pasaran hartanah Malaysia. Apa yang ditawarkan pemaju kadangkala tidak menepati kehendak pembeli.
“Di Malaysia masalahnya ialah jumlah unit perumahan yang ditawarkan jauh lebih banyak daripada permintaan,” kata Hassanudin.
Data perumahan NAPIC pada 2022 menunjukkan negeri dengan jumlah perumahan overhang tertinggi sepanjang tahun itu ialah Johor (5,258 unit), Selangor (3,698), Penang (3,593) and Kuala Lumpur (3,429).
Hassanudin berkata, situasi sedemikian merupakan contoh bagaimana naik turun jumlah bekalan dan permintaan hartanah saling menyumbang kepada hartanah kediaman overhang.
“Negeri-negeri ini sedang mengalami pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang pesat. Ini menyumbang kepada ledakan pembangunan hartanah, termasuk perumahan.
“Pasaran perumahan di kawasan-kawasan ini bertambah kompetitif bagi pemaju tempatan. Mereka terpaksa bersaing dengan pemaju asing dan ini mungkin mendorong mereka mengambil strategi agresif.
“Ini boleh mengakibatkan lambakan unit perumahan yang baru dibina, melampaui jumlah permintaan sebenar di kawasan tersebut,” katanya.
Kos Bahan Mentah
Bahan binaan merupakan asas kepada pasaran hartanah Malaysia. Apa jua perubahan kepada kos bahan mentah untuk pembinaan akan mengakibatkan kesan berlanjutan kepada seluruh lanskap hartanah.
Apabila kos pembinaan meningkat, pemaju mungkin perlu melaraskan harga. Ini boleh menjejaskan tahap kemampuan rakyat dan prestasi pasaran hartanah.
Dalam satu laporan Bernama awal tahun ini, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Datuk N. K. Tong berkongsi tentang tindakan yang biasanya diambil pemaju apabila berlaku peningkatan kos bahan binaan.
“Pemaju tiada pilihan selain meningkatkan harga hartanah (purata pertumbuhan dua angka) atau mengurangkan margin keuntungan mereka,” kata Tong selepas menyampaikan dapatan Tinjauan Industri Hartanah REHDA 2H 2022 dan Prospek Pasaran untuk 2023.
Tinjauan itu melibatkan 136 ahli REHDA di Semenanjung Malaysia.
Seramai 68 peratus daripada responden turut menjangkakan kos bahan binaan terus meningkat sekurang-kurangnya selama 12 bulan lagi sebelum stabil.
Pada September 2023, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengenai ‘Indeks Kos Bahan Binaan’ menunjukkan harga purata seunit besi RM3,620.05 bagi setiap tan metrik pada Ogos 2023.
Ini penurunan 0.1 peratus berbanding bulan sebelumnya, apabila ia dijual pada RM3,622.85 bagi setiap tan metrik.
Sementara itu, harga purata simen meningkat 0.2 peratus antara Julai 2023 (RM22.84 bagi setiap 50kg) dan Ogos 2023 (RM22.89/50 kg).
Meneliti Penyelesaian
Menjadi impian setiap rakyat Malaysia untuk memiliki rumah sendiri. Namun, impian ini sukar dicapai tanpa tindakan kerajaan dalam memastikan harga rumah dalam jangkauan mereka.
Kerajaan persekutuan telah mewujudkan beberapa insentif seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan, Program Rumah Mesra Rakyat, dan Rumah Selangorku di bawah kerajaan negeri Selangor.
Dalam semakan semula Bajet 2023 yang dibentangkan di Parlimen awal tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengumumkan usaha kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan asas termasuk perumahan.
Bagi menggalakkan pemilikan rumah, Anwar menyatakan bahawa kerajaan akan meneruskan pengecualian duti setem bagi pemilikan rumah pertama dengan pengecualian sepenuhnya bagi rumah bernilai RM500,000 ke bawah.
Selain itu, pengecualian sebanyak 75 peratus diberikan bagi rumah bernilai lebih RM500,000 hingga RM1 juta.
Pada pembentangan Bajet 2024 pula, Anwar mengesahkan komitmen kerajaan MADANI untuk memperbaiki isu berkaitan perumahan di Malaysia.
Hampir RM2.47 bilion akan diperuntukkan bagi projek perumahan pada 2024. Ini termasuk RM546 juta untuk memastikan 36 Program Perumahan Rakyat (PPR) diteruskan dengan 15 lagi dijangka siap pada tahun hadapan. Sejumlah RM358 juta juga diperuntukkan bagi 14 projek di bawah program Rumah Mesra Rakyat.
Terdapat juga pertambahan peruntukan bagi skim SKJP, dengan hampir RM10 bilion diperuntukkan untuk manfaat 40,000 peminjam.
Anwar juga mengumumkan pengambilalihan projek Bandar Malaysia oleh kerajaan sambil memastikan pembangunan yang dijalankan sejajar dengan nilai-nilai kerajaan MADANI. Antara projek yang dirancang ialah projek perumahan mampu milik untuk veteran dan penyediaan taman-taman serta ruang hijau bagi penduduk Lembah Klang.
Untuk mengawal harga harta tanah, kerajaan merancang mengenakan duti setem pada kadar rata empat peratus ke atas surat cara pindah milik harta tanah oleh individu bukan warganegara dan syarikat milik asing, kecuali individu pemastautin tetap di Malaysia.
Hassanudin yakin inisiatif sedemikian dapat membantu mengurangkan jumlah kediaman tidak terjual, di samping membantu golongan berpendapatan rendah dan pertengahan merealisasikan impian memiliki rumah.
“Pemaju dan pihak berkepentingan juga perlu mempertimbangkan penggunaan bahan mentah tempatan untuk pembangunan projek perumahan. Selain itu, mereka juga perlu memperbaiki strategi kewangan mereka menggunakan teknik pengurusan risiko hartanah yang betul.
“Ini agar projek perumahan dapat disiapkan tepat pada masanya. Keterbukaan terhadap gaya pembinaan yang pelbagai dan kerjasama antara kerajaan dan syarikat swasta untuk projek perumahan berpatutan juga dialu-alukan,” katanya.
Hassanudin juga menasihati bakal pembeli dan pelabur agar berhati-hati ketika membuat keputusan dalam situasi lambakan unit perumahan tidak terjual.
“Mereka perlu menilai dengan berhati-hati semua aspek projek pembangunan termasuk pemeriksaan latar belakang dalam industri hartanah semasa, profil pemaju selain memahami kitaran ekonomi.
“Ini akan membantu mereka membuat keputusan yang lebih bijak mengenai masa yang sesuai untuk membeli atau melabur dalam pasaran perumahan,” katanya.
Hassanudin berkata bahawa Malaysia boleh melihat kepada kaedah yang digunakan oleh negara-negara jiran yang telah berjaya mengatasi cabaran serupa melalui pelaksanaan dasar dan strategi perumahan yang baik.
Lembaga itu ditubuhkan pada tahun 1960 sebagai tindak balas kepada krisis perumahan yang dihadapi Singapura ketika itu. Pada masa itu, ramai warganegaranya hidup dalam kawasan dan perkampungan setinggan yang sesak, dengan hanya sembilan peratus penduduk Singapura tinggal di flat kerajaan.
“Apa yang kita boleh pelajari ialah kepentingan mengkaji semula dasar secara berterusan, selain menambah baik projek perumahan agar memenuhi keperluan rakyat dengan pendapatan berbeza.
“Selain itu, tindakan mengimbangi gaji dan kos sara hidup serta menyediakan potongan gaji khas untuk pembeli rumah pertama mungkin dapat membantu mengatasi permasalahan ini,” kata Hassanudin.
– BERNAMA
Mesti Baca: Ubahsuai Tanpa Kebenaran, Premis BILIK SEWA ‘Sangkar Burung’ Diarah Roboh!
IMPIANA: Harga rumah yang terlalu tinggi dan sangat tak mampu milik serta kos sara hidup yang semakin meningkat tak setimpal dengan pendapatan yang diperolehi menyebabkan memiliki kediaman sendiri kini hanya tinggal impian.
Tiada yang lebih bermakna apabila dapat membahagiakan kedua orang tua pada bila-bila masa. Baru-baru ini, penyanyi, komposer dan penulis lirik Lah Ahmad,45 atau nama sebenarnya Abdullah bin Ahmad ada berkongsi video pendek reaksi ibu tersayang yang terharu dan gembira apabila dihadiahkan peti sejuk baru oleh anak-anak.