
Tragedi Putra Heights: SPNB Bina Semula 81 Rumah Musnah Sepenuhnya. Berita baik buat pemilik kediaman yang terjejas, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan membina semula 81 kediaman yang musnah sepenuhnya dalam insiden kebakaran dan letupan saluran paip gas di Putra Heights dengan kos dibiayai oleh kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Mohd Jamil Idris, berkata daripada jumlah itu, sejumlah 48 unit membabitkan kediaman di Taman Putra Harmoni, manakala 33 lagi di Kampung Kuala Sungai Baru.
Persetujuan Pemilik Rumah
Namun demikian, pertemuan akan diadakan dengan pemilik rumah bagi mendapatkan persetujuan terlebih dulu.
Pembinaan semula itu dilaksanakan menerusi Pelan Tindakan Pemulihan dan Pembinaan Semula yang diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Bagaimanapun, katanya, model kediaman yang akan dibina masih belum dimuktamadkan.
“Apabila kajian penuh SPNB dikeluarkan minggu depan, sebelum pelaksanaan dimulakan, kami akan berjumpa dengan pemilik rumah atau tuan tanah terlebih dahulu.
“Pertemuan itu bagi mendapatkan persetujuan mereka (penduduk dan pemilik rumah), sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan cadangan pembinaan semula itu,” katanya.
Setakat ini, tiga mesyuarat pengurusan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta agensi terlibat telah diadakan, selain beberapa siri lawatan ke lokasi dan beberapa kontraktor akan dibawa ke tapak kejadian untuk mengemukakan pandangan dan cadangan.
Sumbangan Bantuan Tunai
Sementara itu, terdahulu sebanyak RM1.4 juta bantuan awal oleh kerajaan dan Petronas diserahkan kepada 219 mangsa tragedi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights
Pemilik rumah yang musnah sepenuhnya bakal terima bantuan tunai RM10,000 dan separa musnah dapat RM5,000.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah sumbangan untuk rumah yang musnah sepenuhnya adalah sebanyak RM5,000 dari Petronas yang dikawal selia sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan RM5,000 daripada Kerajaan Persekutuan.
“Ini bermakna pemilik rumah yang musnah sepenuhnya akan menerima RM10,000, manakala rumah yang terkesan dan juga penyewa akan menerima RM2,500 daripada Petronas dan RM2,500 oleh Kerajaan Persekutuan, menjadikan mereka akan dapat sebanyak RM5,000.
Pemeriksaan 437 Rumah
Dalam pada itu katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sudah melakukan pemeriksaan dan siasatan terhadap 437 rumah yang dikenal pasti sebagai angka muktamad oleh pasukan teknikal.
“Kita letakkan rumah-rumah ini dalam tiga kategori iaitu musnah sepenuhnya dengan kebakaran struktur melebihi 40 peratus, separa musnah kebakaran struktur kurang 40 peratus dan terkesan tetapi tidak terbakar.
“Maknanya dari keseluruhan itu, bagi kategori pertama sebanyak 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya, 81 rumah ditakrifkan sebagai separa musnah dan 57 terbakar tetapi tidak mengalami kebakaran kepada struktur. Baki sebanyak 218 rumah diperiksa didapati tidak terjejas.
“Dan sehingga hari ini, sebanyak 151 rumah disahkan selamat dan pemilik rumah ini dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing…mungkin ada kerosakan kecil yang harus ditanggung, perlu dilaksanakan pembaikan.
“Mesyuarat hari ini memuktamadkan senarai mangsa yang diperoleh sehingga 6 petang semalam, sebanyak 613 isi rumah didaftarkan dengan PPS daripada keseluruhan 437 rumah termasuk yang disewakan bilik,”katanya.
Bantuan-Bantuan Lain
Selain wang tunai, banyak syarikat korporat yang tampil menyalurkan bantuan dan sumbangan dalam pelbagai bentuk bagi mengurangkan beban yang ditanggung mangsa terlibat.
1. Rebat Satu Bulan Bil Air
Pelanggan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang terjejas dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lepas, akan dikecualikan bayaran bil air bagi bulan Mac.
Air Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan rebat sebanyak 100 peratus untuk satu bulan secara one-off itu diberikan bagi membantu meringankan beban pelanggan terlibat.
Selain itu, syarikat utiliti itu turut menyediakan beberapa bantuan lain seperti tidak mengenakan caj bagi penyambungan semula bekalan air untuk rumah yang mengalami gangguan air akibat kebakaran tersebut.
2. Syarikat Korporat Sumbang Wang Tunai RM3,000 kepada 400 Keluarga
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Berjaya Corporation Berhad (BCORP) menyumbangkan RM3,000 kepada 300 keluarga, manakala Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) yang berpengkalan di Negeri Sembilan menyalurkan jumlah sama kepada 100 keluarga.
3. Kereta Percuma Kegunaan Sebulan
Lebih 200 kenderaan sementara ditawarkan oleh beberapa syarikat automotif untuk membantu mangsa memerlukan antarany Chery sebanyak 50 kereta, Carro (30), YonMing (62), Tan Chong Motor Holdings Bhd dan Warisan TC Holdings Bhd (30), GoCar (20), DRB-Hicom (62) dan Carsome (50) bagi kegunaan mangsa terlibat untuk tempoh satu bulan secara percuma. Ia juga bagi memudahkan mangsa untuk menjalankan urusan harian mereka.
4. RM500 Baucar Pembelian Kelengkapan Rumah Panasonic
Panasonic Malaysia akan turut membantu mangsa insiden melalui pemberian baucar pembelian barangan elektrik dan kelengkapan rumah. Panasonic menawarkan sebanyak 240 e-baucar bernilai RM500 setiap satu, bagi membantu mangsa untuk membeli kelengkapan rumah jenama Panasonic.
Permohonan e-baucar menerusi Goole Form dan baucar akan dihantar terus ke e-mel pemohon yang berjaya.
Mesti Baca: Bahaya ‘Dryer’ Tanpa Pengawasan, Wanita Ini Kongsi Tragedi Rumah Terbakar
Baca Lagi Di Sini: Rumah Paris Hilton Hangus Akibat Kebakaran Hutan
IMPIANA: Semoga dipermudahkan urusan setiap mangsa dan pemilik kediaman yang terjejas akibat letupan saluran paip gas di Putra Heights ini. Semoga dengan setiap bantuan yang diberikan dan meringankan sedikit bebanan dalam musibah ini.
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI