Unit Kondominium Mewah MONT KIARA Rosak Teruk Dinding Berkulat, Pemilik Kediaman Menang Saman RM500,000. Sepasang suami isteri warga Singapura-Amerika yang berharap untuk memulakan kehidupan tenang di bawah program Malaysia My Second Home (MM2H) kecewa selepas membeli sebuah kondominium bernilai RM2.66 juta di Mont Kiara.
Rasa kecewa berlaku selepas mendapati unit mereka di Kondominium Agile Mont Kiara didapati tidak boleh didiami akibat kerosakan teruk, termasuk kebocoran, dinding retak, dan jangkitan kulat sejak tahun 2021, petik New Straits Times.
Pemilik Saman Pemaju
Pasangan tersebut, Ho Yui Luen dan Ho Shuang Li (plaintif), kemudiannya menyaman pemaju Agile PJD Development Sdn Bhd (defendan) selepas menanggung lebih empat tahun tekanan, penginapan di hotel, bayaran storan, dan kerja-kerja pembaikan kerosakan yang tidak berkesudahan.
Menurut dokumen mahkamah, plaintif telah menjalankan pemeriksaan ke atas unit tersebut sejurus selepas menerima kunci pada 4 Februari 2021, dan mendapati hartanah itu dipenuhi dengan kerosakan teruk yang menjadikannya tidak sesuai untuk didiami.
Antara masalah yang dikenal pasti termasuk kebocoran air, keretakan pada dinding struktur, kemasan yang tidak siap akibat mutu kerja yang rendah, serta kemasan kalis air yang tidak mencukupi.
Plaintif memutuskan untuk berpindah masuk pada 6 November 2021 selepas defendan menjalankan beberapa pusingan kerja pembaikan di bahagian bumbung, termasuk kerja menebuk, menyimen, memasang membran torch-on, dan menurap semula lantai.
Gambar Hiasan
Kerosakan Rumah Berulang
Namun begitu, pasangan itu mendakwa bahawa kerosakan tersebut masih berulang kembali, sekali gus membantutkan mereka untuk menikmati duduk di unit tersebut.
Dalam keterangannya, Yui Luen berkata isu berkenaan telah mengganggu kehidupannya dengan teruk disebabkan gangguan berterusan daripada pekerja defendan yang menjalankan kerja-kerja pembaikan, tekanan akibat kerosakan yang berulang, serta keperluan untuk berpindah masuk dan keluar dari unit tersebut berulang kali.
Ads
Gambar Hiasan
Beliau berkata anak perempuannya kerap mengalami sakit kepala akibat pertumbuhan kulapuk, yang menjejaskan kesihatan serta kehidupan sosialnya.
Si ayah juga memberi keterangan bahawa anaknya sering mengadu seolah-olah “tinggal di dalam bilik stor” disebabkan oleh kotak-kotak yang bertimbun dan rak-rak yang digantung di dalam bilik tidurnya.
Sementara itu, pihak pemaju berhujah bahawa mereka telah menyerahkan notis penyerahan milikan kosong kepada plaintif bersama-sama, antara lain, Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) yang mengesahkan bahawa unit tersebut selamat dan sesuai untuk diduduki.
Syarikat itu menyatakan bahawa plaintif tidak pernah, pada bila-bila masa yang relevan, mencabar kesahihan CCC atau cara penyerahan milikan kosong dilakukan, dan mendakwa bahawa kerosakan yang dilaporkan hanyalah kerosakan kecil.
Tahap Kelembapan Teruk, Tidak Boleh Didiami
Namun, Hakim Mahkamah Tinggi (Pembinaan), Nadzarin Wok Nordin, dalam penghakimannya, tidak bersetuju dengan dakwaan defendan, dengan menyatakan bahawa semasa lawatan tapaknya, beliau mendapati tahap kelembapan di unit tersebut adalah teruk dan unit itu tidak boleh didiami.
“Saya dapati kerosakan tersebut masih wujud pada hari lawatan dilakukan dan kelembapan dapat dilihat dengan jelas dengan mata kasar.
Ads
“Pada pandangan saya, kerosakan itu cukup serius sehingga menyebabkan unit tersebut tidak boleh didiami — apatah lagi memandangkan ia dipasarkan sebagai kondominium mewah.”
“Kerosakan yang berlaku, terutamanya kebocoran air, pada pandangan saya adalah teruk dan signifikan, dan menunjukkan kegagalan defendan untuk membina unit tersebut dengan cara yang baik dan kemas,” kata hakim itu dalam alasan penghakimannya baru-baru ini.
Pemaju Gagal Ikut Amalan Standard Kerja Pembaikan
Nadzarin berkata defendan juga telah melanggar Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan gagal membina unit tersebut menggunakan bahan yang baik atau dengan cara yang kemas.
“Unit tersebut mempunyai pelbagai kerosakan, termasuk, tetapi tidak terhad kepada kelembapan, kebocoran air, kemasukan air, sistem kalis air yang gagal, retak pada dinding, isu lantai, dan kerja-kerja kemasan yang belum diperbaiki dengan betul.”
“Defendan gagal mengikut amalan standard dalam menjalankan kerja-kerja pembaikan dengan betul dan teliti, terutamanya dengan tidak melantik pakar yang berkelayakan untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh menggunakan peralatan khusus untuk mengesan kebocoran air,” katanya.
Jumlah Ganti Rugi RM500,000
Mahkamah kemudiannya memberikan ganti rugi khas sebanyak RM189,538.15, ganti rugi am sebanyak RM200,000, ganti rugi teladan sebanyak RM100,000, dan ganti rugi yang ditentukan sebanyak RM20,426.84 (LAD).
Ads
Nadzarin juga mengarahkan defendan untuk mengeluarkan surat jaminan dan indemniti bagi membaiki kerosakan dalam tempoh enam bulan dari tarikh penghakiman.
Peguam-peguam San Peggy, Chin Yu Yen, dan Lee Yen Jia mewakili plaintif manakala defendan diwakili oleh Lee Pay Wen dan Vivian Than On Yee.
IMPIANA: Tahniah buat pemilik kediaman yang menang saman dan berusaha mempertahankan hak sebagai pembeli rumah. Pemaju yang tidak bertanggungjawab dan melanggar Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan menggunakan barang yang tidak berkualiti serta hasil kerja yang teruk wajar disaman supaya dapat dijadikan pengajaran buat pihak pemaju yang lain.
Banglo Risiko Runtuh, Pemilik Terima Sumbangan Bongkah Batu & Tanah Bukit Daripada Hamba Allah. Mulianya hati apabila membantu orang yang di dalam kesusahan apatah lagi ia melibatkan kos yang tinggi, pada orang yang tidak dikenali.
“Terima kasih hamba Allah yang sudi membantu dengan menghantar bongkah batu dan tanah bukit bagi kerja menambat hakisan pantai yang berlaku di belakang kediaman saya,” kata Mohd Yazit Idris.
Yazit, 66, adalah pemilik banglo biru yang terjejas teruk akibat hakisan pantai di Kampung Tanjung, dekat sini.
Terima 4 Lori Muatan Bongkah Batu
Katanya, semalam, empat lori membawa muatan bongkah batu dihantar ke kawasan rumahnya untuk kerja menambat pantai.
“Sumbangan yang dihulurkan hamba-hamba Allah SWT ini amat saya hargai kerana saya tidak mampu berbuat demikian berikutan kosnya yang tinggi,” katanya ditemui di perkarangan kediamannya.
Menurut Mohd Yazit, hartanya yang ada hanyalah banglo biru itu yang dibina menggunakan wang hasil caruman Kumpulan Wang Simpan Pekerja (KWSP) berjumlah RM600,000 selepas bersara daripada sebuah syarikat swasta.
“Kini saya tidak mempunyai apa-apa melainkan banglo ini sahaja untuk dipertahankan sebagai kediaman hingga penghujung usia.
“Namun, hakisan teruk sejak lebih dua minggu lalu mengakibatkan kerosakan struktur pada bahagian belakang rumah,” katanya.
Kerja Menyelamat Struktur Rumah
Menurut Mohd Yazit, dia tidak menyangka mendapat bantuan daripada individu-individu budiman berkenaan yang menghulurkan sumbangan bongkah batu dan tanah bukit bagi kerja-kerja menyelamat struktur rumahnya.
Katanya, hari ini, kerja memasang plastik pada lapisan tanah pula dilakukan bagi menguatkan struktur tanah yang ditambat sebelum bongkah batu diletakkan pada tanah berkenaan.
“Saya bersyukur dan berterima kasih di atas keprihatinan ramai di negeri ini yang sudi membantu kerana semua kerja ini memerlukan kos yang tinggi.
“Saya tiada saudara mara di sini, namun bantuan yang diberikan ini cukup bermakna. Saya berdoa supaya cuaca juga kembali pulih bagi memudahkan kerja-kerja pembaikan pantai dilakukan.
“Saya tidak kenal semua hamba Allah SWT yang datang membantu saya namun saya berdoa semoga Allah SWT membalas segala kebaikan mereka. Insya-Allah,” katanya.
Menurutnya, kerja-kerja menambat laut di belakang rumahnya sedikit tergendala berikut keadaan cuaca yang tidak menentu.
Katanya, dia yang kini menghuni sebuah chalet berhampiran berharap akan dapat pulang ke rumahnya dalam masa terdekat selepas kerja menambat pantai di belakang rumahnya selesai.
Terdahulu, media memaparkan kisah seorang lelaki yang berhijrah dari Puchong, Selangor, selepas bersara dengan membina sebuah banglo di negeri ini namun berdepan risiko kediamannya runtuh akibat hakisan pantai.
Kisahnya itu mendapat perhatian ramai seterusnya membawa kerja-kerja pembaikan hakisan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
IMPIANA: Semoga dipermudahkan segala urusan buat pemilik banglo ini, supaya dapat terus tinggal di rumahnya. Semoga lebih ramai yang berkemampuan dan berhati mulia dapat membantu orang lain di saat menghadapi kesukaran begini.
Tahukah anda, sebenarnya ada beberapa punca yang membolehkan diri anda jatuh miskin apabila jumlah wang simpanan anda semakin sedikit saban hari. Bagi anda yang belum mengetahui secara terperinci punca-punca yang boleh membuatkan diri anda jatuh miskin, di sini IMPIANA kongsikan bersama anda.
Menurut pakar kewangan dan hartanah, Encik Azizul Azli Ahmad menerusi hantaran di akaun laman media sosial Facebook miliknya memaklumkan ada enam punca utama yang boleh membuatkan diri anda anda jatuh miskin antaranya;
1. Tak Boleh Kesan Penipuan
Masih mudah percaya bahawa ada skim bagi rumah dengan RM10, RM10,000 sahaja. Masih yakin dan percaya, letak artis seorang dua lagilah dia percaya. Bijak sungguh!
2. Suka Salahkan Orang
Ini semua kerajaan yang salah, punca semua ini dari pemaju sebab itu rumah mahal. Kita tak pernah menyimpan dan menabung, asik jalan jalan cari makan sahaja.
3. Tidak Pernah Berkata Tidak
Semua benda kita iyakan, sampai semua kerja pejabat kita yang buatkan. Balik marah anak bini banyak kerja dan kena tipu dengan orang.
4. Tak Pasti Duit Kemana
Kita rasa gaji cukup baik dan banyak, tapi tak pasti kemana duit pergi.
5. Terlalu Fikir Apa Orang Kata
Malulah mak kenduri nie nanti kecik kecik. Apa kak Markonah Baharom katakan kat emak nanti.
6. Tak Pernah Melabur
Akaun ASB pun tak pernah ada, umur dah nak masuk senja. Masih percaya teori konspirasi orang makan duit kita kalau melabur dalam ASB.
Jadi kepada anda semua, ingat sentiasa menjadi seorang pengguna yang bijak dan tidak mudah percaya dengan skim cepat kaya atau terjebak dengan jenayah penipuan ‘scammers’ yang semakin berleluasa pada zaman masa kini.
Ingin lebih tahu pelbagai tips untuk dekorasi rumah? Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi IMPIANA. Klik di sini.
Isu pembahagian harta di kalangan keluarga dan adik-beradik masih lagi hangat diperkatakan dan ianya seperti tiada penghujung. Merujuk kepada laporan Sinar Harian bertarikh 18 April 2018, seorang suri rumah berhadapan tuntutan ganti rugi berjumlah RM720,000 oleh lima adik-beradik kepadanya kerana didapati melakukan penipuan harta pusaka arwah bapa mereka.
Menurutnya, masalah yang dibangkitkan adalah tentang bahagian tanah pusaka geran kongsi yang semakin mengecil apabila penama asal meninggal dunia dan bahagiannya akan di turun milik kepada waris- waris mereka. Kesannya, di dalam geran tanah tersebut semakin banyak penama dan pada masa yang sama masing-masing akan memiliki bahagian yang semakin kecil saiznya.
Keadaan ini akan lebih menyukarkan proses untuk diurusniaga serta pembangunan tanah tersebut. Bahkan ianya mungkin tidak lagi praktikal untuk dibangunkan termasuklah untuk dibuat pecah bahagian. Isunya adalah berlaku ketidasetujuan diantara penama dalam perjanjian tersebut dan lebih menyukarkan keadaan jika ada yang tidak bersetuju untuk menjual bahagiannya. Akhirnya tanah tersebut terbiar begitu sahaja malahan lebih teruk lagi masing-masing buat tak tahu dan enggan bertanggungjawab.
1. Lantik seorang wakil kuasa (Power of Attorney – PA)
Lantik seorang wakil kuasa(PA) di kalangan penama tersebut yang boleh dipercayai yang akan dipertanggungjawabkan untuk menguruskan segala perkara berkaitan tanah tersebut.
Melalui cara ini semua penama akan tandatangan satu Surat Wakil Kuasa (PA) untuk memberi kuasa kepada wakil kuasa tadi untuk menguruskan urusan berkaitan tanah tersebut.
Pun begitu kuasa PA ini perlu diperhalusi dan dihadkan setakat mana yang perlu agar kuasa PA itu tidak terlalu luas sehingga menyebabkan beliau salah guna kuasa termasuklah memindahmilikkan tanah tersebut kepada dirinya sendiri.
2. Semua penama jual bahagian masing-masing
Semua penama jual bahagian masing-masing kepada seorang atau 2 orang penama yang berkemampuan serta banyak wang yang akan membeli bahagian- bahagian tanah tersebut.
Harga jualan sewajarnya mengikut harga pasaran semasa atau harga yang dipersetujui bersama.
Sekiranya PA telah ditandatangani, hanya penama yang membeli dan wakil kuasa sahaja yang akan tandatangan Perjanjian Jual Beli (SNP )dan Borang Pindah milik. Tak perlu lagi dapatkan tandatangan daripada semua penama. Pun begitu setiap penama wajar dimaklumkan sebelum proses jual beli dan pindah milik itu dilakukan.
Sewajarnya proses jual beli ini diuruskan melalui seorang peguam yang akan bertindak sebagai peguamcara urusan jual beli dan sebagai stakeholder untuk mengagih-ahihkan pembayaran harga jual beli kepada setiap penama mengikut bahagian masing-masing.
3. Tubuhkan koperasi atau syarikat anak beranak
Tubuhkan koperasi atau syarikat anak beranak di mana tanah tadi akan menjadi aset kepada syarikat atau koperasi tersebut.
Melalui cara ini setiap waris akan diberikan sijil saham mengikut bahagian masing-masing dan tanah tersebut akan dimajukan atau diusahakan dengan sesuatu aktiviti yang dapat menjana pendapatan kepada syarikat atau koperasi tersebut.
Setiap setahun sekali, hasil keuntungan perniagaan daripada tanah tersebut akan dibahagi-bahagikan kepada setiap penama mengikut bahagian saham masing-masing.
4. Majukan tanah tersebut sebagai projek perumahan
Boleh juga majukan tanah tersebut sebagai projek perumahan sama ada melalui syarikat atau koperasi adik beradik yang ditubuhkan tadi atau boleh Usaha sama (JV) dengan pemaju yang dipercayai.
Jika majukan sendiri, boleh serah balik tanah tadi kepada kerajaan dan mohon dikeluarkan geran individu yang berasingan dan seterusnya boleh bina rumah atas tanah-tanah tersebut untuk dijual.
Hasil jualan sama ada akan dibahagi-bahagikan mengikut bahagian masing-masing atau boleh dimasukkan sebagai pendapatan syarikat dan setiap penama akan dapat keuntungan setiap tahun hasil daripada pemajuan dan penjualan rumah tersebut.
Walaubagaimanapun, ini hanyalah sekadar cadangan sahaja. Ia mudah diperkatakan tetapi tidak mudah untuk dilaksanakan.
Perancangan yang teliti dan rapi serta sikap percaya satu sama lain dan saling jujur dan amanah di kalangan setiap penama dalam melaksanakan perancangan tersebut amatlah diperlukan.
Sifat ego dan tamak haruslah dibuang jauh-jauh. Jangan fikir untuk untung jangka masa pendek sahaja.
Yang penting, melalui cadangan ini masing-masing akan dapat keuntungan jangka masa panjang yang lebih besar dan berbaloi berbanding berbalah sesama sendiri terhadap bahagian tanah yang sekangkang kera tersebut.
Sentuhan Midas penuh kemewahan dan elegant untuk kediaman anda. Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
Persoalan yang lebih penting ketika ini kepada ramai orang dalam pasca raya dengan keadaan kos sara hidup makin meningkat adalah benar-benar ke bersedia untuk mengubah hidup mereka.